hati

Alena martabatkan sape

Oleh Intan Mas Ayu Shahimi

SAPE atau sapeh mungkin kedengaran janggal pada segelintir orang. Ia menyerupai gitar dan tergolong dalam keluarga kordofon atau alat muzik bertali. Menariknya, sape sinonim dengan masyarakat Kayan dan Kenyah di Sarawak. Bahkan ia juga menjadi antara alat muzik yang mencerminkan identiti budaya suku kaum di Borneo.

Alena Murang antara pemuzik tempatan yang mempunyai bakat besar dalam seni muzik sape. Sekalipun ia tidaklah popular sebagaimana gitar, wanita ini berjaya mencipta nama besar dalam dunia muzik kontemporari.

Bercerita mengenai perjalanan hidupnya bermain sape, Alena berkata, dia mula berjinak-jinak dengan alat muzik tradisional berkenaan ketika usianya baru mencecah 12 tahun.

“Sebelum itu saya memang aktif mengikuti kelas tarian tradisional di bawah bimbingan Yayasan Kebudayaan Dayak di Kuching. Saya juga banyak belajar daripada ramai ibu saudara. Secara tidak langsung, saya dan sepupu berkesempatan belajar menyanyi lagu Kelabit dan Kenyah lama.

“Bagaimanapun, apabila kami mula belajar main sape, tiada seorang pun dalam kalangan keluarga dan teman yang turut bermain alat muzik ini. Jika diimbas kembali, saya sendiri tidak pernah terfikir untuk menjadi pemain sape profesional.

“Hanya selepas menamatkan pengajian di universiti, kemudian mendapat kerja dalam bidang korporat di Kuala Lumpur dan menyambung pelajaran di pusat pengajian kesenian, barulah muzik sape menerjah kembali dalam kehidupan. Waktu itu, saya juga menyertai satu badan bukan kerajaan (NGO).

“Saya melihat sendiri bagaimana seni muzik sape dan kisah yang dikaitkan dengannya semakin mendapat perhatian di Kuala Lumpur dan seterusnya dibawa ke pentas antarabangsa,” katanya.

Menurut Alena, dia bangga apabila melihat sape mendapat tempat dalam kalangan peminat muzik kontemporari dan sering dimainkan di acara berprestij mahupun majlis penting yang dihadiri ramai.

“Senario ini menunjukkan satu perkembangan yang positif. Saya sendiri pernah bermain gitar dan saksofon, tetapi sudah bertahun-tahun meninggalkannya. Berbeza dengan sape, auranya membawa saya ke tempat sekarang.

“Saya bermula dengan Kelas Sape’ KL dan masih aktif mengajar mereka yang berminat sejak 2016. Pelajar saya pula bukan calang-calang orang. Mereka terdiri daripada individu berusia 12 hingga 70 tahun dari Malaysia, Eropah dan Amerika Syarikat.

“Hari ini, menerusi ART4 Studio, kami berjaya menganjurkan bengkel sape di KL dengan kerjasama pemain sape lain dari KL Sape’ Collective. Semua bengkel dihadiri antara 30 hingga 50 individu,” katanya.

ALAM JADI INSPIRASI

Ditanya seberapa kerap wanita ini berlatih untuk mendapatkan alunan muzik menarik, Alena berkata, dia memperuntukkan masa sekurang-kurangnya empat kali seminggu.

“Sama seperti ahli muzik profesional lain, saya percaya latihan mantap mampu membantu mengasah kemahiran, sekali gus mencapai kesempurnaan dalam persembahan. Untuk itu, saya perlu kekal fokus dan cerdas sepanjang sesi latihan.

“Alam semula jadi juga dekat dengan diri. Saya senang setiap kali berada berhampiran pokok, kaki memijak rumput atau batu besar. Bahkan, mandi di sungai atau laut juga boleh memberi tenaga dan inspirasi buat diri saya.

“Tiba waktu membuat persembahan, saya akan menumpukan sepenuh hati pada diri saya dengan tekad. Saya mahu menghidupkan kembali kisah perkampungan kecil kami, berpandukan nilai yang diajar kepada saya oleh guru seperti Mathew Ngau Jau, Salomon Gau serta orang tua Kelabit. Untuk tenaga dan fokus yang optimum, saya minum Susu Lemak Rendah Marigold HL yang kaya dengan sembilan vitamin serta mineral penting. Susu ini mengandungi vitamin B1 untuk kecerdasan mental.

“Di samping itu, saya juga bersenam di gimnasium, menikmati sajian seimbang, sihat dan berkhasiat. Susu antara yang penting dalam diet saya. Setiap kali bersarapan, saya akan minum segelas susu atau kopi. Saya percaya hidangan sarapan sudah mencukupi dengan segelas Susu Lemak Rendah Marigold HL kerana ia mengandungi lebih banyak kalsium dan protein dan kurang lemak dan laktosa,” katanya.

Adat mengetengahkan irama dan muzik tradisional, Alena tidak dapat lari daripada cabaran. Apabila membuat persembahan di depan khalayak tempatan, dia perlu bijak mentafsirkan semula muzik tradisional yang dibawa.

“Saya lihat muzik sape sering dipersembahkan di pesta pelancongan dan persembahan mewakili Sarawak. Sedangkan selama ini, saya cuba mengetengahkan seni muzik ini ke dalam dunia kontemporari, setaraf dengan muzik arus perdana.

“Saya terfikir, alangkah baiknya jika kita semua boleh belajar bermain alat tradisional atau menyokong pemain dan penggiat muzik tradisional dengan membeli tiket, menghadiri konsert, membeli rakaman dan menyokong pembangunan serta kerja ahli muzik yang memberi tumpuan terhadap muzik tradisional. Tentu impaknya berbeza,” katanya.

Disiarkan pada: March 15, 2019 @ 7:00am
d