hati

Larian penuh warna

Oleh Norlaila Hamima Jamaluddin

SUASANA pesta warna dan cahaya dalam Larian Illumi Malaysia 2019 yang diadakan baru-baru ini di Kelab Lumba Kuda Selangor, Kuala Lumpur memang meriah.

Keseronokan jelas terpampang di wajah lebih 7,000 peserta apatah lagi ramai yang membawa ahli keluarga dan anak untuk sama-sama beriadah dalam suasana ceria.

Bukan kanak-kanak saja yang teruja, malah orang dewasa juga mengambil kesempatan bergambar sakan mahu merakam kenangan indah yang ditawarkan acara bersinar dalam gelap itu.

Pesta Larian Illumi Malaysia kali kedua anjuran Infinitus Productions Pte Ltd dengan sokongan MPI Generali Insruans Berhad itu diadakan bagi menggalakkan gaya hidup sihat tanpa mengira usia dengan cara yang menggembirakan. Pada masa sama, peserta juga berpeluang melakukan kebajikan kerana RM3 daripada yuran penyertaan akan didermakan kepada The Human Safety Net iaitu satu gerakan global yang dimulakan oleh Generali untuk memperkasakan golongan kurang bernasib baik.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MPI Generali Insurans Berhad, K G Krishnamoorthy Rao, acara kali ini lebih meriah kerana peserta larian disimbah dengan cecair neon berwarna-warni di sepanjang laluan sejauh empat kilometer.

Katanya, beberapa elemen menarik turut dimasukkan dalam larian edisi kedua itu seperti Taman Permainan Neon dan gelongsor gergasi, sesuai dengan konsepnya untuk menjadikan acara berkenaan sebagai platform buat seisi keluarga, kanak-kanak dan sahabat handai berhimpun dalam aktiviti cergas.

Setiap laluan diberikan tema berbeza dan pelbagai aktiviti disediakan di Perkampungan Perlumbaan yang terbahagi kepada empat zon. Selepas melalui zon pertama, Glow Mania (terowong bercahaya), peserta memasuki dunia ‘ultra ungu’ di Bubble Pop sebelum singgah di zon Neon Life dan menamatkan larian di Zon Crazy Lazer. Beberapa permainan popular bersaiz gergasi seperti Hopscotch (jengket), Jenga, Tic-tac-toe dan Glo Swing iaitu buaian bercahaya berjaya menarik perhatian peserta kecil.

Walaupun ia acara larian, tetapi rata-rata peserta mengambil peluang untuk untuk berseronok dengan ahli keluarga dan rakan-rakan. Malah sebahagian besar hanya berjalan untuk menikmati suasana nyaman malam itu. Walaupun berjalan, ia tetap menjadi aktiviti riadah bagi peserta khususnya yang mempunyai masalah kesihatan kerana bukan mudah untuk menghabiskan jarak sejauh itu tanpa semangat dan sokongan keluarga serta rakan-rakan.

Salah seorang peserta yang hanya mahu dikenali sebagai Jasmine, 28, mengakui perkara itu. Dia yang mengalami masalah tulang belakang berkata, bukan mudah untuknya berlari sejauh empat kilometer tetapi suasana yang menyeronokkan dan keterujaan memberinya motivasi menghabiskan larian walaupun secara perlahan-lahan.

Acara itu juga membuatkan dia berazam untuk terbabit dalam lebih banyak acara kecergasan bagi mengekalkan kesihatannya. Namun baginya, perkara paling penting ia mestilah aktiviti yang boleh dilakukan bersama keluarga.

Disiarkan pada: March 22, 2019 @ 4:30am
d