hati

Keluarga nombor satu

Oleh Intan Mas Ayu Shahimi

MANIS senyuman wanita ini tatkala berbicara. Banyak juga soalan yang ditanya, namun anak kelahiran FELDA Tersang 1, Raub, Pahang ini tidak lokek untuk berkongsi cerita.

Kata Nurul Kasmadillawati Zakaria, 36, dia seronok dengan kehidupannya kini. Malah dia juga berbangga kerana berjaya membuktikan bahawa keputusannya berhenti kerja dengan niat untuk fokus kepada keluarga tidak silap.

“Sebenarnya, sudah 13 tahun saya berkahwin. Bertemu jodoh ketika bergelar pelajar universiti dan dikurniakan anak sulung semasa tahun akhir pengajian.

“Sempat juga mengaut pengalaman berharga apabila bayi yang sepatutnya lahir selepas peperiksaan akhir ditakdirkan menjengah dunia lebih awal. Jadi, saya terpaksa menduduki peperiksaan khas ketika baru dua minggu berpantang. Saya datang dengan berstokin tebal, berbaju sejuk dua lapis dan berkain batik.

“Sambil menjawab peperiksaan, suami menunggu di luar dewan bersama bayi. Apabila anak menangis, saya akan minta kebenaran pengawal peperiksaan untuk menyusukan bayi di belakang dewan. Alhamdulillah, semuanya lulus dan saya akhirnya berjaya bergelar graduan Ijazah Sarjana Muda Undang-undang,” katanya.

Nurul Kasmadillawati berkata, kehidupannya mula berubah dengan kehadiran puterinya, Nurul Balqis Mohd Farid. Justeru, dia mengambil keputusan untuk menumpukan sepenuh perhatian kepada bayi sehingga dirasakan sesuai ditinggalkan di taska.

“Sampai suatu masa, saya memohon kerja di syarikat insurans sebagai pegawai tuntutan dan berjaya. Itulah kerjaya pertama saya. Dua bulan kemudian, saya mencuba pula nasib di RISDA sebagai pegawai tadbir dan ditempatkan di Pejabat Ketua Pengarah, di Jalan Ampang.

“Begitupun, pada 2011, saya sekali lagi mengambil keputusan untuk kembali menumpukan perhatian kepada anak. Komitmen kerja yang menuntut untuk selalu keluar daerah, berkursus dan berpindah ke tempat baru agak sulit ditunaikan. Jadi, saya nekad meletak jawatan sebagai Penolong Pengarah sebelum berjinak-jinak dengan dunia perniagaan,” katanya.

Jelas Nurul Kasmadillawati, lama juga dia mengambil masa berbincang dengan suami sama ada mahu bergelar suri rumah sepenuh masa atau berniaga selepas berhenti.

“Saya mahukan jenis perniagaan yang membolehkan saya sentiasa bersama anak. Lagipun, itulah tujuan utama saya meletak jawatan. Selepas mempertimbangkan banyak perkara, kami fokus kepada pembukaan taska.

“Pembukaan taska pertama berjalan lancar. Setahun kemudian, saya berjaya membuka taska kedua. Bagaimanapun, panas tidak sampai ke petang. Pada 2013, saya terpaksa menjual taska berikutan masalah kesihatan. Kehamilan kedua membawa pakej alahan yang sangat teruk.

“Saya hilang 20 kilogram dalam masa beberapa bulan, muntah berkali-kali dalam sehari hingga terlantar di katil. Tiada sesiapa yang boleh bantu untuk menguruskan taska memandangkan suami juga mempunyai karier sendiri. Sebab itulah taska terpaksa dijual,” katanya.

AKTIF MENULIS

Selesai semua urusan berkaitan, anak sulung daripada empat adik-beradik ini kembali fokus kepada anak-anak. Dia gembira menjalani rutin sebagai suri rumah sepenuh masa.

“Waktu lapang, saya suka menulis dan melahirkan apa saja yang terbuku dalam hati. Saya mula aktif menulis di media sosial dan tanpa disangka ramai yang menyukai hasil tulisan saya.

“Ada masanya ia tular berikutan dikongsi ramai. Pengikut di laman Facebook juga meningkat. Kemuncaknya pada 2016, saya dan suami dijemput sebagai tetamu undangan rancangan bual bicara di televisyen dan jumlah pengikut meningkat menjadi 18,000 orang,” katanya tersenyum.

Biarpun mendapat perhatian ramai, Nurul Kasmadillawati tidak leka. Sebagai ibu, dia menumpukan perhatian menyekolahkan anak-anaknya di rumah. Sampai umur anak mencecah tujuh tahun, barulah mereka dihantar ke sekolah agama swasta.

Kebetulan pada sambutan hari lahir ke-34, suaminya, Mohd Farid Baharudin menghadiahkan pakej rawatan di spa. Di sana, wanita ini bersembang mengenai hal kecantikan dan mendapatkan tip berguna daripada juruterapi yang ditemui.

“Dia berikan saya resipi skrub kopi. Sampai di rumah, saya cuba buat. Mula-mula hanya untuk guna sendiri. Kemudian, saya bagi orang yang rapat untuk mencuba. Bila ramai yang jatuh cinta, saya cuba pula menjual.

“Kebetulan saya mempunyai ramai pengikut di media sosial, mereka menunjukkan minat untuk membeli skrub kopi buatan sendiri ini. Sedikit demi sedikit, perniagaan berkembang kepada produk lain seperti pencuci muka dan pupur,” katanya yang sukakan produk kecantikan buatan sendiri.

Menurut Nurul Kasmadillawati, dia teruja bereksperimen dengan pelbagai bahan masakan yang ada di dapur. Lebih menggembirakan hatinya apabila bancuhan dibuat memberi kesan positif kepada kulit wajah, tanpa perlu mengeluarkan belanja lebih.

“Apa yang paling penting, semua campuran dibuat daripada bahan semula jadi tanpa pengaruh kimia mahupun pengawet yang boleh membahayakan kesihatan. Kata orang, kalau hendak berniaga, biar dari hati. Ia bukan saja sesuai dengan diri dan minat, bahkan memberi manfaat kepada ramai,” katanya.

CABARAN DIFITNAH

Tidak lengkap perjalanan usahawan tanpa dugaan mahupun cabaran dalam perniagaan. Kata Nurul Kasmadillawati, terlalu banyak kisah perit yang terpaksa ditelan sepanjang membangunkan karier.

“Ramai tidak perasan hal ini kerana saya lebih suka dilihat sebagai wanita positif. Ketika memulakan perniagaan produk kecantikan, memang ramai dalam kalangan pengikut saya berminat untuk menjadi ejen. Jualan juga agak memberangsangkan. Sehinggalah ada seorang stokis saya membuat onar.

“Dijaja kisah fitnah mengenai diri saya kepada stokis dan ejen lain sehingga ramai yang tiba-tiba mengundurkan diri. Ia memberi tamparan hebat, tambahan ada di antara mereka yang memang rapat dengan saya dan kami sering berkongsi cerita.

“Lebih mengecewakan apabila saya mendapat tahu stokis yang membuat onar berkenaan turut mencuri ejen untuk produk baru yang disertainya. Walaupun tidak berpuas hati, saya harus akur dengan dugaan perniagaan atas talian. Kata orang, ditikam oleh pasukan sendiri adalah perkara biasa.

“Dugaan lebih besar tiba pada 2018 apabila jenama yang saya gunakan diambil orang lain. Mereka terlebih dulu mendaftar tanda dagangan menggunakan nama berkenaan. Kesannya, saya terpaksa melakukan penjenamaan semula produk yang menelan kos besar. Mujurlah suami sentiasa ada di sisi. Dialah yang banyak memberikan sokongan dan menjadi sumber kekuatan saya,” katanya.

Selain cabaran berniaga, wanita ini juga kental menyekolahkan kedua-dua anaknya sendiri di rumah. Nurul Balqis dan Nurul Aina kini masing-masing berusia 11 dan tujuh tahun diajar menulis dan membaca dalam bahasa Melayu, Inggeris dan Arab. Mereka juga diajar mahir dalam jawi dan matematik.

“Sejak awal, saya memang sudah mempunyai sekolah agama swasta pilihan untuk menghantar anak-anak. Jadi, sebab itulah saya mengajar mereka sebaik-baiknya. Mungkin ada yang berpandangan bahawa mengajar anak bukanlah perkara yang sukar.

“Namun, bagi saya, ia bukan kerja mudah. Saya perlu komited dengan menyediakan jadual pembelajaran khas supaya anak-anak dapat menulis dan membaca dengan lancar sebelum memasuki darjah satu.

“Dalam masa sama, saya juga menggalas tanggungjawab sebagai penulis jemputan untuk dua laman web. Saya menulis artikel atas dasar minat dan mahu mengisi masa terluang,” katanya.

Melihat kembali sisi hidupnya dulu dan kini, kata Nurul Kasmadillawati, hanya Allah SWT saja yang tahu betapa padat jadual hariannya setiap hari. Dia bergelut dengan masa untuk menguruskan perniagaan, keluarga dan komitmen lain.

“Setiap pagi saya akan senaraikan apa yang hendak dibuat dan bahagikan tugasan menurut turutan keutamaan. Kalau ada yang boleh ditangguhkan dan boleh dibantu suami, itu saya ketepikan dulu. Keutamaan adalah pada urusan keluarga. Perniagaan jatuh di tempat kedua,” katanya.

Disiarkan pada: April 24, 2019 @ 6:00am
d