hati

Bukan penamat kehidupan

Oleh Siti Nadirah Hafidzin

DUNIA adalah destinasi persinggahan untuk menguji tahap keimanan seseorang. Setiap manusia juga tidak terkecuali daripada ujian yang mematangkan kehidupan. Suka dan duka datang bersilih ganti, ada kalanya kita di atas dan ada ketikanya di bawah. Begitulah asam garam dalam melayari kehidupan serba mencabar ini.

Perkenalan penulis dengan wanita berjiwa kental ini berlaku tanpa sengaja ketika menghadiri sebuah majlis pelancaran kaedah rawatan kanser terkini di Hotel Hilton, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Dia yang dijemput sebagai tetamu undangan sungguh memberikan inspirasi. Melihat perwatakannya, penulis seakan-akan tidak percaya wanita kelahiran Kuala Kubu Bharu, Selangor ini seorang daripada pejuang kanser.

Berkongsi pengalaman hidup apabila disahkan menghidap kanser payudara, Mazwin Mohd Radli, 39, berkata, semuanya bermula apabila dia menyedari terdapat ketulan ganjil di payudaranya sebelum tekad melakukan pemeriksaan lanjut.

Menurutnya, memandangkan dia berkhidmat dalam bidang perubatan dan ubatan membuatkannya tidak mahu melengahkan masa bagi memastikan tiada sebarang perkara yang perlu dirisaukan ketika itu.

“Apabila menyedari terdapat ketulan itu, kata hati kuat mendorong saya melakukan pemeriksaan dan akhirnya tanggal 2 April 2015, saya disahkan menghidap kanser payudara tahap dua.

“Bohong jika saya katakan saya okey, terbayang wajah anak yang masih kecil, suami, keluarga dan rakan karib,” katanya.

Mazwin yang berkhidmat sebagai penyelia farmasi di Hospital Pantai Kuala Lumpur berkata, satu persatu perkara yang membimbangkan mula muncul dalam fikiran ketika itu terutama membabitkan rawatan dan anak.

“Saya segera positifkan diri, walaupun sukar, saya tetap cuba demi memastikan diri dapat kekal sihat dan kuat untuk melawan kanser.

“Pada masa sama saya cari individu yang boleh beri kekuatan terutama dalam kalangan ahli keluarga, rakan karib, rakan sekerja dan doktor. Saya juga sentiasa mencari maklumat daripada sumber yang sahih berkenaan kanser selain tidak sesekali mendengar kata-kata negatif yang boleh membuatkan saya lebih kecewa dan lemah,” katanya.

Kata Mazwin, semuanya dilakukan demi anak kerana dia mahu terus hidup dan sihat untuk melihat cahaya matanya membesar.

“Benar kata orang, apabila seorang wanita itu sakit, apa yang difikirkan hanya anak, ketika itu anak bongsu saya baru berusia tiga tahun dan tidak tahu apa-apa, suami banyak mainkan peranan dengan memastikan mereka dalam keadaan baik terutama ketika dan selepas saya jalani rawatan.

“Saya akan lemah setiap kali selesai rawatan terutama kemoterapi. Ketika itulah saya perlu ada kekuatan diri sendiri bagi memastikan tidak mudah putus asa dalam berdepan dugaan ini, “ katanya.

Mazwin berkata, tanpa sebarang alasan, dia terus mengikut segala yang diarahkan doktor termasuk tidak tertinggal sebarang sesi rawatan atau pembedahan.

“Apa yang saya fikirkan adalah untuk kekal sihat dan kekal bertenaga. Syukur, kos rawatan perubatan banyak ditanggung hospital tempat saya berkhidmat. Ia sedikit sebanyak menambah kekuatan yang ada pada diri saya memandangkan antara perkara membimbangkan diri adalah kos rawatan.

“Saya juga tidak sesekali terpedaya dengan sebarang amalan atau cara rawatan alternatif yang kononnya dapat menyembuhkan kanser apatah lagi saya sendiri bersama pegawai farmasi yang lain menubuhkan unit penyediaan ubat kanser beberapa tahun lalu,” katanya.

Menurut Mazwin, itulah yang dinamakan takdir, walaupun dia sendiri sangat dekat dengan ubatan kanser, dia tidak terkecuali untuk menghidap kanser.

“Saya terus positif, saya ikut semua saranan doktor termasuk menjalani pembedahan membuang ketulan kanser bagi memastikan saya bebas kanser.

“Pada masa sama, saya juga berusaha menjalani gaya hidup sihat dan kekal gembira bagi memastikan tetap kuat untuk melawan kanser,” katanya.

SINAR BARU KEHIDUPAN

Mazwin berkata, selepas menjalani pembedahan membuang ketulan kanser, enam pusingan kemoterapi, 23 sesi radioterapi dan 17 pusingan terapi bersama-sama ubat-ubatan, dia akhirnya disahkan bebas kanser pada Jun 2016.

“Walau bebas kanser, saya tetap perlu menjalani rawatan dan pemeriksaan susulan setiap tiga hingga enam bulan sekali bagi memastikan kanser ini tidak lagi aktif.

“Saya juga sentiasa berwaspada dengan memeriksa setiap perubahan yang berlaku pada tubuh bagi memastikan kanser tidak berulang. Di samping itu, saya jalani gaya hidup sihat dengan kerap bersenam, beriadah dan melakukan aktiviti sihat,” katanya.

Menurut Mazwin, dia juga banyak menghabiskan masa terluang dengan menyertai aktiviti atau program bersama pejuang kanser lain.

“Saya mahu bersama-sama berkongsi kekuatan dengan penghidap kanser kerana saya sendiri sedar betapa susahnya untuk kita dapatkan kekuatan dalam melawan barah.

“Atas sebab itu juga saya tidak malu untuk tampil ke depan berkongsi suka dan duka dengan orang ramai.

“Saya mahu penghidap kanser sedar masih ada sinar kehidupan walaupun selepas disahkan menghidap kanser kerana semua itu adalah kekuasaan Yang Maha Esa selain kita perlukan semangat, usaha dan doa tanpa putus asa,” katanya.

Mazwin berkata, dia juga mengingatkan mana-mana wanita yang berdepan kanser supaya kekal positif dan jangan mudah kecewa.

“Kanser bukanlah pengakhiran kehidupan, masih banyak perkara yang perlu dilakukan dan paling utama jangan abaikan sesi rawatan ditetapkan doktor kerana ia adalah keselamatan diri kita sendiri.

“Syukur, kini saya berpeluang menjalani kehidupan sama seperti insan lain, bergelar isteri dan ibu selain masih bekerja seperti biasa. Saya juga akan pastikan masa dihabiskan dengan melakukan perkara bermanfaat bukan saja untuk diri malah kepada insan lain yang memerlukan,” katanya.

Dalam pada itu, Mazwin turut mengingatkan lelaki yang diduga dengan ujian isteri yang sakit supaya sentiasa kuat dalam memberi semangat dan bantuan tanpa mengira masa.

“Jujur saya katakan berdepan kanser tidak semudah disangka, suami berperanan paling besar dalam membantu meringankan sedikit bebanan dan kesakitan isteri.

“Ini adalah dugaan saya dan reda dengan ketetapan ini, apa yang fokuskan kini adalah untuk terus sihat selain hidup gembira bersama keluarga dan rakan tersayang,” katanya.

Disiarkan pada: April 3, 2019 @ 6:01am
d