hati

Bangkit dengan Sumpah

Oleh Najiy Jefri

MELIHAT teman rapatnya berdepan tekanan hidup memberikan ilham buat Aina Abdul untuk mengetengahkan tema skizofrenia dalam video muzik lagu terbaharunya, Sumpah.

Aina berkata, kebanyakan individu yang mengalami masalah mental ini lebih banyak memendam rasa membuatkan dia nekad memberi pendedahan secara meluas kepada khalayak.

“Saya memilih skizofrenia sebagai tema utama untuk diangkat dalam video Sumpah selepas melihat sendiri sikap dan karakter beberapa rakan yang berdepan masalah mental.

“Masalah terbabit tidak seharusnya dipandang remeh kerana ia semakin serius dengan kehidupan masyarakat sekarang yang penuh tekanan.

“Malah, saya juga turut rasa dekat dengan lagu ini kerana ia menyimpan mesej tersirat di sebalik apa yang saya lalui. Pernah satu ketika, saya berasa hilang keyakinan diri mengenangkan masa depan dalam bidang nyanyian.

“Bukan sekadar menangis, saya juga seperti hilang keyakinan untuk berhadapan masyarakat. Namun, saya akhirnya bangkit dan berjuang untuk mendapatkan tempat dalam bidang seni tanpa mengendahkan kata-kata yang melemahkan. Saya tidak ralat untuk bermula semula dari bawah,” katanya.

Meskipun melalui pasang surut dalam industri seni hiburan, Aina bagaimanapun enggan mengambil endah dengan dugaan dan cabaran yang perlu ditempuh sebaliknya mahu terus bangkit untuk membina nama dalam bidang muzik. Katanya, dia juga yakin lagu tulisannya itu diterima ramai.

“Pengalaman yang dilalui ketika berdepan detik menyedihkan itu saya gunakan untuk bangkit dengan Sumpah. Biarpun lambat, saya tak kisah kerana yakin dengan bakat yang dipertaruhkan. Saya juga menyimpan hasrat supaya lagu ini berjaya mara ke pentas Anugerah Juara Lagu nanti.

“Saya berharap lagu ini dapat memperkenalkan nama dalam industri dan membuka mata orang ramai untuk melihat bakat yang dipertaruhkan,” katanya.

Bakal menamatkan pengajian dalam jurusan muzik di sebuah kolej swasta empat bulan lagi, Aina turut merencana sendiri kerjaya seninya tanpa bantuan syarikat pengurusan.

“Buat masa ini, saya bergerak sendiri tanpa dibantu mana-mana syarikat rakaman. Jika ada tawaran yang baik sudah tentu saya akan pertimbangkan.

“Malah, saya juga mempunyai lebih 50 lagu dalam simpanan. Oleh itu, jika ada pihak yang ingin mendengar lagu yang saya cipta ini saya sentiasa terbuka. Siapa tahu, jika rezeki saya terarah dalam dunia ciptaan lagu pula,” katanya.

TAMPIL SINGLE BAHARU

Dalam perkembangan lain, Aina memberitahu dia bakal tampil dengan single seterusnya dalam tempoh beberapa bulan kerana tidak mahu namanya tiba-tiba menyepi.

“Saya merancang tampil dengan single seterusnya dalam tempoh beberapa bulan lagi kerana menyasarkan untuk sekurang-kurangnya mempunyai tiga lagu sepanjang 2019. Saya berasakan, ia dapat dilaksanakan kerana kebanyakan lagu itu adalah ciptaan saya sepenuhnya.

“Lagipun, tahun ini saya nekad tidak mahu duduk diam. Saya mahu sibukkan diri dengan kerja dan merakam lagu yang berkualiti kepada pendengar.

“Diharapkan lagu Sumpah ini akan menjadi titik permulaan untuk saya bergerak maju dalam industri dan diterima ramai,” katanya.

Disiarkan pada: April 9, 2019 @ 4:00am
d