hati

Sukar hilangkan kesan conteng? Guna cuka!

Oleh HM Digital

RAMAI yang tidak pasti dengan kegunaan cuka yang tersimpan di dapur. Cuka digunakan sejak beribu tahun lalu oleh masyarakat seluruh dunia sebagai bahan masakan dan kesihatan. Cuka juga boleh digunakan sebagai bahan asas untuk membersihkan perkakas rumah. Berikut kegunaan cuka untuk kerja mencuci:

1. Mencuci palang besi tingkap

Pakai sarung tangan kain yang dibasahkan dengan bancuhan cuka dan air panas serta gosok palang besi menggunakan jari jemari anda. Sental perlahan-lahan sehingga kotoran atau kesan karat tanggal dan anda pasti kagum dengan hasilnya.

2. Menghilangkan kesan air pada meja kayu

Masalah lazim bagi meja kayu adalah kesan gelas basah berbentuk bulat. Kesan ini akan terbentuk jika tidak menggunakan pengalas gelas (coaster) dan biasanya sukar dihilangkan. Ini menyebabkan penampilan meja terutama di ruang tamu kelihatan cacat.

Bagi menghilangkan kesan itu, gunakan campuran cuka dan minyak zaitun. Gosok perlahan-lahan dengan kain lembut sehingga kesan pudar.

3. Menghilangkan kesan dakwat

Rata-rata ibu bapa pasti berdepan kerenah anak-anak yang kreatif apabila menconteng dinding rumah dengan pen. Malah, segelintir kanak-kanak turut menconteng meja dengan pelbagai lakaran.

Ibu bapa tentu malu apabila tetamu datang rumah dan melihat dinding rumah mereka penuh dengan lakaran hasil contengan. Bagi menghilangkan kesan pen berkenaan, celupkan kain atau span ke dalam semangkuk cuka dan gosok pada kesan dakwat pen sehingga contengan tidak kelihatan.

4. Bersihkan bilah gunting

Apabila gunting melekit atau berminyak, jangan cuci menggunakan air berikutan bilah gunting akan mudah berkarat. Sebaliknya, lap bilah gunting itu dengan kain yang dibasahkan dengan cuka. Keringkan gunting dengan mengelapnya menggunakan kain lain yang kering.

5. Mengilatkan perabot kulit

Sofa kulit sekian lama akan hilang serinya apabila permukaannya menjadi kusam. Bagi mengembalikan sinarnya, masukkan cuka dan minyak ‘linseed’ ke dalam botol penyembur. Goncang botol supaya bahan-bahan di dalamnya sebati.

Sembur campuran pada permukaan sofa kulit dan lap dengan kain lembut supaya sekata. Biarkan seketika sebelum lap sekali lagi dengan kain lain yang bersih. Ini akan membuatkan perabot kulit kembali berkilat seperti baru dibeli.

6. Menghilangkan kesan lelehan lilin

Lelehan lilin yang tumpah atas meja kayu sukar ditanggalkan kerana lilin sudah mengeras. Apabila sudah ditanggalkan pun pasti ada sedikit sisa lilin yang degil. Bagi menghilangkan kesan itu, pertama sekali cuba lembutkan sisa lilin menggunakan pengering rambut dan segera kupas sisa lilin itu selagi boleh.

Kemudian cuci kesan lilin yang masih ada menggunakan kain yang dibasahkan campuran cuka dan air. Gosok sehingga sisa lilin tertanggal sepenuhnya.

Disiarkan pada: April 27, 2019 @ 5:30am
d