hati

Bakti Zumasni

Oleh Siti Nadirah Hafidzin

SETIAP manusia tidak dapat lari daripada ujian hidup, mahu atau tidak, dugaan tetap datang tanpa dipinta dan ia menjadi penyebab manusia mula belajar erti menerima dan bersabar.

Itulah lumrah kehidupan yang perlu dilalui sebaik mungkin, jangan terlalu kecewa andai hidup dilanda dugaan dan percayalah ada sinar kebahagiaan menanti pada kemudian hari.

Ujian yang datang juga tidak sama, ada diuji dengan kesakitan, ada pula berdepan masalah keluarga dan tidak terkecuali diduga dengan kesempitan hidup. Apa juga masalah dihadapi, yakinlah ada jalan penyelesaian terbaik.

Berdepan dengan pelbagai masalah kehidupan manusia banyak mengajar wanita kelahiran Banting, Selangor ini maksud sebenar kesabaran dan kekuatan dalam menghadapi dugaan hidup sebenar.

Bergelar kaunselor sepenuh masa dalam pemulihan dadah dan kaunselor sambilan untuk semua bidang lain terutamanya wanita dan kekeluargaan sejak lebih 10 tahun lalu, Zumasni Rajikin, 39, mengakui masalah yang dihadapi pelanggan terutama dalam kalangan wanita termasuk keganasan rumah tangga dan penyalahgunaan dadah menjadikan dirinya lebih belajar bersyukur.

“Hampir setiap hari saya berdepan dengan pelbagai masalah hidup baik lelaki mahupun wanita tanpa mengira usia. Tugas saya bukanlah sebagai penyelesai masalah namun lebih kepada pemudah cara dan penasihat bagi memastikan apa saja masalah dihadapi itu dapat diselesaikan dengan cara terbaik.

“Ternyata apa yang saya lalui sangat mencabar terutama untuk pastikan sesiapa saja yang datang akan keluar dengan senyuman dan sekurang-kurangnya kembali positif walaupun sedang dilanda masalah besar,” katanya.

Zumasni berkata, antara kes paling sukar dikendalikannya adalah masalah seorang wanita yang nekad mahu keluar daripada agama Islam.

“Bayangkan apa perasaan saya ketika kes itu dirujuk. Apa yang perlu saya lakukan dan bagaimana mahu memulakan bicara. Syukur, walaupun bukan mudah namun kes itu berjaya ditangani dengan baik.

“Selain itu, tidak kurang hebat kes membabitkan penyalahgunaan dadah dalam kalangan wanita. Melalui kajian dan pemerhatian saya, faktor utama adalah pengaruh rakan sebaya, kurang pegangan agama dan tekanan hidup,” ujarnya.

Menurut Zumasni, apa yang dilakukannya adalah berusaha memberikan kaunseling dan bimbingan terbaik kepada individu yang datang.

“Saya gunakan pendekatan berbeza antara pengadu kepada pengadu lain bergantung kepada masalah yang mereka hadapi. Jika saya nilai dia mengalami tekanan melampau, saya akan rujuk individu itu kepada doktor.

“Saya suka membawa pendekatan cuba 'fikir positif' dan berusaha mendekatkan diri kepada Yang Maha Esa kerana itulah kunci sebenar penyelesaian kepada semua masalah,” katanya.

Apabila ditanya mengapa dia cintakan kerjayanya sebagai seorang kaunselor walaupun perlu berdepan dengan 1,001 masalah berbeza hampir setiap hari, Zumasni yang juga ibu kepada empat orang cahaya mata itu berkata, semuanya atas sebab niat dan matlamatnya.

“Saya sangat gembira tatkala melihat senyuman terukir di wajah pelanggan yang datang walaupun tidak semestinya masalah itu dapat diselesaikan. Saya berasa sangat puas apabila mereka bersungguh-sungguh mahu berubah apabila selesai sesi kaunseling.

“Allah SWT berikan ilmu dan kebolehan kepada diri saya untuk membantu dan memahami individu lain, disebabkan itu, saya cuba sebaik mungkin membantu insan di luar sana yang sedang dilanda ujian terutama wanita. Saya tidak mahu mereka yang bermasalah terus hanyut tanpa ada kesedaran untuk memperbaiki diri kerana hakikatnya semua individu sebenarnya mahu jadi manusia yang baik,” ujarnya.

Menurutnya, dia juga sentiasa mengamalkan prinsip membantu daripada hati dan bukan semata-mata disebabkan keuntungan.

“Kerjaya ini tidaklah menjanjikan kemewahan namun ia lebih kepada kepuasan dan keikhlasan hati dalam menyelesaikan setiap masalah pelanggan.

“Secara tidak langsung, kerjaya ini mendekatkan diri saya kepada Yang Maha Esa terutama apabila berdepan dengan pelbagai kes dan masalah dihadapi pelanggan,” katanya.

Mengakui agak sibuk dengan tuntutan tugasan harian termasuk pada hujung minggu, Zumasni berkata, sekiranya perlu bertugas pada hujung minggu, dia memastikan akan menyediakan sarapan dan makan tengah hari sebelum keluar bekerja.

“Saya mengamalkan solat berjemaah bersama suami dan anak-anak, mengaji serta makan bersama setiap hari kerana dari situlah saya dapat memanfaatkan masa berkualiti bersama suami dan anak-anak. Bagi saya biarlah singkat tetapi ia bermakna.

“Syukur, saya dianugerahkan suami yang sangat memahami dan membantu saya dalam semua perkara termasuk menguruskan anak-anak dan rumah tangga terutama ketika saya sibuk,” ujarnya.

Zumasni berkata, selepas berdepan dengan pelbagai masalah pelanggan dalam tempoh lama, dia kini bertekad untuk terus komited meneruskan kerjayanya demi membantu insan memerlukan.

“Bidang ini perlukan anda ikhlas terutamanya dalam melayan dan membantu individu yang sedang diuji. Cuba fahami apa yang mereka rasakan dan berada di tempat mereka bagi memastikan kita juga dapat rasai semua itu.

“Saya juga berhasrat untuk membantu lebih ramai insan terutamanya wanita yang memerlukan khidmat bimbingan dan kaunseling secara profesional,” katanya.

Disiarkan pada: April 15, 2019 @ 7:30am
d