hati

Dorongan naluri keibuan

Oleh Intan Mas Ayu Shahimi

DARI jauh wanita ini sudah tersenyum manis. Tutur katanya bersahaja, namun tidak lokek berkongsi cerita. Sambil bersembang, acap kali Siti Azlina Mhd Halil mengusap perut.

Kehamilan keempatnya ini membawa pelbagai berita gembira. Belum hilang rasa teruja dan syukur menyambut ulang tahun kelahiran ke-32 baru-baru ini, Siti Azlina menerima satu lagi kejutan bermakna buat dirinya.

Biarpun sudah diumumkan sebagai wakil jualan terbaik dan bakal menerima kereta mewah sebagai ganjaran, perasaan terujanya lebih sukar digambarkan apabila menerima kunci sebenar di tangan.

Bergenang seketika kelopak mata wanita ini apabila diminta mengimbas kembali siapa dirinya sebelum berada di tempat sekarang. Ada getar pada bicaranya, namun Siti Azlina tetap menjawab dalam tenang.

Pengalaman menjual nasi lemak seawal jam 4 pagi di tepi jalan, lebih dua tahun lalu masih segar dalam ingatan. Bagaimanapun, kesusahan hidup dan naluri keibuan yang tinggi membuatkan wanita ini nekad melangkah keluar dari kehidupan lamanya.

“Sebelum menjadi stokis utama Meeracle, saya hanya penjual nasi lemak. Saya bangun memasak ketika orang lain sedang lena, kemudian membuka payung seawal jam 4 pagi untuk meraih rezeki di tepi jalan.

“Ketika itu, banyak perkara saya impikan dalam hidup. Saya mahukan kehidupan selesa, rumah sendiri, pakaian cantik, masa rehat dan simpanan untuk masa depan. Namun, semua keinginan ini bagaikan terlalu sukar untuk dicapai.

“Suami juga bekerja keras menampung keperluan kami anak beranak. Kalau saya mahu berbelanja bebas sesekali, duit hasil jualan nasi lemak yang menjadi sasaran. Suka atau tidak, memang duit itulah yang saya harapkan,” katanya.

Jelas Siti Azlina, dia tidak pernah malu bersusah payah mencari rezeki halal untuk keluarganya. Ibarat peribahasa, ‘susah sama dipikul, ringan sama dijinjing’, anak keempat daripada lima beradik ini sentiasa dibantu suami apabila memerlukan.

“Kalau dalam keluarga saya, mak ayah memang berniaga. Bahkan saya sendiri seronok berniaga. Tetapi, apabila melihat wajah anak, saya terfikir melakukan lebih daripada apa yang kami mampu lakukan ketika itu.

“Saya sedih apabila anak meminta sesuatu dan kemahuannya tidak dapat kami tunaikan. Sedangkan saya selalu mahu menyediakan yang terbaik buat mereka. Dari situlah saya terfikir untuk mencari rezeki lebih.

“Kebetulan ternampak iklan produk Meeracle di Facebook, jadi saya beli satu dan mencuba produk ini. Melihat ia sesuai dengan kulit dan berpotensi dikembangkan dalam kalangan rakan dan kenalan, saya mula memohon menjadi ejen di Melaka,” katanya.

PERUBAHAN BESAR

Adat bermula secara kecil-kecilan, Siti Azlina hanya bergantung penuh kepada akaun Facebook peribadinya sebagai platform jualan.

“Ketika mula menjadi ejen, modal saya hanya RM490 dan dengan wang itulah saya kumpul pesanan pelanggan. Alhamdulillah, rezeki Allah SWT sentiasa ada buat mereka yang berusaha.

“Daripada belasan pesanan, meningkat kepada puluhan dan akhirnya mencecah ratusan. Lama-kelamaan, orang mula mengenali saya dan memerhatikan perjalanan karier baru.

“Kalau dulu saya hanya menyimpan angan-angan, kini kehidupan berubah 360 darjah. Saya bersyukur apabila dapat menggapai satu persatu impian. Berbekalkan hasil jualan, saya berjaya membeli rumah sendiri, memandu kereta idaman dan paling penting menghadiahkan kereta untuk bapa. Semua ini saya anggap sebagai rezeki. Allah beri saya pulangan yang hebat atas usaha selama tiga tahun ini,” katanya sebak.

Melihat kejayaan dan kesungguhan wanita ini, tidak hairan jika suaminya turut melepaskan jawatan dan bergandingan memajukan perniagaan yang dibina. Lebih daripada itu, wanita ini bahagia apabila orang tersayang dapat turut serta menikmati limpahan rezeki yang diterima.

“Sejak suami berhenti, kami menyusun langkah bersama dengan dibantu kakitangan. Saya juga mengadakan pejabat sendiri untuk memudahkan urusan. Siapa sangka, dalam tempoh singkat, saya mempunyai lebih 1,000 wakil jualan di seluruh Malaysia. Semua ini hasil usaha dan sokongan pihak ibu pejabat.

“Personaliti saya juga berubah ke arah positif. Kalau dulu selalu memikirkan yang mustahil, kini saya lebih fokus. Kalau mahukan sesuatu, saya akan berusaha menjadikan ia milik mutlak. Tahun lalu, saya pernah mencapai jualan tertinggi mencecah RM2.6 juta. Dari situlah saya dianugerahkan sebagai Master Stokis.

“Saya gembira suami sentiasa di sisi memberi sokongan. Apabila berdua, semuanya seakan-akan tidak mustahil. Paling utama, saya bahagia dan gembira apabila dapat membahagiakan keluarga. Dengan izin Allah SWT, saya harap kejayaan ini dapat memberi inspirasi kepada wanita lain untuk turut melakukan perubahan dalam kanvas hidup mereka,” katanya.

Disiarkan pada: April 8, 2019 @ 6:30am
d