hati

'Rumah tiada penyeri'

AGAK kekok apabila kedatangan ke rumah teres bercat oren ini disambut enam lelaki. Masing-masing tersenyum. Dua kembar seiras datang mendekat sambil menghulur tangan untuk bersalam. Kemudian datang lagi yang lain turut menyapa dan menegur.

Sunyi. Tiada penyeri. Kata Mohd Zahir Abd Rahman, 46, rumah yang didiami bersama lima anak lelakinya itu anak memang terasa asing dan kosong sejak pemergian isteri tercinta, Wan Markiyah Wan Hamid pada 2014.

“Arwah pergi selepas kami terbabit dalam kemalangan dengan treler di Kilometer 366.8, Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) berhampiran Sungkai, pada Oktober 2014. Ketika itu, kami dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur selepas bercuti sempena Aidiladha di kampung di Kuala Perlis.

“Kalau diingat kembali, sukar rasanya saya hendak memaafkan diri sendiri. Kejadian berlaku terlalu pantas. Saya langsung tidak sempat mengelak treler yang menukar laluan di depan.

“Sedar-sedar, sisi kiri kenderaan sudah merempuh bahagian belakang treler berkenaan. Isteri yang tidur ketika kejadian cedera parah dan dibantu orang ramai. Namun keadaannya kritikal dan tidak dapat diselamatkan. Saya pula hilang arah. Mencari semua anak termasuk pasangan kembar yang ketika itu baru berusia dua tahun. Masing-masing tidak berhenti menangis kerana trauma dengan insiden berkenaan,” katanya.

Kini, hampir lima tahun tragedi meragut nyawa itu berlalu, Mohd Zahir masih berduka. Biarpun reda dengan pemergian isteri, kehilangan yang dirasai anak sentiasa mencalar luka di hatinya.

“Anak terlalu rapat dengan ibu mereka. Setiap hari, arwah isteri memang rajin melayan kehendak anak. Dia rajin menyiapkan tempahan kek dengan bantuan anak sulung, Muhammad Syahirizzuan Aimar. Anak kembar pula sememangnya rapat kerana usia mereka yang kecil ketika itu.

“Jadi, apabila anak kehilangan ibu, mereka berubah laku. Anak sulung seakan-akan menyalahkan saya. Anak kedua pula mengambil masa untuk pulih daripada kecederaan, yang ketiga membisu, manakala kembar kerap menangis ‘meminta’ mama.

“Tahun pertama selepas arwah isteri tiada, hidup kami langsung tidak terurus. Saya pula jatuh di pejabat dan kaki terpaksa dibedah. Kami merawat hati di kampung sehinggalah saya berupaya bangkit semula pada Ogos 2015,” katanya.

BERDEPAN LUKA

Sekalipun sedar kehidupannya bakal menjadi sukar di ibu kota Kuala Lumpur, namun Mohd Zahir nekad meninggalkan kampung dan pulang ke Cheras bersama anaknya.

“Trauma dengan kejadian, saya langsung tidak boleh memandu. Kalau berselisih dengan treler atau lori, saya akan berhenti dan menangis di bahu jalan. Anaklah yang menjadi penguat sema­ngat.

“Di pejabat, saya bertemu majikan dan berterus terang. Kalau hendak diikutkan perasaan, saya hanya mahu berhenti untuk fokus kepada anak yang masih kecil. Saya percaya rezeki Allah SWT ada di mana-mana.

“Namun, saya bertuah apabila mendapat majikan yang baik. Dialah yang memberi nasihat dan semangat supaya saya bertahan. Bahkan, majikan juga yang memberi kelonggaran untuk saya pulang menguruskan anak setiap kali tiba waktu makan tengah hari,” katanya.

Dari situ, rutin bapa tunggal ini berubah. Dia memasak untuk anak, menghantar mereka ke sekolah, menjemput dan menyuap makan setiap kali pulang. Si kembar pula terpaksa dijaga abang secara bergilir.

Biarpun jarak antara pejabatnya di Kelana Jaya dengan rumah di Cheras agak jauh, Mohd Zahir tidak pernah rasa terbeban. Dia puas dapat melihat anaknya walaupun perlu berulang alik empat kali sehari.

Usai tanggungjawab di sebelah siang, dia jugalah yang menyiapkan makan, baju sekolah, mencuci, mengurus kerja rumah dan menidurkan mereka pada waktu malam. Seboleh-bolehnya, dia mahu anak tidak berasa sedikit pun kekurangan.

“Pernah juga saya buntu memujuk anak terutama yang bongsu. Setiap kali kami keluar, mereka akan memerhatikan keluarga lain. Waktu makan, mereka menangis ‘meminta’ mama.

“Pernah juga mereka meratap meminta mati semata-mata mahu berjumpa ibu sendiri. Biarlah orang memandang serong sekalipun, saya tetap jelaskan secara baik yang ibu mereka sudah tiada,” katanya.

KEKAL TRADISI

Menatap bingkai gambar yang tersusun kemas di dinding kediaman, hati terdetik. Tentu keluarga ini meriah setiap kali tibanya hari raya. Saban tahun, mereka mengenakan pakaian sedondon dan bergambar bersama. Hanya satu bingkai yang kosong tanpa wajah arwah di dalamnya.

Kata Mohd Zahir, gambar berkenaan diambil setahun selepas pemergian arwah Wan Markiyah. Gambar lain memang sengaja dirakam buat kenangan sempena sambutan Aidilfitri.

“Biasanya, saban raya arwah akan buat maj­lis rumah terbuka dan menjemput kenalan serta saudara. Jadi, selepas ketiadaannya, saya dan anak mengambil alih tugas merancang, memasak hinggalah melayan tetamu.

“Saya mahu tradisi ini sentiasa dikekalkan selagi mampu. Ramai juga rakan dan kenalan arwah yang datang. Secara tidak langsung, silaturahim antara kami berterusan. Lagipun, rakan di tempat kerja arwah isteri dulu memang banyak membantu ketika awal ketiadaannya dulu. Mereka yang banyak bertanya khabar dan menghulur bantuan setiap kali raya,” katanya.

Pada kunjungan Ahad lalu, Mohd Zahir dan anak sempat bercerita mengenai perjalanan umrah ke Tanah Suci. Kata Mohd Zahir, beberapa bulan sebelum meninggal dunia, isterinya pernah menyu­arakan hasrat mengerjakan umrah bersama.

“Pada masa itu, saya tidaklah merancang bersungguh-sungguh kerana tidak sangka arwah pergi secepat ini. Bagaimanapun, saya bersyukur kerana dapat membawa anak ke Makkah menunaikan umrah Januari lalu. Sekurang-kurangnya terubat rasa terkilan kerana tidak sempat mengotakan permintaan arwah dulu.

“Anak sulung juga sudah berusia 18 tahun. Dialah yang banyak membantu meringankan tugas menjaga adik. Ada masanya saya tidak perlu berkejaran menjenguk mereka di rumah. Memadai memantau mereka dan bertanya keperluan sekali-sekala,” katanya.

Disiarkan pada: February 27, 2019 @ 1:00pm
d