hati

Gabung elemen timur,barat

Oleh Siti Zarinah Sahib

MENGAMBIL inspirasi unsur alam iaitu air dan langit, jenama pakaian kasual wanita EP melancarkan koleksi Musim Bunga dan Panas 2019 dengan menerapkan keseimbangan estetika antara alam dan budaya menerusi rona putih yang digambarkan pada air manakala langit pula menjadi lambang keabadian yang memberi sepenuh harapan.

Koleksi baru ini meraikan integrasi tradisional dan moden, iaitu Timur dan Barat dengan mengetengahkan himpunan moden memikat, tetapi kekal feminin.

Blazer berpotongan kemas dipadankan dengan gaun feminin memperlihatkan gaya anggun bagi menonjolkan impak elegan serta kekuatan pada seorang wanita.

Falsafah utama jenama ini dapat dilihat pada kontra rona merah, biru dan putih. Merah dikatakan warna hangat dan biru bangsawan mencipta penampilan artistik dan segar. Kombinasi estetika Timur tradisional dan budaya pop terkini, diselitkan dalam setiap rekaan bagi memberikan nilai sentimental pada jenama ini.

Fabrik sutera mewah dan jacquard lembut diperincikan pula dengan renda dan sulaman halus yang menggambarkan dedikasi terhadap kelembutan wanita.

Gaya feminin pula dipaparkan menerusi perincian memukau, menggabungkan beberapa elemen Timur, seperti corak manik tiga dimensi, sulaman tangan sutera dan teknik tradisional pintalan yang diluahkan pada rona biru porselin.

Bunga peoni yang menjadi simbol bangsawan dan kecantikan, digunakan oleh EP untuk mewujudkan musim bunga yang menenangkan. Selain itu pereka bijak menggabungkan reka bentuk inovatif dengan hasil kerja tangan yang indah, menjadikan setiap helaian ada keunikan tersendiri.

Selain busana, turut dipersembahkan koleksi beg tangan mewah sebagai menambah gaya minimalis berbeza. Beg tote pula adalah produk klasik yang mula digayakan pada 1960-an namun diberikan sentuhan moden.

Beg berantai pula memenuhi gaya elegan dengan perhiasan logam yang mewakili gaya vintaj kelasi. Sesuai dipadankan dengan but paras buku lali bagi menyerlahkan tafsiran baru pada gaya feminin. Ini ditunjukkan dalam setiap material tenunan menjadikannya gabungan trend terkini dan reka bentuk ikonik Yaying.

Disiarkan pada: April 17, 2019 @ 5:00am
d