hati

Wajah lebih tirus, segar dan bersih

Oleh Intan Mas Ayu Shahimi

SESEKALI wajah dibelai juruterapi di spa memang mengujakan. Urutan dan picitan lembut di beberapa titik refleksologi sekitar wajah nyata menenangkan jiwa, ditambah penggunaan produk yang tidak memudaratkan kulit.

Ketika ini, rawatan menganjal dan membentuk wajah terutama di bahagian dagu amat popular dalam kalangan wanita tempatan. Selain penggunaan krim khas yang diamalkan di rumah, pakej rawatan untuk mendapatkan wajah lebih tirus, segar dan bersih menjadi pilihan berikutan tidak memerlukan sebarang prosedur pembedahan.

Di Yoyoy Kamphora Spa, rawatan wajah Bidadari LED Photon antara pakej lengkap yang menjadi tumpuan kebanyakan wanita setiap kali mereka datang untuk mendapatkan khidmat juruterapi kecantikan.

Kata pemilik spa, Siti Nurul Huda Saparudin, pakej itu menawarkan kombinasi rawatan termasuk membersihkan liang pori, merapikan serum, sapuan masker, sapuan kolagen, vitamin C, totok wajah, langkah menganjalkan kulit dan penggunaan topeng LED untuk menyempurnakan kesan cela pada muka.

“Lazimnya, pelanggan yang tiba akan disambut dengan secangkir air madu suam. Selepas mereka berehat seketika, barulah dimulakan rawatan membersihkan wajah.

“Pemilihan produk untuk tujuan ini bergantung kepada jenis kulit wajah, sama ada normal, berjerawat atau kulit sensitif. Selepas wajah dibersihkan, barulah sapuan serum dibuat menggunakan mesin khas. Manfaat rawatan ini jauh berbeza dengan menyapu sendiri serum menggunakan tangan di rumah. Ia dilakukan secara teliti, dalam keadaan pori wajah terbuka dan mudah menyerap.

“Menyempurnakan rawatan wajah adalah sapuan kolagen dan vitamin C. Kemudian, barulah urutan totok wajah dijalankan. Ia berfungsi melancarkan peredaran darah, merangsang otot wajah, sekali gus mengembalikan keanjalan dan ketegangan kulit,” katanya.

Jelas Siti Nurul Huda, pakej lengkap itu menjadi pilihan ramai wanita berikutan menyediakan segala manfaat diperlukan dalam satu sesi rawatan yang mengambil masa kira-kira dua jam.

“Kepuasan dalam rawatan lazimnya dilihat ketika pemakaian masker yang dipanggil sebagai ‘rubber mask’. Kulit muka akan terasa tegang seolah-olah disimen untuk menyerap minyak berlebihan dan memerangkap kotoran tersumbat di celah liang pori wajah.

“Selain itu, topeng LED juga dipakaikan mengikut jenis dan keperluan kulit. Misalnya, lampu biru untuk mereka yang memiliki kulit berjerawat. Ia bersifat antibakteria dan mampu mematikan pertumbuhan jerawat.

“Bagi kulit normal dan berjeragat pula, kami akan tetapkan penggunaan lampu merah untuk membantu mengaktifkan penghasilan kolagen dalam kulit, melancarkan peredaran darah, bertindak ke atas kesan penuaan dan pigmentasi serta menaikkan seri muka,” katanya.

Menurutnya, wajah yang bermasalah dicadangkan melakukan rawatan dua minggu sekali, sehingga kesan cela berkurangan. Selepas itu, rawatan boleh dikurangkan dan dilakukan hanya mengikut keperluan semasa.

“Bagi bakal pengantin yang mempunyai kulit bermasalah, kami cadangkan supaya menjalani rawatan wajah seawal enam bulan. Tetapi, jika tiada masalah, mereka boleh datang antara satu hingga tiga bulan lebih awal daripada majlis.

“Selebihnya, kami menasihatkan pelanggan supaya patuh kepada jadual rawatan dan sentiasa menjaga pemakanan serta yang minum air mencukupi setiap hari,” katanya.

Disiarkan pada: March 9, 2019 @ 4:00am
d