hati

Rahsia kulit cantik? Makan tomato setiap hari!

Oleh Siti Zarinah Sahib

PAKAR pemakanan Barat pernah mengatakan penampilan anda hari ini adalah bergantung kepada jenis makanan yang diamalkan 10 atau 20 tahun lalu. Kata-kata ini memang banyak benarnya. Cuba perhatikan bentuk tubuh dan kulit anda. Cuba ingat apa yang masuk ke dalam badan anda dalam tempoh 10 tahun kebelakangan ini. Adakah makanan sihat atau sebaliknya? Bandingkan juga corak penjagaan wajah. Sejauh mana anda menitikberatkan rutin harian menjaga kulit?

Bagi si cantik manis Nurul Shuhada Sarbene, 28, dia mengakui tiada jalan mudah untuk cantik dan sihat. Ini kerana ia memerlukan tiga perkara utama iaitu ilmu, tindakan dan juga konsisten mengamalkannya.

Jelas anak kelahiran Kemaman, Terengganu ini, dia bersyukur kerana didikan ibu menyebabkan dia begitu menitikberatkan penampilan diri. Disebabkan pengaruh iklan bermula sejak usia belasan tahun, Nurul Shuhada obses untuk cantik dan mula membeli produk penjagaan wajah yang dijual di pasaran.

“Ketika itu saya melihat banyak iklan mempamerkan kejelitaan wanita. Sedikit sebanyak ia mendorong saya memiliki wajah yang sihat dan segar. Oleh itu saya mula mendapatkan pencuci, pelembap dan penyegar sebagai rutin harian,” katanya.

Dia bersyukur kerana banyak mewarisi amalan ibu terutama dalam pemakanan dan penjagaan wajah. Ibu mengamalkan sayur-sayuran dan ulam seperti ulam raja, pegaga, daun selom dan petai yang memberikan banyak kebaikan kepada tubuh.

“Dalam hidangan harian tidak lengkap tanpa ulam dan sayur hijau. Tabiat ini diteruskan sehinggalah saya mendirikan rumah tangga dan memiliki seorang cahaya mata yang kini berusia 11 bulan,” katanya.

Ujar Nurul Shuhada, amalan pengambilan tomato yang dimakan mentah setiap hari turut membantunya mendapatkan kulit yang sihat tanpa sebarang jerawat. Malah ketika mengandung sayuran ini tidak pernah ditinggalkan.

“Tomato adalah sayuran yang mempunyai banyak khasiat sebab itu saya jadikan sebagai amalan harian. Kadang-kadang dimakan mentah, dimasukkan ke dalam masakan atau dibuat jus,” ujarnya lagi.

Untuk mendapatkan rambut yang hitam dan lebat, dia mencuci rambutnya menggunakan limau nipis. Selain mengurangkan kelemumur rambut menjadi harum secara semula jadi.

Melihat bentuk badannya yang langsing, dia memberitahu rahsianya. Sejak berusia belasan tahun wanita cantik ini mengelak mengambil sebarang juadah atau minuman berais. Walaupun ia bukanlah sesuatu yang mudah kerana cabaran utama apabila makan di luar tetapi wanita ini tekad untuk mengambil air kosong atau suam sahaja sepanjang hari.

“Apa yang saya lakukan adalah sentiasa membawa botol air kosong ke mana sahaja termasuk kedai makan. Saya akan minum air setiap 15 minit dalam jumlah yang kecil sehingga mampu menghabiskan dua liter sehari,” katanya.

Menurut Nurul Shuhada yang juga Pengarah Eksekutif SIS Aesthetic, dia tekad istiqamah mengelak minuman bergula dan berais selepas menyedari banyak kebaikan diperoleh apabila tidak mengambil air sejuk. Paling jelas perut tidak buncit malah sebaik saja tamat tempoh berpantang, dengan mudah Nurul mendapat kembali bentuk dan berat badan ideal.

MINUM AIR KOSONG

Menceritakan rutin hariannya setiap hari selepas bangun tidur perkara pertama dilakukan adalah minum air kosong sekurang-kurangnya dua gelas diikuti dua liter sehari.

“Bagi saya rahsia kecantikan wajah datangnya daripada pengambilan air yang mencukupi terutama dalam keadaan cuaca panas. Air bukan saja penting untuk mengelak masalah kesihatan tetapi menjadi pilihan individu untuk kekal cergas,” katanya.

Selepas itu dia membersihkan wajah menggunakan pencuci muka sebanyak dua kali bagi memastikan kulit benar-benar bersih. Krim pelembap adalah satu kemestian buatnya selain mengamalkan pemakaian topeng wajah dua kali seminggu.

Membiarkan kulit dalam keadaan ‘tenang’ tanpa sebarang bahan alat solek menjadi pilihan Nurul Shuhada terutama apabila di rumah atau keluar santai bersama suami. Dia hanya bersolek rapi apabila perlu menghadiri acara keraian.

Bagi kekal sihat Nurul dan suami turut mengunjungi gimnasium pada setiap malam dan melakukan latihan selama satu jam.

“Saya akan pastikan senaman di gimnasium dapat membakar 100 kalori pada setiap hari. Ini sudah cukup untuk membenarkan saya makan apa sahaja yang saya inginkan,” katanya yang makan dua kali sehari tetapi dalam jumlah kecil.

Amalan pemakanan Nurul Shuhada:

1. Berpantang ais, minum air kosong sahaja. Bawa botol air kosong ke mana saja termasuk kedai makan.

2. Kurangkan makanan berminyak dan tinggi gula sebaliknya lebihkan makanan yang direbus dan panggang.

3. Makan nasi dalam jumlah yang sedikit, dengan konsep suku-suku-separuh. Gunakan beras perang sahaja.

4. Pastikan dalam hidangan ada pelbagai warna sayur-sayuran.

5. Elakkan makanan ringan. Ambil buah seperti epal dan oren sebagai snek setiap hari.

Disiarkan pada: March 26, 2019 @ 5:00am
d