hati

Ajar anak bermasyarakat

Oleh Siti Nadirah Hafidzin

Melentur buluh biarlah daripada rebungnya. Seiring peredaran masa, kanak-kanak era kini semakin dibawa arus kemodenan hinggakan langsung tidak bergaul dengan jiran tetangga.

Ada yang tidak tahu nama anak jiran sebelah walaupun berusia sebaya, keadaan lebih buruk apabila ramai kanak-kanak kini langsung tidak mengenali jiran tetangga dan ada yang tidak pernah bersua muka dek ketaasuban dengan gajet, kurang didikan selain rutin harian padat.

Semakin sukar dilihat situasi kanak-kanak pada usia sekitar empat tahun ke atas keluar bermain pada waktu petang atau hujung minggu dengan jiran berhampiran rumah atau mengayuh basikal bersama-sama kerana rata-ratanya memilih menghabiskan masa menghadap gajet, menonton televisyen atau keluar membeli-belah bersama keluarga.

Tidak menyalahkan kanak-kanak semata-mata kerana situasi itu pada hakikatnya banyak bergantung kepada contoh dan cara didikan ibu bapa.

Kesibukan harian dengan rutin padat sama ada orang dewasa dan kanak-kanak menyebabkan hubungan sesama masyarakat semakin terhakis.

Lebih membimbangkan apabila situasi ini menyebabkan kanak-kanak lebih bersikap pentingkan diri sendiri selain kurang rasa tanggungjawab sesama manusia.

Mengupas mengenai perkara ini, kaunselor kanak-kanak dan keluarga, Siti Aisah Yusof berkata, fitrah kehidupan, setiap manusia tidak mampu hidup berseorangan, bahkan perlu bantuan dan pembabitan individu lain dalam meneruskan kelangsungan hidup.

“Daripada konteks agama jelas menunjukkan Islam amat menekankan hidup bermasyarakat sama ada dalam konteks berkeluarga, berjiran dan berkawan.

“Situasi sebegini tidak terjadi pada masyarakat terdahulu kerana hubungan sesama manusia tanpa mengira usia termasuk kanak-kanak sangat akrab, saling bantu membantu, mengambil berat dan saling menghormati. Namun apa yang membimbangkan apabila situasi itu semakin terhakis kini terutama pada kanak-kanak,” katanya.

Menurutnya, kanak-kanak ketika ini ramai yang memiliki pencapaian akademik tinggi, namun mempunyai akhlak yang sebaliknya.

“Contoh paling mudah dilihat kanak-kanak kini sangat susah untuk keluar bersalaman apabila ada tetamu datang ke rumah. Ramai yang memilih untuk terus duduk di dalam bilik dan sibuk melayani telefon pintar masing-masing walaupun tetamu itu adalah dalam kalangan keluarga.

“Keadaan ini sering terjadi di depan mata ibu bapa sendiri, namun tidak ada tindakan sewajarnya dilakukan dan ramai yang langsung tidak menegur sikap anak yang akhirnya membuatkan mereka terbiasa serta tidak menghargai kehidupan bermasyarakat,” katanya.

Siti Aisah berkata, melalui pemerhatian dilakukannya, ramai ibu bapa tidak menganggap situasi itu sebagai masalah dan lebih memilih untuk terus membiarkan anak dengan cara sendiri.

“Keadaan itu akhirnya mengakibatkan semakin ramai kanak-kanak yang bijak dalam pelajarannya, namun sangat tidak tahu bergaul dan gemar hidup sendiri.

“Ibu bapa perlu sedar dan mengubah cara didikan dengan menegur kesilapan anak, perlu berulang kali mengingatkan supaya menjaga adab sesama manusia terutama kepada jiran dan keluarga kerana semua ini mempunyai kepentingan tersendiri terutama dalam membentuk keperibadian kanak-kanak itu. Paling utama ibu bapa itu sendiri perlu mengubah cara hidup sendiri kerana ia adalah contoh terbaik yang akan diikuti,” katanya.

HINDARI KETAGIHAN TEKNOLOGI

Kanak-kanak ibarat kain putih dan ibu bapalah yang bertanggungjawab mencorakkannya. Atas sebab itu, Siti Aisah berkata, ibu bapa adalah idola utama yang menjadi teladan anak.

“Didiklah anak untuk memberi salam dan bertegur sapa dengan jiran tetangga atau setidak-tidaknya lontarkan senyuman. Jangan dibiarkan anak ketagihan dan mabuk dengan teknologi sehingga mengabaikan hidup bermasyarakat.

“Bawalah anak solat berjemaah di masjid atau surau dan libatkan mereka dengan program kemasyarakatan seperti gotong-royong, kenduri- kendara dan aktiviti yang membuatkan mereka bercampur sesama jiran tetangga atau ahli keluarga lain,” ujarnya.

Menurutnya, walaupun dilihat ringkas, aktiviti kemasyarakatan itu akan mendorong anak menjalani kehidupan yang lebih harmoni dan berkasih sayang pada masa akan datang.

“Walaupun rutin harian kanak-kanak seawal usia empat tahun sudah mula padat dengan kelas tadika dan pelbagai kelas tambahan lain, ibu bapa tetap perlu terapkan nilai berkasih sayang sesama manusia terdekat terutama jiran.

“Kerap ingatkan kepada anak, jiran adalah individu penting dalam kehidupan kerana merekalah paling dekat dengan kawasan rumah yang boleh membantu saat susah atau kecemasan,” katanya.

Kata Siti Aisah, ibu bapa juga perlu bersama-sama membantu dalam hal itu kerana tanpa dorongan dan didikan tentu saja semakin ramai kanak-kanak yang terus hanyut dengan arus kemodenan.

“Banyak kesan negatif pada diri kanak-kanak yang kurang rasa kasih sayang sesama manusia di dalam jiwanya terutama membabitkan masalah memberontak, pentingkan diri sendiri atau ego. Semua ini perlu dipandang serius ibu bapa demi keharmonian hidup anak yang sedang membesar terutama pada usia sekitar empat tahun

ke atas.

“Galakkan anak dengan nasihat positif dan tidak salah beri ganjaran kepadanya sekiranya mereka menunjukkan perubahan yang baik dengan meninggalkan gajet dan mula bergaul mesra bersama jiran tetangga,” ujarnya.

Cara galak anak hidup bermasyarakat:

1. Sesekali minta anak menghantar juadah makanan untuk diberikan kepada jiran berhampiran.

2. Ajak anak melawat jiran atau ahli keluarga yang sakit sama ada di rumah atau hospital.

3. Jangan biasakan tinggal anak di rumah ketika anda menghadiri jemputan majlis keraian.

4. Ajar anak bertegur sapa dan memberi senyuman kepada jiran apabila bertemu.

5. Galakkan anak anda untuk keluar beriadah bersama anak jiran yang mempunyai usia sebaya pada waktu terluang terutama hujung minggu.

6. Sering menceritakan kisah teladan yang baik terutama dalam berbuat baik sesama manusia.

Disiarkan pada: April 9, 2019 @ 4:30am
d