hati

Semangat tinggi menggunung

Oleh Yusliza Yakimir Abd Talib

BERKAHWIN pada usia muda tidak langsung menghalang wanita jelita ini mengorak langkah jauh dalam kerjaya malah status ibu ketika melanjutkan pengajian kira-kira lapan tahun lalu diharunginya dengan cekal.

Logiknya, untuk menguruskan diri sendiri ketika masih menuntut pada usia yang masih mentah pun sudah mencabar, inikan pula mahu melunaskan tanggungjawab sebagai isteri dan ibu pada masa yang sama.

Namun, buat figura berwajah jelita ini, Sharifah Khyra Muhsin, 27, tidak sekali pun dirinya berasa terbeban dengan tanggungjawab besar sebagai pelajar, ibu dan isteri ketika baru menginjak usia awal 20-an.

Katanya, selepas berkahwin hidupnya lebih fokus dan bermatlamat, malah menjadikan dirinya insan yang lebih cekal dalam melakukan apa saja termasuk belajar.

“Berkahwin ketika sedang belajar tidaklah sesukar yang ramai orang sangkakan. Walaupun sibuk dengan pelbagai urusan pelajaran dan keluarga, saya masih boleh meraih pendapatan sampingan dengan menjual bermacam-macam produk seperti batik, sutera dan tudung ketika itu.

“Saya memang minat berniaga, sebab itu walaupun boleh dikatakan seluruh masa diisi dengan tanggungjawab sebagai pelajar dan keluarga, saya masih ada masa untuk menjual.

“Memang susah nak bahagi masa antara pelajaran dan bayi saya ketika itu tapi tak rasa membebankan. Paling penting mesti pandai menguruskan masa antara bisnes, menjadi isteri dan ibu.

“Saya akan selesaikan semua kerja pada waktu malam dan memang sudah biasa tidak cukup tidur. Saya akan pastikan setiap pagi menyiapkan suami pergi kerja, selepas itu fokus anak dan waktu tiada kelas baru saya fokus bisnes,” katanya.

Nyata pengorbanan wanita yang mesra disapa Khyra ini berbaloi dengan kejayaannya membina empayar perniagaan kecantikannya sendiri hasil penat lelah dan keringatnya selama ini.

Syarikat Fellera Beauty yang diasaskan sejak lapan tahun lalu adalah antara impiannya, malah dia pernah berangan-angan mahu muncul di kaca TV bersesuaian dengan pengkhususannya dalam bidang penyiaran ketika di universiti. Pernah bercita-cita menjadi pengacara terkenal, Khyra tidak kecewa impiannya itu tidak kesampaian, sebaliknya dia bersyukur kerana dikurniakan kelebihan iaitu berani mengambil risiko dengan menceburi bidang perniagaan walaupun ketika masih menuntut.

“Segalanya bermula dengan angan-angan. Beranga-angan nak masuk surat khabar, TV dan sebagainya, maklumlah budak Mass Comm (Komunikasi Massa). Semua itu dapat direalisasikan dengan perniagaan ini apabila perniagaan melonjak.

“Kegembiraan hanya mampu bertahan selama lapan tahun berniaga apabila Allah turunkan ujian kecil yang mengakibatkan jualan merudum dan syarikat mengalami kerugian berganda daripada penjualan tertinggi yang pernah dicapai,” katanya.

Menurutnya, penurunan angka jualan itu memberikan kejutan kepada wanita ini untuk mencari di mana silapnya. Dia gagal mendapat jawapan kenapa produk keluaran syarikatnya yang laris di pasaran tiba-tiba jatuh sedangkan promosi melalui pelbagai program TV dan radio masih diteruskan.

Kejatuhan kegemilangan syarikat yang dibina selepas pengeluaran 15 jenis produk kecantikan dan kesihatan, dia membuat keputusan menarik ‘brek tangan’ dan selepas dua bulan berfikir panjang sekembalinya daripada umrah, dia menghentikan pengeluaran produk di pasaran bermula Mac lalu.

Semangat juangnya yang tinggi ditambah dengan jiwanya yang cenderung pada perniagaan produk kecantikan menggerakkan hatinya untuk terus bangun dan menyambung semula jenamanya.

“Dulu saya mempunyai 200 ejen termasuk stokis tetapi sekarang tinggal cuma 100 lebih saja yang masih setia dan memohon agar saya dapat menyambung semula. Kerana itulah saya bertekad meneruskan perjuangan demi membantu mereka.

“Mungkin ada unsur sabotaj dan ada yang tidak suka saya berjaya namun tidak mahu salahkan sesiapa serta menjadikan ia alasan untuk berundur. Mungkin ada silap saya juga tetapi alhamdulillah berkat nasihat suami dan rakan rapat saya dapat bangkit kembali,” katanya.

Iba dua orang anak berusia tujuh dan tiga tahun ini merangka pelan dengan pengeluaran produk baharu menjelang raya termasuk tiga produk edisi terhad.

Khyra mengakui, kejatuhannya dalam perniagaan yang dibina selama lapan tahun bermodalkan wang sendiri sebanyak RM1,400 hasil pinjaman RM1,000 daripada suami tidak mematahkan semangatnya untuk terus berjuang walaupun rugi ratusan ribu ringgit.

Wanita ini bermula dengan mencipta sabun skrub beras mengikut formula herba tradisional dan sudah tentu produk pertamanya itu mendapat sambutan menggalakkan untuk dia terus bersemangat menghasilkan 14 produk lain.

“Dulu produk saya banyak diformulasikan mengikut cara tradisional yang diguna pakai nenek moyang kita tetapi sekarang saya menggabungkan kedua-dua elemen itu dengan bahan daripada Korea dan Jepun untuk menjadikan ia lebih berkualiti tetapi tetap selamat dan halal,” katanya.

Meskipun figura ini pernah menggapai kejayaan yang diimpikan semua orang, dia mengakui ia tidak akan berhasil tanpa sokongan padu suaminya, Syed Azri Syed Mohamad.

Meskipun pada awalnya suaminya itu tidak mempercayai kemampuannya membina jenama sendiri, lelaki itu tetap teguh di belakangnya apatah lagi percubaan kali pertamanya membuahkan hasil.

“Suami saya terbabit dalam bidang pembinaan, jadi apabila saya suarakan hasrat mahu memulakan perniagaan kecantikannya yang ketika itu masih tidak ramai lakukannya, dia agak skeptikal.

“Walaupun masa itu suami seakan-akan tak percaya dan ragu-ragu sama ada saya boleh buat. Saya tidak peduli dan nekad mahu buktikan yang saya boleh berjaya.

“Sungguhpun begitu, dia tetap mahu membantu saya dengan meminjamkan RM1,000 sebagai modal. Saya mula dengan kecil-kecilan saja malah semuanya buat sendiri ketika masih belajar, jadi masa mula bisnes ini segala urusan penghantaran dan stok semua diuruskan olehnya.

“Sambil dia uruskan kerjayanya sendiri, dia bantu saya pos barang ketika dia ada masa terluang. Tanpa bantuan suami, saya tidak akan berjaya ke tahap ini.

“Memang sampai sekarang pun kami sama-sama fokus untuk memajukan perniagaan ini. Dia rela memperlahankan perniagaan pembinaannya kerana mahu memantau dan membantu saya,” katanya.

Menurut Khyra, pengalaman luas suaminya dalam perniagaan sikit sebanyak membantu dirinya yang lebih ke arah pengembangan idea produk, manakala selebihnya diserahkan kepada suami untuk menguruskannya.

Baginya, lelaki itulah kawan baik dan juga pemimpin yang selalu di belakangnya malah dalam apa juga keputusan dalam syarikat yang perlu dibuat, pastinya suami menjadi tempat rujukan dan panduan.

Disiarkan pada: May 2, 2019 @ 6:00am
d