hati

Elak orang tua berjauh hati

Oleh Yusliza Yakimir Abd Talib

MENUNJUKKAN empati dan pemahaman mengenai perspektif ibu bapa meniti usia tua dan melakukan apa yang boleh untuk membantu adalah kunci interaksi positif dengan mereka.

Lazimnya ramai ibu bapa berasa terpinggir apabila anak yang sudah dewasa mula sibuk dengan kerjaya dan kehidupan masing-masing. Malah, ada juga yang berasa mereka lebih ‘bijak’ untuk membuat keputusan bagi pihak ibu bapa dalam kebanyakan hal sesuai dengan corak kehidupan sekarang.

Mungkin anak tidak sedar perkara itu membuatkan ibu bapa berasa jauh hati. Sebagai anak, kita perlu meyakinkan ibu bapa kita sentiasa ada masa untuk mereka dan tidak akan membuat keputusan tanpa berbincang dengan kedua-dua orang tua terlebih dulu.

Pada usia tua, ibu bapa menjadi lebih sensitif dan ketika berkomunikasi dengan mereka, amat penting kita menuturkan kata-kata yang baik dan tidak menyinggung perasaan, walaupun kadangkala sukar untuk berbuat demikian apatah lagi jika ada pertentangan pendapat.

Tidak kira apa situasi sekali pun, anak seharusnya lebih memahami ibu bapa apatah lagi jika mereka kini berdepan penyakit atau keadaan yang memerlukan bantuan orang lain.

Komunikasi negatif biasanya berakhir dengan perselisihan faham antara ibu bapa dan anak, sedangkan pada hujung usia, mereka pastinya mahu hidup tenang dan harmoni. Berikut beberapa perkataan yang perlu dielakkan ketika berkomunikasi dengan ibu bapa:

1. IBU ATAU AYAH SELALU BERCERITA BENDA YANG SAMA

Ini adalah lumrah dan kita perlu meraikan ibu bapa walaupun anda mungkin sudah hafal dengan jalan ceritanya. Sebenarnya cerita ini yang akan menjadi kenangan mahal untuk dikenang apabila mereka sudah tiada kelak.

Bagaimanapun, jika anda mahu mengelakkan daripada mendengar cerita yang sama berulang-ulang, tanya soalan utama yang mungkin menimbulkan cerita berbeza dari ibu bapa anda.

Beritahu ibu atau bapa bahawa anda suka jika mereka berkongsi kenangan ulang tahun kegemaran atau bertanya soalan yang mungkin membantu mereka bercerita perkara berbeza. Cara ini meningkatkan peluang anda mendengar cerita baru dari orang yang anda sayangi. Cuba fokus pada topik yang positif atau gembira, bukan sesuatu seperti kematian orang yang mereka sayangi atau kenangan negatif lain.

2. IBU ATAU AYAH HARUS PAKAI TONGKAT ATAU ALAT BANTUAN BERJALAN

Ramai orang tua ingin mengelak daripada menggunakan tongkat atau bantuan berjalan kerana takut alat itu membuat mereka kelihatan tua atau lemah. Akibatnya, hanya segelintir akan menggunakannya melainkan mereka faham ada sebab untuk menggunakannya.

Bantu ibu bapa anda mengelakkan bahaya dengan menjelaskan bahawa anda bimbang mereka mungkin jatuh dan mengalami kecederaan yang serius. Menggunakan tongkat atau alat bantuan berjalan dapat mencegahnya daripada berlaku perkara yang tidak diingini.

Beritahu mereka juga bahawa fakta menunjukkan ramai orang tua yang mengalami patah tulang kerana terjatuh dan pada usia senja proses penyembuhan sangat perlahan. Jika ia berlaku, mereka berkemungkinan terpaksa berkurung di dalam rumah kerana sukar bergerak.

3. IBU ATAU AYAH TIDAK BOLEH HIDUP SENDIRIAN LAGI

Anda mungkin cuba untuk menyatakan keprihatinan terhadap keselamatan mereka, tetapi kepada orang yang lebih tua pernyataan ini menandakan kebebasan mereka tersekat. Mereka cenderung menjadi keras kepala atau berbalah setiap kali topik berkaitan berpindah ke rumah anak atau keluarga bagi memudahkan urusan penjagaan muncul.

Untuk mengelakkan perbalahan, nyatakan perasaan dan kebimbangan anda terhadap keselamatan mereka dan kemudian bekerjasama untuk mencari penyelesaian yang sesuai dengan semua pihak.

4. IBU ATAU AYAH TERLALU TUA UNTUK MEMANDU

‘Melepaskan’ kunci kereta boleh menjadi salah satu bahagian yang paling sukar ketika meniti penuaan. Ada ibu bapa yang percaya mereka masih tidak terlalu tua untuk memandu, namun bagi yang mempunyai masalah kognitif atau fizikal, memandu sudah tidak selamat lagi.

Mulai perbualan dengan menyatakan bahawa anda telah melihat banyak pemanduan yang melulu di jalan raya dan bertanya adakah itu mengejutkan mereka sama seperti yang anda rasai.

5. IBU ATAU AYAH TERLEPAS TEMU JANJI HOSPITAL

Jangan sekali-kali memarahi ibu bapa seolah-olah mereka anak yang nakal kerana ia adalah akan membuatkan mereka berkecil hati. Tindakan ini seperti memecahkan tembok kepercayaan dan boleh membawa kepada tingkah laku pasif-agresif. Orang tua tidak mahu anak mengarah-arahkan atau melayan mereka seperti kanak-kanak.

Malah, ibu bapa juga tidak suka anak cuba membuat keputusan bagi pihak mereka, kecuali jika diminta berbuat demikian. Berbincang melalui cara yang penuh kasih sayang, mendengar dengan baik dan mengekalkan rasa hormat sepanjang masa.

Anda juga boleh membantu memastikan ibu bapa mematuhi janji temu penjagaan kesihatannya dengan menawar diri untuk membawa mereka pada temu janji seterusnya.

6. BERCAKAP TANPA MEMANDANG WAJAHNYA

Apabila bercakap, cuba sedaya upaya untuk memandang wajah ibu bapa. Kebanyakan orang tua mengalami masalah pendengaran dan inilah sebabnya anda perlu duduk berhadapan apabila bercakap dengan mereka supaya ibu bapa boleh membaca gerak bibir. Bercakap dengan suara yang jelas dan tidak terlalu cepat. Sebut perkataan satu demi satu, supaya mereka memahami apa yang anda katakan.

Jangan cakap sambil berjalan kerana ia akan membuatkan komunikasi menjadi sukar. Ibu bapa tidak mendengar apa yang anda katakan dan anda pula berasa geram apabila perlu mengulang ayat yang sama berulang kali. Jadi, sebagai anak, anda perlu bijak menangani perkara ini kerana jika panjang umur, kita juga akan rasa apa yang mereka alami.

Disiarkan pada: March 1, 2019 @ 10:18am
d