hati

Kenal pasti masalah mata anak

Oleh Siti Nadirah Hafidzin

APABILA dimaklumkan oleh guru, anak sering mengalami masalah untuk menyalin semula perkataan daripada papan putih di sekolah menyebabkan hati si ibu dan bapa mula tidak keruan.

Pelbagai andaian difikirkan, adakah si anak mengalami masalah pembelajaran? Adakah dia bersikap malas untuk menyalin? Atau sememangnya anak kecil itu mengalami masalah mata.

Apabila diajukan persoalan kepada anak, kebanyakan empunya tubuh kecil itu hanya diam membisu, ada juga yang menjawab dia tidak mengalami apa-apa masalah menyebabkan kebanyakan ibu bapa semakin bingung.

Mengupas mengenai situasi itu, perunding keluarga dan kanak-kanak, Hazhari Ismail berkata, mengapa menyalin semula perkataan daripada papan putih menjadi sesuatu yang sangat sukar buat kanak-kanak? Ia menjadi satu persoalan hebat yang membelenggu kebanyakan ibu bapa.

“Selain ibu bapa, guru juga antara insan yang turut terkesan dengan permasalahan ini. Mana tidaknya, ia membabitkan anak didik yang perlu dibimbing apatah lagi sekiranya kanak-kanak itu baru memasuki alam persekolahan.

“Perkara ini tambah memeningkan ibu bapa apabila si anak tidak mengalami masalah penglihatan atau sudah sedia memakai cermin mata. Guru juga sudah mengalihkan kedudukan kanak-kanak terbabit supaya duduk di barisan hadapan kelas untuk memastikan dapat melihat papan putih dengan lebih jelas, namun masalah sama tetap terjadi,” katanya.

Hazhari berkata, walaupun dilihat tidak terlalu serius, sekiranya berterusan ia secara tidak langsung boleh menjadi penyebab kepada masalah tingkah laku membimbangkan seperti cuai, malas dan gemar memberi banyak alasan.

“Untuk situasi begini, kemungkinan besar kanak-kanak itu mempunyai masalah penglihatan yang mengganggu mereka untuk menyalin perkataan dari papan putih dengan mudah.

“Masalah penglihatan itu bukanlah masalah rabun semata-mata, namun terdapat pelbagai masalah penglihatan lain yang perlu diketahui setiap ibu bapa juga tenaga pengajar,” ujarnya.

Hazhari berkongsi antara masalah mata yang wujud:

1. Kemahiran penglihatan binokular (kerjasama mata yang lemah)

Kemahiran ini memerlukan dua mata untuk berkerja bersama. Oleh itu, menggerakkan mata dari satu sudut ke sudut yang lain adalah sesuatu yang mencabar bagi kanak-kanak. Ingat, menyalin perkataan daripada papan putih memerlukan proses yang agak rumit untuk kanak-kanak.

Mereka perlu memandang ke papan putih, kemudian pandang ke meja, buku dan kertas sebelum mula menulis dan pandang semula ke papan putih. Pada pada masa sama, mereka perlu mengingat bentuk setiap huruf yang membentuk perkataan. Disebabkan itu, mata kanak-kanak itu akan cepat penat ketika cuba untuk menyalin perkataan itu.

2. Disfungsi akomodasi

Ia merujuk kepada sejauh mana penglihatan kanak-kanak itu boleh fokus. Di dalam ujian penglihatan, kanak-kanak mungkin memperoleh 20/20 tahap penglihatan namun, ujian itu tidak memerlukan mereka untuk menumpukan fokus dalam tempoh tertentu atau mengubah fokus dengan cepat dari dekat ke jauh atau sebaliknya.

Jika sistem penglihatan mereka masih lemah atau tidak berkembang sepenuhnya, tempoh pengubahsuaian mereka untuk melihat dari satu sudut ke sudut lain mungkin akan mengambil masa yang lama.

3. Kemahiran okulomotor

Ia merujuk kepada masalah kekurangan atau kelemahan mata untuk mengesan yang menyebabkan pergerakan pengawalan mata tidak berlaku dengan cekap dan tepat. Ia juga menyebabkan pandangan mereka ‘melompat-lompat’ atau meninggalkan perkataan yang dilihat.

Seperti proses menyalin perkataan di papan putih, mereka akan tercari-cari perkataan yang perlu disalin semula dan menyebabkan pergerakan berlaku dengan sedikit lambat.

4. Proses maklumat dari penglihatan

Ia berkait rapat dengan masalah memori penglihatan, kanak-kanak ini mungkin mempunyai kekurangan kemahiran visual dan menyebabkan mereka memproses perkataan atau huruf secara terbalik atau ke belakang. Masalah ini dikenali sebagai disleksia, yang lazimnya hanya dapat dikenal pasti ketika kanak-kanak baru masuk ke sekolah.

Tambah Hazhari, kanak-kanak begitu bersungguh-sungguh dalam proses pembelajaran yang membabitkan deria penglihatan kerana bilik darjah era kini memerlukan murid untuk menghabiskan berjam-jam masa dengan papan putih atau skrin.

“Namakan apa saja, papan putih, skrin projek besar dan belum lagi dengan gajet yang sememangnya sudah dilihat di rumah.

“Mata kanak-kanak akan berasa tegang dan letih dari proses menyalin perkataan. Kesukaran untuk menyalin perkataan dari papan putih juga menyebabkan perkembangan yang agak perlahan, pencapaian pelajaran yang rendah selain kekecewaan dengan diri sendiri,” katanya.

Menurutnya, lebih membimbangkan, situasi itu juga menyebabkan kanak-kanak terbabit mungkin tidak dapat menyertai aktiviti kelas bersama rakan sekelas.

“Untuk ibu bapa, segeralah bawa anak anda bertemu doktor mata untuk pemeriksaan lanjut. Pengesanan awal amat penting kerana potensi untuk menyelesaikan masalah itu juga besar.

“Guru juga boleh lakukan pemantauan lebih rapi dan maklumkan kepada ibu bapa sekiranya mengesan sebarang masalah. Paling penting masalah ini tidak boleh dibiarkan begitu saja tanpa sebarang tindakan,” ujarnya.

Disiarkan pada: April 2, 2019 @ 5:00am
d