hati

Perkara yang patut anda tahu mengenai melecur

Oleh Yusliza Yakimir Abd Talib

SIFAT ingin tahu yang tinggi dalam kalangan kanak-kanak ada kalanya mengundang bahaya dan risiko kecederaan. Ketika berada di rumah sekalipun, kemalangan sukar dielak melainkan ibu bapa mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengurangkan risikonya.

Kecederaan akibat terkena benda panas adalah paling biasa berlaku dalam kalangan kanak-kanak. Daripada mandi di bawah pancuran air yang terlampau panas hinggalah tertumpah minuman panas, kejadian ini antara yang sering kita dengar atau sekurang-kurangnya pernah dialami anak sendiri.

Jadi, sebagai ibu bapa, persediaan ketika berdepan situasi seperti ini selain pengetahuan mengenalpasti tahap kecederaan amat penting bagi memastikan anak anda mendapatkan rawatan awal yang betul.

Walaupun sesetengah luka terbakar atau melecur ringan boleh dirawat dengan selamat di rumah, luka lain yang lebih serius mungkin memerlukan rawatan perubatan segera di fasiliti kesihatan.

Oleh itu, mengambil langkah berjaga-jaga khususnya menjadikan persekitaran rumah anda lebih selamat dapat menghalang kejadian tidak diingini.

Menurut Pakar Kanak-kanak Hospital Pakar KPJ Ampang Puteri, Dr Fadzlina Abd Aziz, luka terbakar dan melecur adalah bahaya yang berpotensi terjadi di setiap rumah.

Katanya, melecur terkena air dan cecair panas adalah salah satu kemalangan yang paling biasa terjadi dalam kalangan kanak-kanak, dengan golongan bayi dan kanak-kanak kecil khususnya paling berisiko kerana sifat ingin tahu yang menebal pada peringkat umur ini.

“Bagaimanapun, kecederaan terbakar dan melecur ringan tidak memerlukan perhatian khusus dan kebanyakannya boleh dirawat sendiri di rumah.

“Sekiranya kecederaan lebih serius, rawatan perubatan segera mungkin diperlukan. Jadi, amat penting bagi ibu bapa mempunyai sedikit sebanyak pengetahuan untuk mengenal pasti keadaan anak mereka sekiranya berlaku (melecur),” katanya ketika ditemui pada Program Bantuan Kecemasan Keluarga di hospital berkenaan, baru-baru ini.

Dr Fadzlina berkata, penyebab paling biasa melecur berlaku pada kanak-kanak adalah daripada stim, air mandian panas, cecair masakan dan air panas tertumpah.

Selain itu katanya, beberapa punca lain termasuk terkena percikan atau benda panas daripada dapur dan seterika selain lepuhan kimia daripada bateri atau terkena tumpahan bahan kimia seperti peluntur.

Arus elektrik daripada saluran atau wayar elektrik juga katanya, antara risiko luka lecur atau terbakar yang boleh berlaku kepada kanak-kanak.

Pada asasnya terdapat tiga peringkat lecur atau terbakar yang perlu diberi perhatian:

1. Luka lecur/bakar tahap pertama

- Membabitkan hanya lapisan atas kulit (epidermis)

- Kulit berwarna merah, kering dan biasanya berasa sakit

- Kawasan lecur/bakar ini boleh membengkak

- Selalunya sembuh dalam masa seminggu tanpa meninggalkan parut

2. Lecur/bakar tahap kedua

- Turut membabitkan lapisan atas kulit

- Kulit berwarna merah, melecur dan terdapat gelembung cecair, menjadikan kulit kelihatan basah

- Kulit yang melecur/terbakar berubah warna

- Biasanya berasa sakit dan membengkak

- Tempoh sembuh mengambil masa tiga hingga empat minggu

- Boleh meninggalkan parut

3. Lecur/bakar penuh tahap ketiga

- Memusnahkan semua lapisan kulit dan boleh mencederakan struktur di bawah lapisan kulit - lemak, otot, tulang dan saraf

- Kulit menjadi perang atau hitam (hangus) dengan tisu di bawahnya kelihatan putih

- Tidak berasa sakit sekiranya saraf turut terbakar

Dapatkan bantuan perubatan segera apabila anda mendapati:

- Anak anda mengalami pembakaran kedua atau ketiga.

- Kawasan yang terbakar/melecur besar (diameter dua ke tiga inci)

- Luka terbakar berasal disebabkan kebakaran, wayar atau soket elektrik, atau bahan kimia.

- Luka terbakar pada wajah, kulit kepala, tangan, permukaan sendi atau alat kelamin.

- Luka terbakar kelihatan dijangkiti (dengan bengkak, nanah, peningkatan kemerahan, atau kulit merah berhampiran luka)

Pencegahan luka terbakar atau melecur

- Pastikan mancis, pemetik api, bahan kimia, dan lilin menyala daripada jangkauan kanak-kanak.

- Letak perlindungan keselamatan kanak-kanak di semua punca elektrik.

- Selalu uji air mandi dengan siku sebelum meletakkan anak anda di dalamnya.

- Sentiasa hidupkan air sejuk pada awal dan sebelum menutupnya apabila mengalirkan air ke dalam tab mandi atau sinki.

- Letakkan pemegang periuk ke arah belakang dapur setiap kali anda memasak.

- Sekat akses ke dapur sebanyak mungkin.

- Elakkan menggunakan pelapik meja besar yang boleh ditarik mereka dan membalikkan minuman panas atau pinggan makanan.

- Jauhkan minuman panas dan makanan daripada jangkauan kanak-kanak.

- Jangan memegang bayi atau anak kecil semasa memasak.

- Jangan sekali-kali panaskan botol bayi dalam ketuhar gelombang mikro. Cecair di dalamnya mungkin tidak panas dengan sekata hingga melecurkan mulut bayi.

Disiarkan pada: March 19, 2019 @ 7:00am
d