hati

Usah dimanja berlebihan

Oleh Siti Nadirah Hafidzin

JIKA diteliti dan dikaji, adakah anak perempuan dan anak lelaki dilayan sama rata? Kesamarataan itu bukanlah bermaksud layanan daripada aspek kasih sayang namun ia lebih kepada keadilan ibu bapa dalam mendidik anak melakukan tugasan di rumah.

Seiring dengan peningkatan usia anak, perbezaan jantina mula berlaku dengan jelas apabila anak perempuan didapati lebih sering disuruh dan diajar melakukan kerja rumah berbanding lelaki.

Mungkin ia dianggap sebagai adat apabila anak perempuan perlu dididik supaya membesar dengan sempurna bukan saja daripada segi akhlak, sahsiah, pelajaran malah dalam aspek kerajinan serta kecekapan menguruskan tugasan di rumah terutama di dapur.

Ia juga dikatakan sesuatu yang sinonim dengan anak perempuan dan akhirnya menyebabkan hampir semua ibu bapa berusaha sebaik mungkin untuk mendidik ‘anak dara’ mereka rajin dan lincah di dapur.

Senario itu bukanlah tidak baik namun ia secara tidak langsung menyebabkan hampir kebanyakan ibu bapa ‘membiarkan’ anak lelaki membesar tanpa ilmu menguruskan kerja rumah dan akhirnya mewujudkan risiko lahirnya lelaki yang berperangai seperti ‘raja’ apabila meningkat dewasa kelak.

Mengupas mengenai isu ini perunding keluarga Azizah Ismail berkata, apa juga alasan dan sebab, anak lelaki tidak sepatutnya dibiarkan ‘terlepas’ begitu saja daripada belajar berdikari dan menguruskan kerja di rumah.

“Pemerhatian mendapati anak perempuan melakukan hampir 50 peratus lebih banyak kerja rumah berbanding anak lelaki. Malah, di beberapa tempat tertentu seperti di Asia Selatan, Timur Tengah dan Afrika Utara, kanak-kanak perempuan berusia lima hingga 14 tahun didapati melakukan kerja rumah dua kali ganda banyaknya berbanding kanak-kanak lelaki.

“Senario ini tidak seharusnya terjadi, mungkin pada era sebelum ini, konsep membiarkan anak lelaki membesar tanpa melakukan kerja rumah sudah menjadi kebiasaan namun ia tidak lagi boleh diterima pada era kini,” katanya.

Menurutnya, paling utama, ibu bapa perlu sedar, proses mendidik anak lelaki dengan melakukan kerja di rumah bakal melahirkan generasi pelapis yang lebih menghargai.

“Apabila mereka turut melakukan kerja di rumah seperti mengemas, membasuh pinggan, menyusun barangan bersepah sekali gus mereka akan lebih mengerti tentang rasa penat dialami ibu atau adik beradik perempuan mereka.

“Apabila jarang ditugaskan membuat kerja rumah, lahirlah lelaki yang suka memandang remeh pada kerja rumah selain tinggi dengan sikap ego dalam diri,” ujarnya.

Katanya, anak lelaki yang tidak dididik itu lebih menganggap tugas harian seorang ibu dalam kalangan suri rumah hanyalah ‘goyang kaki’ di rumah atau menyediakan makanan.

“Mereka menganggap kerja di rumah itu terlalu mudah hinggakan nak basuh sebiji pinggan pun malas. Mereka tidak akan faham kesusahan ibu dalam menguruskan keluarga dan kerja rumah yang tidak pernah habis.

“Bayangkan sekiranya lelaki begini menjadi suami atau ayah, apakah cerminan yang bakal mereka tunjukkan kepada anak nanti?” katanya.

Menurutnya, mendidik anak lelaki itu juga pada masa sama dapat menunjukkan keadilan ibu bapa kepada anak.

“Jika di dalam sebuah rumah hanya anak perempuan saja yang disuruh membuat kerja rumah, sudah tentulah anak perempuan tadi akan rasa terbeban dan dilayan secara tidak adil,” ujarnya.

Bahkan katanya, mung­kin ada yang ‘makan hati’ sekiranya asyik disuruh melakukan kerja rumah sedangkan adik-beradik lelaki langsung tidak disuruh.

“Percaya atau tidak, ada di antara anak perempuan yang beranggapan mereka hanya layak membuat kerja rumah seperti mencuci baju dan pinggan mangkuk, menyediakan makanan atau menjaga adik sehingga mereka tidak nampak potensi yang ada pada diri.

“Sebelum terlambat, setiap ibu bapa boleh mula mengubah cara mendidik anak sekarang yang keadilan perlu dilakukan supaya tidak wujud perbezaan ketara antara anak perempuan dengan anak lelaki,” katanya.

ANAK LELAKI BAKAL KETUA KELUARGA

Ketika ramai ibu bapa sibuk memastikan setiap ‘anak dara’ mahir dan cekap melakukan semua tugasan di rumah selain bijak dalam pelajaran, lupakah kita anak lelakilah yang bakal menjadi ketua keluarga kelak.

Azizah berkata, menjadi ketua dalam keluarga bukan sekadar mencari isteri yang baik dan rajin sebaliknya, ia adalah tugas dan tanggungjawab sangat berat.

“Pastinya seorang ketua itu sendiri perlu tahu menguruskan hal ehwal rumah tangga atau setidak-tidaknya menguruskan diri sendiri. Kalau semua benda asyik harapkan ibu, bagaimana pula apabila memasuki alam perkahwinan, adakah mahu meletakkan semua tugasan itu kepada isteri.

“Ada yang mengatakan semuanya boleh upah orang terutama apabila membabitkan soal kebersihan rumah, namun takkanlah perkara asas seperti mengemas rumah atau mencuci baju juga mahu mengupah orang? Dalam konteks ini begitu besar peranan seorang lelaki yang tahu melakukan kerja rumah kerana selain dapat membantu isteri dalam masa sama ia mengeratkan hubungan suami isteri yang terjalin,” katanya.

Katanya, semua itu perlu ditangani segera dan diubah dalam setiap institusi kekeluargaan bagi mengelak berlakunya masalah lebih teruk kelak.

“Ibu bapa perlu beri peluang kepada anak lelaki anda membuat kerja rumah kerana ia bukan saja akan memberi impak positif kepada anak lelaki itu saja tetapi dalam masa sama mengubah tanggapan stereotaip masyarakat kita.

“Apabila nampak anak lelaki mula buat kerja rumah, kita sebagai ibu bapa janganlah pula buat muka pelik atau mentertawakan, galakkan mereka dan biasakan meminta tolong daripada anak lelaki ketika anda melakukan kerja di rumah. Jadikan ia sebagai rutin dan satu perkara normal di dalam rumah anda,” ujarnya.

Ibu bapa disaran melakukan langkah ini bagi mendidik anak lelaki melakukan kerja rumah:

1. Kurangkan gajet

Kurangkan masa atau jauhkan mereka dengan gajet dan televisyen dalam tempoh yang terlalu lama.

2. Jangan larang anak lelaki yang mahu membantu

Galakkan dan beri tunjuk ajar. Apabila mereka bantu barulah mereka dapat rasai sendiri dan faham susah senang tugasan itu.

3. Peranan bapa

Untuk mendidik anak lelaki, peranan bapa sangat penting dalam menjadi contoh teladan dan idola mereka. Namun, jika suami bukan jenis membantu, tarik minat anak dengan bercerita keperibadian Rasulullah SWT, tunjukkan contoh cef terkenal lelaki atau video rakan sebaya mereka yang melakukan kerja rumah membantu ibu.

4. Ceritakan pahala dan ganjaran dalam membantu ibu bapa

Ajak, ajar, agih dan arahkan anak lelaki membantu. Jangan biarkan mereka begitu saja tanpa dididik kerana lumrah kanak-kanak perlu disuruh.

5. Mulakan sekarang!

Mulakan dengan mengajar mereka mengemas tempat tidur, tempat bermain, mengasingkan pakaian yang sudah dipakai dan membantu menyiapkan bahan masakan. Anak seawal usia tujuh hingga sembilan bulan sekiranya diajar sudah pandai menghantar lampin pakai buang ke bakul sampah dan pakaian kotor ke bakul setiap kali mereka keluar dari bilik air.

6. Puji dan beri galakan

Puji setiap apa yang mereka bantu biarpun tidak menepati piawaian kita. Bersabar dan simpan rasa tidak puas hati sekiranya ada. Tegur secara berhemah kerana mereka dalam proses belajar.

7. Sabar dalam mendidik

Bersabar dengan sepah, berterabur dan pelbagai lagi hasil pertolongan anak lelaki.

8. Cari tip mudah

Ajar mereka tip dan cara mengemas, memasak, menggosok baju dan membasuh bilik air supaya lebih mudah dilakukan. Boleh cari di Google dan YouTube.

9. Rancang bersama

Rancang bersama kerja rumah yang hendak dibuat, jika perlu ajak mereka menonton video atau gambar cara untuk melakukannya. Ini akan membangkitkan rasa teruja dalam diri.

10. Terima idea anak lelaki

Beri peluang dan kepercayaan untuk mereka berkongsi idea dan lakukan sendiri susunan, resipi, masakan, hidangan dan dekorasi mengikut idea mereka. Kita boleh bertindak untuk memantau saja.

11. Laburkan wang untuk projek mereka.

Jika mereka ingin membeli sesuatu barang atau peralatan berkaitan menghias, mengemas atau memasak tidak salah untuk belikan.

Disiarkan pada: February 28, 2019 @ 11:08am
d