hati

Empayar 2 anak muda

Oleh Siti Nadirah Hafidzin

KEHIDUPAN tidak semudah disangka, tidak pula terlalu sukar hinggakan tidak boleh melangkah. Di dalam al-Quran juga tercatat Allah tidak akan memberikan ujian yang tidak mampu ditanggung hamba-Nya. Apa yang pasti, dugaan itu perlu diterima dengan hati dan fikiran terbuka, dilihat dari sisi positif untuk menguatkan jiwa mencapai apa yang dicita.

Jika ditanya mana-mana individu mengenai impian hidup, tentu ramai yang menyuarakan hasrat untuk berjaya dengan cemerlang bukan saja untuk diri sendiri malah berkongsi rezeki itu dengan individu lain terutama kepada insan memerlukan.

Impian yang sama turut dirasai dua anak muda yang sangat komited membina empayar perniagaan sendiri sekali gus membuktikan usia bukanlah halangan untuk berjaya.

Kedua-duanya sanggup berkorban masa, tenaga dan wang demi membina nama dan jenama atas kudrat kaki sendiri tanpa mengharapkan belas ihsan individu lain.

Semuanya bermula secara tidak sengaja apabila perkenalan tidak diduga yang akhirnya membawa kepada hubungan sahabat.

Memulakan bicara, Abdul Mu’iz Abdul Aziz, 27, (kiri) berkata, dia bertemu Ahmad Hunain Hazli, 26, yang menjadi pelanggannya.

“Beberapa tahun lalu, saya jalankan perniagaan menjual pomade dan ia menjadi detik permulaan kami berkenalan.

“Selain menjadi pelanggan, kami juga beberapa kali bertemu dalam kelas perniagaan kerana masing-masing berusaha menuntut ilmu untuk bergelar usahawan berjaya pada usia muda,” katanya.

Abdul Mu’iz berkata, daripada detik itu, hubungan menjadi semakin erat atas faktor kesefahaman yang ada sehingga kedua-duanya terfikir untuk menjalankan perniagaan bersama.

“Dia (Ahmad Hunain) lebih mahir dalam pemasaran manakala saya lebih kepada kajian produk. Kami gunakan kemahiran masing-masing untuk membina jenama dan produk sendiri.

“Walaupun ada yang mempersoalkan kebolehan atau kemampuan kerana kami berdua masih terlalu muda, ia tidak sedikit pun mematahkan semangat kami. Memang benar, kami masih belajar menjadi usahawan. Kami sebenarnya sangat bersyukur pada usia muda sudah mengenali onak duri dalam dunia perniagaan,” ujarnya.

Menurutnya, dia bersyukur kerana ayahnya banyak memberi tunjuk ajar terutama berkaitan aspek penghasilan produk.

“Kami adalah peminat produk rambut terutama minyak rambut dan ia menjadi sebab utama saya berusaha mengkaji ramuan khas semula jadi untuk membantu menangani pelbagai masalah rambut dan kulit kepala.

“Saya juga bersyukur kerana ayah banyak membantu sehingga terhasilnya produk rambut atas jenama kami sendiri iaitu Lespettua yang menggunakan buah keras sebagai bahan utama,” katanya.

Menurut Abdul Mu’iz, semuanya tidaklah semudah disangka kerana pahitnya hanya dapat dirasai diri sendiri dan rakan kongsi.

“Saya jenis individu yang tidak suka berkongsi kisah sedih atau duka, cukuplah orang tahu kami sangat berusaha keras untuk membina perniagaan ini. Terlalu banyak keperitan yang sukar dikongsi lagipun kami hanya budak baru yang masih belajar bertatih dalam bidang ini. Terima kasih diucapkan kepada guru perniagaan kami iaitu Sharifuddin Musa.

“Perkara paling banyak saya pelajari adalah jangan mudah berpuas hati serta berusahalah hingga ke titisan darah terakhir kerana untuk berjaya dalam bidang ini sememangnya sukar,” ujarnya.

BANTU INDIVIDU JANA PENDAPATAN

Abdul Mu’iz berkata, selain dapat menjana pendapatan bulanan sendiri, dia dan Ahmad Hunain berusaha membantu individu lain termasuk wanita untuk mendapatkan peluang pekerjaan.

“Kami sedaya upaya membina jenama ini sebaik mungkin terutama bagi memastikan Lespettua dikenali umum.

“Untuk bantu orang lain dari segi lain kami belum mampu dan disebabkan itu, kami sepakat membantu individu yang memerlukan pekerjaan. Selain itu, kami juga membuka peluang kepada pelajar yang ingin membuat latihan amali di syarikat kami.

Menurutnya, di samping bekerja, semua kakitangan diberikan ilmu dalam bidang perniagaan bagi memastikan dapat menambah cabang kerjaya selepas ini.

Katanya, untuk sasaran terdekat, dia berusaha keras untuk memperkenalkan jenamanya di pasaran tempatan.

“Bukan senang untuk bersaing, apatah lagi terlalu banyak produk seperti ini di pasaran dan disebabkan itu, kami hampir tidak dapat tidur lena memikirkan strategi berkesan yang boleh diguna pakai. Kedua-dua ibu bapa kami banyak memberi sokongan dan dorongan untuk lebih berjaya, mereka jugalah yang berada di saat sukar dengan menjadi individu yang menenangkan. Begitu besar peranan ibu bapa kami dalam kehidupan juga perniagaan ini.

“Bagi saya, sekali sudah melangkah, kami tidak akan berganjak. Kami berdua juga masih muda dan memerlukan komitmen tinggi diberikan dalam bidang ini,” katanya.

Menurutnya, selain faktor minat sendiri, semua yang dilakukan kini adalah untuk kesenangan masa depan sekali gus membuktikan kepada masyarakat yang generasi muda juga mampu berjaya hasil usaha sendiri.

“Kami sedaya upaya membuang tanggapan umum yang mengatakan belia kini ramai yang malas. Walaupun ada betulnya namun ia bukanlah pada semua.

“Masih ramai belia yang berusaha gigih untuk mengecapi kejayaan diimpikan tanpa mengharapkan bantuan individu lain,” katanya.

Disiarkan pada: March 28, 2019 @ 6:30am
d