hati

Ketepi malu demi ilmu

Oleh Siti Nadirah Hafidzin

TIDAK dinafikan pelajaran sangat penting dalam menentukan corak kehidupan masa depan namun semangat dan kegigihan juga perlu ada dalam diri untuk mengecapi kejayaan hidup.

Mengenali wanita manis ini membuatkan penulis ingin lebih tahu mengenai dirinya. Mana tidaknya, melihat kerajinan dan kegigihannya menjalankan perniagaan di laman Facebook (FB) sangat mengujakan.

Dia juga mempunyai ramai kenalan dan pengikut di FB yang menjadikan dirinya idola dalam dunia perniagaan.

Selepas pertemuan diatur, penulis akui, dia mempunyai aura luar biasa yang wajar dijadikan contoh terutama semangatnya untuk berjaya.

Anak desa ini tidak sama seperti remaja lain. Ketika remaja lain yang berusia 15 tahun seronok bersama rakan melakukan pelbagai aktiviti dalam menikmati usia remaja, situasi itu jauh berbeza dengannya yang sibuk menimba ilmu.

Dia buang rasa malu mengikuti kelas jahitan dan duduk bersama-sama wanita yang seusia dengan ibu mahupun neneknya ketika itu demi menimba ilmu menjahit. Walaupun ada jurang generasi, Siti Noor Anisah Abdul Jalil tidak kekok. Malah dia seronok dikelilingi pelajar matang kerana mereka tidak lokek berkongsi pengetahuan dan suasana di dalam kelas biasanya meriah.

Soal tidak berpeluang berseronok dengan rakan sebaya tidak pernah timbul kerana dia yang memilih untuk memanfaatkan masa terluang dengan cara begitu. Ketika itu, dalam fikirannya cuma ada pelbagai persoalan untuk mencari cara yang boleh digunakan bagi menjana pendapatan sendiri pada usia muda.

Siti Noor Anisah mengakui, dia juga tidak seperti kawan lain yang mempunyai kelulusan akademik tinggi. Dia sedar pendidikan sangat penting namun baginya ilmu itu tidak sekadar di sekolah atau universiti. Ilmu itu luas konsepnya dan antara ilmu yang diminati adalah dalam bidang jahitan.

Meskipun bidang itu pernah dipandang lekeh kerana dipelopori golongan tidak berpelajaran tinggi, namun pada hari ini, ia menjadi elemen penting dalam kehidupan. Malah bukan sedikit lulusan universiti dan mempunyai pekerjaan baik meninggalkan kerjaya untuk menjadi pakar dalam dunia yang memerlukan kemahiran seni ini.

Jadi, siang malam masanya dihabiskan untuk belajar menjahit kerana dalam diri dan fikirannya ketika itu hanya ada satu tekad - dia juga mahu berjaya sama seperti insan lain. Kalau boleh, Siti Noor Anisah mahu menjadi lebih baik dan mempunyai pendapatan membanggakan setanding kerjaya lain.

Syukur, usaha kerasnya membuahkan hasil apabila dia berjaya membuka kedai jahitannya sendiri seawal usia 17 tahun. Kagum mendengar ceritanya kerana pada usia semuda itu dia sudah mempunyai perniagaan sendiri, kala rakan masih mengharapkan duit poket daripada ibu bapa.

“Pada awal pembabitan saya dalam bidang jahitan, saya menggunakan dua mesin jahit yang dihadiahkan ayah. Mesin jahit itu sangat besar maknanya pada saya. Malah ia sangat berjasa dalam perkembangan kerjaya saya. Berbekalkan modal RM150 untuk membeli peralatan menjahit dan dua mesin jahit itu, saya memberanikan diri membuka sebuah kedai jahit di Shah Alam.

“Ya, saya merantau pada usia yang muda. Bagi saya kalau orang lain berani merantau untuk belajar, mengapa tidak saya? Saya juga merantau untuk ‘belajar’ kerana dalam memulakan perniagaan sendiri, banyak perkara yang harus dipelajari. Saya kutip ilmu daripada pengalaman, subjek yang tidak diajar di dalam kelas.

“Saya beranikan diri merantau ke tempat orang yang jauh daripada kampung halaman sendiri di Bagan Datuk, Perak dan membuka kedai sendiri hasil bantuan beberapa ahli keluarga dan kenalan. Pada awalnya memang ramai yang tidak percaya saya pemilik kedai jahitan ketika itu kerana baru berusia 17 tahun namun itulah hakikatnya,” katanya.

Menurutnya, dia sebenarnya sudah mula meminati bidang jahitan seawal usia 11 tahun memandangkan ibunya juga seorang tukang jahit.

“Saya banyak belajar hal ehwal menjahit daripada ibu. Dia guru jahitan pertama saya. Walaupun jahitan senget-senget dan selalu mengacau kerja ibu, tetapi dia tetap sabar melayan kerenah saya. Agaknya kesabaran ibu itulah yang mencambahkan minat saya.

“Syukur selepas bertapak lebih 15 tahun dalam bidang ini dan melalui pelbagai suka duka, kini perkhidmatan semakin diterima selain mempunyai ramai pelanggan tetap yang mempercayai hasil jahitan saya,” ujarnya.

Menurutnya, kedai jahitan miliknya yang kini beroperasi di Puchong Prima menerima semua jenis tempahan baju mengikut kehendak pelanggan.

“Selain menerima tempahan, saya turut aktif menjalankan perniagaan dalam talian dengan menjual pelbagai produk kesihatan dan kecantikan bagi menambah pendapatan sendiri.

“Sememangnya saya tidak boleh duduk diam, saya sentiasa cabar diri untuk lebih berjaya kerana mahu buktikan setiap individu boleh berjaya asalkan ada keazaman dan rajin berusaha tanpa banyak alasan,” katanya.

“Kini dengan bantuan pekerja dan sokongan daripada ahli keluarga, syukur usaha saya semakin membuahkan hasil dan mendapat kepercayaan pelanggan bukan saja dalam bidang jahitan malah perniagaan dalam talian,” katanya.

CABARAN MEMATANGKAN DIRI

Sama seperti peniaga lain, dugaan yang datang adalah lumrah yang perlu ditempuh sebelum mengecapi kejayaan.

“Dugaan paling biasa yang saya terima apabila pelanggan menghantar kain yang tidak cukup untuk dijadikan baju. Jadi saya kena bijak memotong supaya dapat menghasilkan pakaian yang dikehendaki.

“Selain itu, ada juga pelanggan yang menghantar tempahan pada waktu pagi dan mahu ia diambil pada waktu petang yang menyebabkan saya bersama pekerja kelam-kabut untuk menyiapkannya namun semua itu adalah lumrah dalam bidang ini,” katanya.

Selain menerima tempahan daripada pelanggan yang datang ke kedai, perkhidmatannya juga mendapat perhatian dan kepercayaan pemilik butik tempatan. Bahkan soal kurang waktu tidur juga antara cabaran biasa terutama ketika perlu menyiapkan tempahan dalam jumlah yang banyak daripada butik tempatan.

“Ini semua asam garam bidang yang saya ceburi dan saya menganggap semua ini sebagai cabaran yang dapat mematangkan diri supaya menjadi lebih baik.

“Saya juga amat bersyukur kerana dapat melalui setiap dugaan yang datang dan semuanya berkat usaha serta doa kedua ibu bapa,” ujarnya.

Soal pembahagian masa antara perkara terpenting dalam kehidupan seharian wanita manis ini. Memandangkan dia mempunyai dua anak yang masih bersekolah, dia perlu bijak membahagi masa bagi memastikan kerjaya serta anak-anak tidak terabai.

“Selepas anak-anak ke sekolah, saya menguruskan semua hal perniagaan termasuk memeriksa tempahan dan bayaran pelanggan serta melakukan proses pengeposan.

“Selesai semua tugasan itu, saya ke kedai jahit dan pada masa sama, menguruskan operasi beberapa perniagaan saya yang lain,” katanya.

Menurutnya, tidak timbul soal tidak cukup masa sekiranya pembahagian itu dilakukan dengan bijak selain disiplin diri amat diperlukan.

“Saya percaya dengan disiplin diri yang teratur, segala urusan harian dapat berjalan dengan lancar tanpa masalah. Ini terbukti apabila saya berjaya menguruskan masa dengan baik selepas terbabit dalam bidang ini sejak lebih 10 tahun lalu,” ujarnya.

Tambahnya, dia amat berharap proses perniagaannya berjalan lancar dan semua pelanggan berpuas hati dengan setiap tempahan dilakukan.

“Syukur, saya berjaya buktikan walaupun tidak melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi namun saya juga mampu berjaya hasil usaha keras sendiri.

“Semangat inilah yang selalu saya beritahu kenalan, perlu ada usaha luar biasa untuk berjaya. Kita mesti sanggup berkorban dan perlu bijak merebut ruang serta peluang yang ada,” katanya.

Disiarkan pada: March 6, 2019 @ 7:00am
d