hati

Kebun dapur bak taman mini

Oleh Yusliza Yakimir Abd Talib

MEMANFAATKAN halaman rumah dengan pelbagai tanaman dan sayuran bukan saja memberi kepuasan buat mereka yang meminatinya malah menghidangkan pemandangan indah serta menyejukkan mata.

Tambahan pula dalam kehidupan serba pantas ini, hobi berkebun boleh dijadikan sebagai salah satu terapi untuk menenangkan diri sambil bersantai bersama keluarga tersayang.

Bagi Maizura Abdul Hamid, 32, hobi itu juga turut memberinya inspirasi untuk mendekorasi setiap sudut kawasan kebun kecilnya agar halaman rumah tampak teratur, tersusun cantik dan saujana mata memandang.

Meskipun ruang halamannya disifatkan cuma ‘sekangkang kera’, Maizura bijak memanfaatkan ruang yang ada untuk menanam pelbagai jenis tanaman di rumahnya di FELDA Chini 4, Pekan, Pahang.

Menariknya, kebun dapur yang diusahakan ibu kepada seorang cahaya mata itu dihias indah seperti taman mini selain dilengkapi hiasan comel dan menarik.

Jelasnya, sejak mula menanam sayur sendiri di rumah, banyak kelebihan dan manfaat yang diperoleh antaranya dia tidak lagi perlu membelanjakan wang untuk membeli sayur di pasar.

Malah katanya, dengan menanam sendiri, dia tahu bahan apa yang harus digunakan untuk menjaga kebunnya seperti baja, kawalan serangga dan kulat pada tanaman.

Katanya, keadaan ini jauh berbeza jika membeli sayur di pasar, kita tidak tahu jenis baja dan bahan kawalan serangga yang digunakan sama ada ia mengandungi bahan kimia berbahaya atau tidak.

“Kita tidak tahu sayur yang dijual di pasar diambil dari mana dan cara pengurusan penanamannya. Malah tiada jaminan sama ada sayur itu bebas racun serangga yang berbahaya, jadi ada baiknya saya menanam sendiri di rumah.

“Selain itu, apabila berkebun memang saya akui ia banyak memberi kelebihan kepada kesihatan kerana hobi ini juga dapat mengeluarkan peluh.

“Memang kadangkala tiada masa nak bersenam, tapi dengan aktif menanam dan menjaga tanaman dapat bantu saya kekal cergas dan dijadikan sebagai aktiviti riadah saya sekeluarga.

“Saya juga bersyukur kerana suami banyak memberi galakan, malah tidak kisah menemani saya mendapatkan barangan diperlukan untuk hobi ini,” katanya.

Mula meminati aktiviti itu sejak berkahwin, katanya hobi itu sekadar mengisi masa lapangnya dan biasanya dia mula berkebun seawal jam 7.30 pagi selepas menghantar anaknya ke sekolah.

Menurutnya, hasil tanaman biasanya untuk kegunaan sendiri dan ada juga memberinya kepada jiran malah dia beruntung kerana kebanyakan jiran berkongsi minat sama dengannya.

Katanya, perkara itu memberi kelebihan buat mereka kerana dapat bertukar anak benih dan berkongsi pendapat mengenai aktiviti itu apabila bertemu.

Tambahnya, semangat kejiranan di kampung itu amat kuat malah pihak pengurusan FELDA selalu mengadakan pertandingan kebun sayur dalam kalangan penduduk.

“Apabila diadakan pertandingan, ia dapat memupuk semangat berkebun di setiap peringkat generasi FELDA.

“Tambahan pula, hobi ini banyak kelebihannya dan mendekatkan kita dengan alam dan secara tidak langsung dapat melestarikan nikmat Allah yang sungguh bernilai ini iaitu kehijauan alam,” katanya.

Menurut Maizura, dia turut menyertai kumpulan mengenai tanaman dan kebun di Facebook dan banyak membantu berkongsi ilmu mengenai kaedah penanaman yang betul selain mencantikkan kebunnya.

Berkongsi petua menjaga tanaman, baginya pokok bunga dan sayur diletakkan betul-betul di tengah panas namun harus mencukupkan air dan baja bagi menyuburkan tanaman.

Disiarkan pada: April 20, 2019 @ 5:00am
d