hati

Mandi lama sangat punca kulit kering?

Oleh Intan Mas Ayu Shahimi

SEMUA wanita mengimpikan kulit sihat dan berseri. Jadi, tidak hairanlah jika masalah kulit kering menjadi antara hal membimbangkan, terutama bagi mereka yang bekerja di pejabat melebihi lapan jam.

Jika ditanya kepada mereka yang berdepan masalah ini, sudah tentu banyak cara dilakukan untuk mendapatkan kulit sihat. Tambahan apabila ruam, kulit berkilat, kesan penuaan, garis halus dan kedut nampak ketara apabila kulit terlalu kering.

Keadaan ini mungkin terjadi disebabkan beberapa faktor antaranya kekurangan nutrien, air dan pendedahan terhadap cuaca yang tidak menentu. Jalan mudah mengatasi masalah ini adalah dengan melembapkan kulit menggunakan losyen dan krim serta memilih produk penjagaan diri bersesuaian keperluan.

Dalam kebanyakan kes, kulit kering mudah terjadi berikutan cuaca sejuk, pengambilan ubat dan pemilihan kosmetik atau sabun yang salah. Selain itu, kelenjar sebum yang lambat menghasilkan minyak semula jadi juga boleh menyebabkan kulit kering. Cuba semak beberapa punca berikut, adakah anda melakukan kesilapan sama?

1. Cuaca sejuk dan kelembapan udara yang rendah

Ini bukan masalah besar bagi negara tropika seperti Malaysia yang mempunyai tahap kelembapan yang tinggi. Bagaimanapun, dengan peningkatan penggunaan pendingin hawa, risiko kulit kering semakin meningkat. Suhu pendingin hawa terlalu sejuk boleh menyebabkan persekitaran kurang lembap dan menjadikan kulit kering jika terlalu kerap di dalam bilik.

2. Mandi dengan air yang terlalu panas

Kebiasaan mandi di dalam air yang terlalu panas boleh menyebabkan kelembapan semula jadi kulit mudah hilang. Akibatnya, kulit mudah kering. Pastikan suhu air mandi anda tidak terlalu panas supaya kelembapan kulit dikekalkan.

3. Mandi terlalu lama

Tabiat ini boleh membuat lebih banyak air menguap keluar dari badan. Kulit tidak membuat sentuhan langsung dengan air apabila mandi. Tetapi selepas mandi, air di permukaan badan sebenarnya menguap dan risiko membuat kulit kering. Untuk mengekalkan kelembapan kulit, hadkan masa mandi hingga kira-kira lima ke 10 minit.

4. Penggunaan sabun atau bahan antiseptik berlebihan

Tabiat ini boleh menyebabkan kulit menjadi tegang dan ketat. Rasa menyengat pada kulit selepas mandi tidak bererti anda bersih. Bahkan ia menandakan lapisan minyak semula jadi kulit hilang dan kulit menjadi kering. Semakin kerap anda terdedah kepada sabun, semakin banyak lapisan minyak pada kulit hilang. Perkara yang sama berlaku apabila anda menggunakan ramuan antiseptik.

5. Terlalu banyak menggosok badan

Skrub badan perlu untuk menghilangkan kulit mati. Tetapi jangan terlalu kerap menggunakan skrub untuk mengelak permukaan kulit rosak. Penggunaan alat mandian mandi seperti span, fabrik atau bahan kasar lain menjadikan kulit berasa bersih. Bagaimanapun, anda hanya perlu menggunakan tangan atau kain lembut untuk membersihkan badan.

6. Geseran tuala menjadikan permukaan kulit kering

Selepas mandi, majoriti daripada kita mengeringkan badan dengan menggosokkan tuala pada semua bahagian tubuh. Mengeringkan badan dengan lembut menggunakan tuala boleh membantu mengekalkan kelembapan kulit. Jangan lupa gunakan produk pelembap untuk keselesaan sepanjang hari.

7. Mengambil ubat tertentu boleh menyebabkan kulit kering.

Jenis ubat yang boleh menyebabkan kulit kering termasuk ubat jerawat, tekanan darah tinggi dan kolesterol. Ambil tahu apa yang anda makan dan beri perhatian kepada perubahan kulit setiap hari.

Disiarkan pada: April 6, 2019 @ 4:30am
d