hati

Sarjana saudagar minyak wangi

Oleh Yusliza Yakimir Abd Talib

LATAR belakang pendidikannya bukan sebarangan, malah ijazah sarjana yang dimiliki selepas berhempas pulas menuntut selama empat tahun di United Kingdom itu boleh dikatakan mampu menjanjikan pekerjaan yang dipandang tinggi masyarakat.

Bagaimanapun, nasib tidak menyebelahi anak muda ini untuk berkecimpung dalam bidang yang diminatinya itu selepas gagal mendapat pekerjaan bersesuaian.

Selepas 50 syarikat dipohon, hanya 10 menghubunginya untuk temu duga, tetapi malangnya tiada satu pun yang memberi peluang pekerjaan untuknya dengan alasan mahukan pekerja berpengalaman.

“Bergelar lulusan luar negara bukan tiket untuk graduan mendapat pekerjaan dengan mudah. Tambahan pula, jurusan kejuruteraan aeronautikal yang saya ambil memiliki skop pekerjaan yang agak terhad di Malaysia.

“Sebaik saja graduasi, saya balik ke tanah air dan memohon kerja tapi tiada satu peluang pekerjaan berdasarkan kelulusan saya yang ‘sangkut’.

“Saya menganggur juga beberapa ketika, tidak mahu membuang masa saya cari peluang. Saya cuba apa saja boleh buat duit. Namakan saja pekerjaan yang saya tak pernah buat, daripada ambil upah mengangkat kotak, hingga membawa lori menghantar barang dan menjual kuih. Semuanya saya pernah buat.

“Bagi saya, asalkan ada kudrat jangan berhenti berusaha bersungguh-sungguh. Memiliki ijazah tidak bermakna kita boleh berharap mendapat kerja hebat sebaliknya banyak ruang dan peluang lain yang boleh direbut,” kata Ahmad Azhari Rosli, 27.

Anak muda ini antara contoh terbaik bahawa kecekalan dan sikap tidak menyerah kalah adalah pemangkin kejayaan. Hasil simpanan daripada kerja ‘biasa-biasa’ yang dilakukannya itu digunakan untuk memulakan perniagaan minyak wangi.

Kini, Ahmad Azhari mampu tersenyum puas melihat usaha gigihnya membina jenama Sugarbomb Perfumes semakin mekar yang diusahakan bermula daripada bawah dan dengan modal sebanyak RM15,000.

Bermula dengan hanya dua wangian, syarikat yang beribu pejabat di Setia Alam, Selangor itu kini beroperasi dengan kekuatan 58 kakitangan di bawah pengurusan Infinite Opportunities Sdn Bhd.

Selain wangian, syarikat ini juga mengoperasikan SB Labs yang berperanan sebagai makmal minyak wangi profesional yang membekalkan lebih 100 haruman daripada pati asli berkualiti tinggi diimport dari Eropah.

Menurutnya, antara kekuatan jenamanya adalah kawalan kualiti di semua aspek bermula daripada bancuhan pati sehingga siap dipek ke dalam kotak.

“Kami mempunyai penasihat pakar kimia dari Universiti Sains Islam (USIM) yang dengan teliti memantau campuran dan pengeluaran wangian bagi memastikan setiap produk mencapai piawaian kelas dunia dan pengiktirafan antarabangsa.

“Malah, makmal kami juga menyediakan perkhidmatan kepada pelanggan untuk membuat minyak wangi sendiri selain mencampurkan haruman berbeza-beza untuk membuat minyak wangi peribadi.

“Kami juga sedia menerima tempahan minyak wangi bagi dijadikan cenderamata untuk sebarang majlis,” katanya.

Ahmad Azhari berkata, pengguna tidak perlu berbelanja lebih dan boleh berjimat berikutan harga minyak wangi itu jauh lebih berpatutan dan kualitinya sama seperti jenama mahal.

Katanya, wangian dikeluarkan syarikatnya itu juga tahan lama pada pakaian sehingga 48 jam dan yang paling penting boleh dibawa solat.

Menurutnya, pengalaman bersahabat dengan seorang yang mempunyai lulusan doktor falsafah dalam bidang Kimia ketika menuntut di Universiti of Bristol, UK pada 2015 sebenarnya menjadi batu loncatan untuknya berkecimpung dalam industri minyak wangi.

Katanya, sahabatnya itulah yang memperkenalkan kepadanya cara membuat minyak wangi hingga dia mendapat ilham untuk memulakan pengeluaran minyak wangi.

“Alhamdulillah saya bersyukur kerana ibu bapa amat memahami niat saya dan menyokong perniagaan yang saya usahakan dari awal ketika ia bermula di belakang rumah mereka.

“Umi saya, Arbayah Ismail banyak memberikan kata-kata positif untuk meneruskan bisnes walaupun masih tidak nampak cahaya pada 2017. Umi banyak memberikan idea dan merupakan penyokong nombor satu saya.

“Saya sentiasa memegang nasihatnya untuk terus merendah diri walau dalam apa jua kejayaan yang dicapai, tidak kira besar atau kecil. Sehingga hari ini, Umi masih menyokong bisnes dengan mempromosi produk saya kepada rakan surau dan kenalan tetangganya,” katanya.

Selain ibu, isterinya yang juga pegawai perubatan di Hospital Putrajaya, Dr Farah Lina Nor Azman juga antara insan penting yang menjadi tunggak kejayaannya hari ini.

Bapa kepada seorang cahaya mata ini juga mengakui permulaan kerjayanya itu bukan semudah disangka malah dia sudah lali dengan persepsi negatif orang sekeliling yang memperkecilkan usahanya.

Banyak maklum balas negatif yang diterimanya selepas membuat keputusan memulakan perniagaan berbanding bekerja makan gaji kerana menganggap ia satu kerugian selepas menghabiskan empat tahun belajar di luar negara.

“Tapi bagi saya, itu semua tidak menjadi kudis atau mematahkan semangat kerana kalau kita mahukan sesuatu, kita perlu usaha sehabis baik untuk mendapatkannya. Buktikan kepada mereka kita boleh berjaya,” katanya.

Meskipun kini bidang perniagaan yang diceburi jauh menyimpang daripada ijazah yang digenggam, ia tidak langsung dirasakan suatu kerugian. Ini kerana, pengalaman berharga yang dikutip ketika melanjutkan pengajian di luar negara banyak membentuk dirinya kini.

Banyak pengalaman yang diperoleh ketika menuntut di luar negara, melihat perbezaan budaya membuka matanya dan memberi perspektif berbeza terhadap kehidupan.

Anak muda ini juga tidak malu mengakui yang dirinya pernah melakukan pekerjaan yang dipandang sebelah mata oleh sesetengah orang seperti menjadi tukang cuci di salah sebuah organisasi di UK sebaik habis kelas di universiti.

“Habis kuliah, saya bergegas ke tempat kerja untuk melaksanakan tugas mencuci pejabat, tandas dan ruang legar bangunan di situ. Saya lakukan kerja sambilan ini kerana mahu mencari duit poket sendiri, supaya tidak menyusahkan ibu bapa.

“Lumrah buat penuntut di luar negara terutama di UK terpaksa berdepan kos sara hidup yang amat tinggi. Jadi pekerjaan sebegini sikit sebanyak membantu menambah wang perbelanjaan,” katanya.

Pada masa sama katanya, ia juga mendidik dirinya mengenai erti kesusahan dan berdikari selain merasai sendiri bagaimana rasanya bekerja sebagai orang bawahan yang cekal mencari sesuap nasi.

“Malu? Buat apa nak malu, ini pekerjaan halal dan sukar untuk menggambarkan kepuasan apabila mendapat upah dengan titik peluh sendiri di rantau orang, ketika kita berada dalam keadaan yang sangat memerlukan. Bukan semua orang dapat rasa pengalaman yang berharga ini.

“Bagi graduan yang mencari kerja, jangan buang masa dan tenaga jika sekiranya anda dapat kerja yang dirasakan sesuai dengan jiwa, teruskan saja. Timba pengalaman dari situ untuk kejayaan yang lebih besar pada masa akan datang.

“Anda boleh buat pelbagai jenis kerja dan daripada pengalaman itulah anda boleh ‘jual’ diri untuk dapat kerja yang lebih baik,” katanya.

Disiarkan pada: April 26, 2019 @ 6:00am
d