hati

Nenek sumber inspirasi

Oleh Siti Zarinah Sahib

SEJAK berusia belasan tahun, Farhana Abdullah, 29, sering melihat neneknya, Mariyam Zainah Bamadhaj mengumpul barangan dapur seperti susu, beras, teh dan minyak masak yang dipek dalam beg untuk diberikan kepada golongan kurang berkemampuan. Barangan ini kemudian diletakkan di masjid di kawasan sekitar bagi memudahkan pengagihannya.

Mengibaratkan nenek sebagai badan bukan kerajaan (NGO) bergerak sedikit demi sedikit dia mula tersentuh dengan apa yang dilakukan nenek apabila turut membantu membungkus barang keperluan itu bersama ahli keluarga yang lain.

“Saya masih ingat nenek melakukan kerja amal ini sejak 30 tahun lalu. Ketika itu usianya penghujung 40-an dan kini dia sudah menjangkau 84 tahun, namun masih aktif melakukan kerja amal secara solo.

“Setiap kali Ramadan nenek akan merancang apa yang akan diberikan kepada golongan susah. Kemudian kami adik-beradik akan membantu membungkus barang dan kemudian mengagih-agihkan ke setiap masjid. Saya masih ingat saya diberikan 20 bungkus untuk diletakkan di masjid di Shah Alam, kakak pula di masjid berbeza begitu juga dengan ayah dan ibu. Masing-masing ada peranan dan tanggungjawab. Kepuasannya apabila setiap barang dapat diberikan kepada mereka yang memerlukan,” katanya.

Selain pemberian barangan keperluan, neneknya juga sering berkunjung ke rumah anak yatim dan rumah orang tua bagi menyampaikan bantuan. Malah neneknya langsung tidak berkira menyumbangkan hartanya untuk orang lain.

Sedikit demi sedikit apa yang dilakukan nenek mula meresap dalam diri Farhana apatah lagi melihat kehidupannya yang sering dipermudahkan Allah. Malah dia sihat tanpa sebarang penyakit, masih kuat melakukan kerja amal sehingga ke hari ini.

Anak bongsu tiga beradik ini mengakui amalan nenek memberi inspirasi kepadanya untuk mengajak lebih ramai individu melakukan perbuatan yang sama.

Mereka tidak perlu menyertai mana-mana NGO sekiranya tidak berkemampuan tetapi boleh melakukannya sendiri.

“Misalnya dengan mengunjungi rumah anak yatim dan mendengar sendiri luahan hati mereka, memeluk dan mencium mereka adalah nilai berbeza berbanding hanya menyampaikan derma ikhlas. Ini kerana kita dapat merasai apa yang mereka rasakan. Mungkin bagi kita sekeping coklat terlalu biasa namun bagi anak yatim ini ia sangat bermakna dan menyentuh hati mereka,” katanya.

Menceritakan satu pengalaman yang sukar dilupakan ia berlaku di Ulu Tiram, Johor apabila Farhana dan neneknya mengunjungi satu keluarga yang sangat daif.

“Rumah mereka sangat kecil. Di situlah dapur, tempat tidur dan ruang berehat. Atap pula hampir bocor di sana sini. Apabila hujan mereka terpaksa mencari ruang yang dapat melindungi diri daripada titis air hujan.

“Makanan pula bercatu, hanya nasi dan ikan masin. Itulah sarapan dan makan tengah hari. Saya dan nenek terpanggil untuk membantu keluarga ini dengan memberikan barangan keperluan dapur, duit untuk berbelanja serta memperbetulkan keadaan rumah mereka.

“Selepas siap, jelas kegembiraan pada wajah ibu dan anaknya. Menitis air mata melihat senyuman mereka ternyata inilah kepuasannya. Sejak itu saya berazam tidak mahu berhenti dan terus menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan,” katanya yang memiliki ijazah Sarjana Muda Undang-Undang daripada Universiti Islam Antarabangsa (UIA).

Bekerja selama empat tahun dalam bidang guaman Farhana kemudian melepaskan jawatan untuk menjalankan perniagaan sendiri selain menumpukan perhatian dalam kerja amal bersama keluarga.

LANCAR KEMPEN #TAMAKPAHALA

Dia yang terpanggil untuk mendidik lebih ramai individu khususnya golongan muda supaya berhati mulia dengan menghulurkan bantuan kepada golongan kurang berkemampuan mula melancarkan kempen #misimencarikekasih dan #tamakpahala2019 bermula Mac ini.

Meskipun mempunyai latar belakang pengajian undang-undang, Farhana meletakkan visi dan misi untuk mendapatkan keberkatan di dalam setiap bidang yang diceburinya.

“Hampir tiga tahun saya menyepikan diri daripada mengeluarkan produk terbaharu di bawah jenama Ana B Official kini 2019 seakan-akan memberikan sinar baru kepada saya untuk membawa koleksi terkini sambil melancarkan kempen ini. Saya tidak mahu melakukan kebaikan seorang diri sebaliknya me­nyeru semua tanpa mengira usia dan jantina untuk sama-sama melakukan kebaikan,” katanya yang melancarkan busana terbaru abaya dan tudung bersama Ardell Aryana baru-baru ini.

Menurut Farhana, kempen misi mencari kekasih tujuannya mencari keredaan Allah dengan melakukan kebaikan secara berterusan. Memperkenalkan kad istiqamah, ia dapat digunakan sebagai perancangan kebaikan yang ingin dilakukan.

Tamak Pahala 2019 pula adalah kempen kebajikan sepanjang tahun yang ditujukan kepada semua. Tanpa had klasifikasi kebaikan, kempen ini dipercayai akan mendapat sokongan daripada pelbagai pihak termasuk orang perseorangan.

“Untuk kempen #tamakpahala2019 saya me­nyeru kepada semua untuk mula melakukan kebaikan. Cuba dahulu dan lihat apa yang anda akan peroleh. Mungkin jika selama ini rezeki sempit, mengalami kesukaran dalam pekerjaan dan sentiasa ditimpa masalah, insya-Allah bersedekah dapat melapang­kan serta memudahkan kehidupan. Seperti mana nenek pernah berkata jika kita menyenangkan hati orang lain sebenarnya Allah senang memudahkan urusan kita di dunia,” katanya.

Disiarkan pada: March 26, 2019 @ 6:30am
d