hati

Bersenam atasi stres

Oleh Siti Nadirah Hafidzin

Kepenatan berdepan tuntutan tugasan harian di rumah dan di pejabat membuatkan ramai wanita mudah berasa tertekan. Namun tidak ramai orang mempunyai ‘kebolehan’ untuk mengesan perkara ini daripada peringkat awal.

Namun secara umumnya, kita boleh merasai perubahan pada diri sendiri apatah lagi apabila emosi cepat berubah. Kita menjadi sensitif dan cepat marah walaupun disebabkan perkara yang kecil dan remeh. Kepala mungkin rasa sakit dan bahu pula terasa tegang.

Tekanan yang tidak dikawal dan diuruskan dengan baik boleh menjejaskan kesihatan secara keseluruhan. Jadi, inilah sebabnya kita perlu belajar cara untuk menguruskan tekanan dengan melakukan pelbagai aktiviti santai. Antara cara terbaik untuk mengurangkan tekanan ialah mengamalkan gaya hidup sihat dan menjadikan senaman sebagai rutin sepanjang hayat.

Bukan saja pada hujung minggu, setiap individu dinasihatkan untuk meluangkan masa setengah jam setiap hari sama ada pada waktu pagi atau selepas kerja untuk bersenam atau sekurang-kurangnya berjoging di kawasan rumah.

Semua ini dilakukan demi memastikan kesihatan berada pada tahap terbaik sekali gus tekanan dialami dapat dikurangkan. Selain untuk sihat, ramai yang bersenam untuk mengekalkan kecantikan diri dan meningkatkan kecergasan terutama mengelakkan keletihan. Pada masa sama, ia juga dapat mewujudkan emosi gembira.

Menyentuh mengenai jenis senaman, setiap individu perlu memilih senaman yang bersesuaian dengan masalah kesihatan atau keadaan fizikal individu itu sendiri bagi mengelakkan sebarang kesan sampingan.

Sebaik-baiknya, pilih senaman yang pelbagai supaya badan menerima kesan dihajati dan lebih penting perlu mendapatkan nasihat daripada pakar terlebih dulu sebelum melakukan senaman terutama individu yang mempunyai masalah kesihatan.

Menurut jurulatih kecergasan bertauliah Muhammad Zaim Yazid, bagi mengekalkan tahap kecergasan tubuh, mengurangkan tekanan dan mengatasi masalah lesu, sebaik-baiknya lakukan senaman ringan selama 30 minit.

“Tekanan berkait rapat dengan kepenatan, oleh itu, jangan sesekali memaksa diri untuk melakukan senaman yang berat kerana dibimbangi ia lebih memudaratkan.

“Lebih baik bersenam dengan cara santai tetapi konsisten. Jika tidak dapat bersenam setiap hari, luangkan masa melakukannya sekurang-kurangnya tiga kali seminggu. Pilihan jenis senaman sangat penting untuk memastikan setiap rutin yang dipilih dapat dilakukan dengan tepat. Paling utama bersenamlah dengan rasa gembira dan bersahaja,” katanya.

Menurutnya, mulakan rutin senaman bersahaja dengan menggunakan bebanan badan sendiri kerana ia lebih mudah dan mengikut kemampuan diri.

“Senaman bersahaja ini lebih santai, ia boleh dilakukan di rumah atau mana-mana taman rekreasi, sekali gus dapat menghirup udara segar terutama pada waktu pagi atau petang.

“Senaman jenis itu tidak memerlukan sebarang alat bantuan senaman kerana ia banyak bergantung pada pergerakan badan sendiri. Perlu dapatkan tunjuk ajar daripada individu bertauliah dan apabila sudah mahir, boleh lakukan sendiri. Paling asas, senaman ini boleh dilakukan mengikut kemampuan badan sendiri dan jangan sesekali memaksa,” katanya.

Tambahnya, sebaik-baiknya, mulakan senaman dengan ulangan tiga set yang mana setiap set lakukan sebanyak 10 ke 15 kali ulangan.

Disiarkan pada: March 18, 2019 @ 4:00am
d