hati

'Demimu ayah...'

Oleh Siti Nadirah Hafidzin

KASIH ibu membawa ke syurga, kasihnya ayah sepenuh jiwa. Jika ditanya kepada mana-mana pasangan ibu bapa tentunya semua sanggup melakukan apa saja demi memastikan cahaya mata penyambung keturunan dapat hidup dengan selesa.

Berkorban nyawa, wang ringgit dan masa demi kelangsungan hidup anak, tiada apa yang mereka fikirkan asalkan zuriat tersayang tidak berdepan dengan kesulitan sehingga berjaya ke menara gading.

Seiring perjalanan masa, dua keramat hidup itu semakin berusia manakala anak pula semakin meningkat dewasa. Saat ibu bapa berdepan dugaan kesihatan menjadi detik paling penting yang memerlukan pengorbanan anak.

Ketika itulah peranan anak sangat diperlukan terutama sekiranya ibu atau bapa terlantar sakit dan memerlukan penjagaan penuh daripada insan di sisi.

Kisah Adri Akmal Mhd Arif, 29, yang memilih untuk tidak berenggang daripada bapanya sungguh memberi inspirasi kepada anak muda yang lain. Mana tidaknya, kala belia lain sibuk mencari pekerjaan di syarikat besar demi mendapatkan pendapatan bulanan lumayan, situasi itu jauh berbeza dengan lelaki berjiwa murni ini.

Memulakan bicara, Adri berkata, semuanya bermula apabila ayah tersayang, Mhd Arif Ujang, 70, disahkan menghidap kanser usus dan sakit saraf, empat tahun lalu.

“Ketika itu keadaan kesihatan ayah tidak berapa baik dan memerlukan bantuan sepenuhnya daripada keluarga terutama saya dalam menjalani rutin hariannya.

“Pada masa sama, saya juga sudah tamat belajar ketika itu, tanpa berfikir panjang, tekad menjalankan perniagaan bakeri dan pastri di rumah untuk dijual secara dalam talian supaya sentiasa ada di rumah,” katanya.

Adri yang juga anak bongsu daripada dua beradik berkata, memandangkan satu-satunya anak lelaki dalam keluarga membuatkan dia semakin tekad dengan keputusannya.

“Saya tidak malu berniaga di rumah malah berasa tenang dan gembira dengan apa yang dilakukan. Sambil menyiapkan tempahan pelanggan yang dibantu seorang pekerja, saya dapat menguruskan ayah.

“Saya mandikan, bantu ayah memakai pakaian, memberi makan dan menyediakan apa saja yang dia mahukan memandangkan ayah mengalami masalah saraf serta sangat sukar bergerak,” ujarnya.

Menurutnya, ketika itu, ibu dan kakaknya bekerja namun tetap bersama-sama membantu melakukan urusan ayah.

“Saya tidak sedikit pun berasa terbeban dengan dugaan ini malah bersyukur kerana diberikan peluang untuk berbakti kepada ibu bapa. Mungkin dugaan ini tidaklah sehebat orang lain namun semua ini banyak mengajar saya erti kesabaran dan reda dengan ketentuan.

“Ketika ini baru tahu betapa besarnya pengorbanan doktor dan jururawat yang perlu berdepan serta melayani puluhan pesakit pada satu masa dengan pelbagai kerenah. Syukur kerana kami dapat melalui dugaan ini dengan tenang. Bahkan rasa sangat bersyukur juga, perniagaan saya juga bertambah baik hari demi hari,” katanya.

BERUSAHA BAHAGIAKAN IBU BAPA

Menurut Adri, berkat usaha membantu ayahnya melakukan terapi, keadaan kesihatan ayahnya kini bertambah baik.

“Perkembangan kesihatannya menunjukkan perubahan yang baik, ayah dapat bergerak sedikit demi sedikit dan dia juga kelihatan semakin bertenaga.

“Semua ini berkat kesabaran ayah menjalani terapi dan kami sekeluarga juga banyak membantunya serta memberi kata semangat,” katanya.

Katanya, bagi memastikan kedua-dua ibu bapanya gembira, dia sering membawa dua keramat hidupnya itu pergi bercuti pada waktu terluang.

“Ibu kini sudah bersara sepenuhnya dan turut berada bersama saya di rumah, kakak pula tinggal berhampiran dengan kami. Hampir setiap bulan saya dan kakak akan membawa ibu dan ayah bercuti ke destinasi yang dirasakan sesuai untuk ayah.

“Paling kerap, kami bawa ayah bercuti di hotel sekitar Port Dickson, Negeri Sembilan kerana tidak terlalu jauh daripada rumah kami di Kuala Lumpur,” ujarnya.

Adri berkata, dia sering menempah hotel yang mempunyai kolam renang peribadi di dalam bilik bagi memudahkan ayahnya melakukan terapi di kolam itu.

“Saya jadikan ia sebagai antara terapi ayah iaitu dengan berendam di kolam renang, saya akan bantu ayah bergerak secara perlahan-lahan di dalam air yang mana ia banyak memberikan kesan positif dalam perkembangan kesihatan ayah.

“Ada yang bertanya tidak mahal ke bilik hotel sebegitu? Saya hanya tersenyum kerana harganya tidaklah terlalu mahal hingga mencecah ribuan ringgit semalam. Lagipun, saya memang simpan sedikit keuntungan daripada berniaga untuk bercuti bersama keluarga. Lebih banyak saya laburkan untuk ibu bapa, lebih bahagia rasanya,” katanya.

Apabila diajukan soal kepenatan, Adri Akmal berkata, lumrah menjaga orang sakit sememangnya memerlukan kesabaran yang tinggi.

“Ayah tidaklah terlalu banyak ragam, ditambah ibu dan kakak juga bersama-sama menjaga ayah. Apa yang dilakukan tidak sehebat pengorbanan mereka (ibu ayah) membesarkan saya sejak kecil hingga dewasa. Rasanya lebih sukar untuk melayan kerenah anak yang nakal.

“Mungkin ini dugaan untuk kami sekeluarga dan saya percaya dalam 10 orang hanya seorang saja yang tidak mempunyai rasa belas kasihan terhadap ibu bapa. Hampir semua anak akan melakukan apa saja termampu demi ibu ayah tersayang,” ujarnya.

Katanya, dia kini sangat gembira kerana sejak awal tahun lalu, keadaan kesihatan ayahnya bertambah baik.

“Tahun lalu, kami berempat dapat menyambut hari raya sama seperti insan lain selepas beberapa tahun tidak meraikannya dengan meriah, walaupun ayah tidaklah terlalu kuat, dia sudah mampu duduk dengan baik dan tersenyum gembira.

“Hanya air mata yang dapat menggambarkan betapa gembiranya hati saya apabila melihat dia semakin sihat. Dialah kekuatan hidup saya yang sebenar dan tidak akan sesekali mengabaikan ibu bapa selagi hayat dikandung badan,” katanya.

Disiarkan pada: March 22, 2019 @ 6:00am
d