hati

Solekan manis hari bahagia

Oleh Siti Nadirah Hafidzin

PENILAIAN ke atas hasil solekan sangat subjektif kerana sentuhan solekan yang cantik pada mata kita tidak semestinya menarik pada pandangan orang lain.

Ada pendapat mengatakan solekan perlulah menggunakan rona terang supaya hasilnya lebih memukau namun ada juga mahukan solekan yang lebih semula jadi dan manis dipandang.

Tidak kira jenis solekan digunakan, setiap wanita terutama bakal raja sehari tentu saja mengimpikan solekan yang bukan saja cantik menawan malah mampu dijadikan antara memori indah yang tersemat indah di dalam sanubari.

Pastinya semua mengimpikan keanggunan wajah apabila dirias jurusolek profesional.

Rona pembayang mata diadun seimbang hasil campuran dua warna terang, pemerah pipi dilayang sempurna hingga menampakkan senyuman mekar tanda hati sedang gembira. Begitu juga gincu menggunakan rona sesuai menonjolkan garis senyuman menggoda.

Bagaikan tiada yang kurang bagi pasangan merpati dua sejoli tatkala melangkah menuju singgahsana pada hari bahagia. Solekan disudahi dengan keserian dilengkapi dengan busana nan indah.

Menurut jurusolek Nor Yanti Zulkipli, perkara paling penting yang perlu diberi keutamaan untuk solekan persandingan adalah pemilihan bedak asas juga padanan gincu.

Menurutnya, ia ibarat membina sebuah rumah bagi mendapatkan asas yang kukuh, tapaknya perlu dibina teguh apabila konsep itu juga perlu digunakan dalam penggunaan bedak asas.

“Bedak asas perlu sesuai dengan rona kulit namun mempelai tidak perlu gusar kerana jurusolek berpengalaman biasanya tahu jenis dan ton sesuai kulit. Walaupun pemilihan bedak asas nampak mudah, ketelitian sangat penting kerana di pasaran terdapat pelbagai jenis bedak asas daripada jenis cecair dan padat.

“Untuk sapuan sekata, kekal tahan lama dan kurang bertompok bedak asas cecair perlu menjadi pilihan untuk raja sehari. Pilih rona seakan-akan warna kulit dengan meletakkan di bahagian bawah rahang,” katanya.

Berpengalaman dalam bidang solekan terutama riasan wajah pengantin, Nor Yanti berkata, selain bedak asas, dia terus memberi tumpuan pada aspek teknik penanaman pemerah pipi sebelum menggunakan bedak debu.

“Teknik ini dilakukan selepas selesai pemakaian bedak asas bagi memastikan solekan lebih tahan lama. Mungkin tidak semua jurusolek menggunakan teknik tanam pemerah pipi ini namun bagi saya ia penting bagi mendapatkan hasil diinginkan.

“Selesai teknik ini, bedak debu perlu disapu dengan sekata sebelum diikuti dengan langkah seterusnya. Bahagian mata juga harus diberikan perhatian sewajarnya. Ini kerana mata memainkan peranan penting bagi memperlihatkan kejelitaan mempelai,” ujarnya.

Kata Nor Yanti, fungsi solekan mata adalah untuk memberikan kesan lebih galak bagi si mata bundar atau mengecilkan bahagian mata sekiranya terlalu memukau. Ia diperoleh menerusi sapuan pembayang mata, celak dan juga maskara dengan menggunakan teknik tepat.

“Saya sering syorkan mempelai memilih rona gelap bagi yang berkulit gelap atau sawo matang manakala mereka yang berkulit cerah bebas menggunakan sebarang warna.

“Bagaimanapun, warna yang kekal menawan seperti campuran coklat dan biru, ungu, merah jambu atau rona perak, coklat dan keemasan adalah paling sesuai,” katanya.

Bagi bulu mata palsu pula, Nor Yanti berkata, ia bergantung kepada jenis mata pengantin sendiri. Bagi yang memiliki bulu mata pendek dan kurang lentik pemakaiannya mampu menampakkan keserian berganda.

“Berbincanglah dengan jurusolek terlebih dulu jenis bulu mata yang anda inginkan. Mungkin boleh membuat pilihan sama ada jenis yang sederhana, mewah atau sedikit panjang.

“Memang ada mempelai menolak untuk memakai bulu mata palsu kerana berasa pergerakan mereka terbatas. Ia terpulang kepada pilihan masing-masing,” katanya.

Katanya, bagi melengkapkan solekan, pemilihan rona gincu memainkan peranan terpenting kerana ia seolah-olah sebagai teknik pelengkap solekan.

“Pilih rona yang sesuai dengan busana dan warna kulit wajah. Pengantin juga berhak memberikan pandangan mereka mengenai rona yang diinginkan.

“Jika mengikut perkembangan solekan kini, ramai yang gemarkan gincu berona lebih kepada semula jadi dan warna tanah kerana ia dilihat lebih manis, namun disarankan supaya menambah satu lagi rona agak cerah supaya hasil solekan tidak terlalu pucat,” ujarnya.

Nor Yanti berkongsi langkah demi langkah bagi menghasilkan solekan manis di hari bahagia.

Disiarkan pada: February 28, 2019 @ 10:30am
d