hati

Jangan sembarangan beli kanta lekap

Oleh HM Digital

MATA memainkan peranan cukup penting dalam menaikkan seri wajah seseorang. Tidak kira bundar, sepet mahupun galak, setiap pasang mata memiliki keunikan yang tersendiri.

Lihat saja bagaimana indahnya kerat pantun orang dulu yang menjelaskan asal datangnya perasaan sayang. Kata mereka, dari mata turun ke hati. Namun, wanita moden kini lebih sukakan warna mata dengan corak yang pelbagai. Tidak mengapa jika memilih jenama diyakini dan sah selamat.

Bagaimanapun, yang mencetuskan kebimbangan adalah pilihan kanta lekap berwarna tanpa jaminan keselamatan. Lihat kembali betapa besarnya fungsi penglihatan buat diri kita. Tanpa mata, kehidupan pasti sukar dan berbeza.

Sebagai langkah berjaga-jaga, sentiasa pilih kanta lekap diiktiraf selamat. Elakkan memakai kanta lekap harian lebih daripada tempoh sepatutnya. Semak tarikh luput dan paling penting, pastikan tangan serta bekas penyimpanan sentiasa dalam keadaan bersih sebelum mengendalikan kanta lekap.

Ketahui kebanyakan kanta lekap yang dijual tanpa jaminan keselamatan boleh menyebabkan jangkitan kuman. Paling teruk, anda mungkin berisiko mengalami buta.

Disiarkan pada: March 27, 2019 @ 6:30am
d