hati

Keterbatasan bukan penghalang

Oleh Siti Zarinah Sahib

KETIKA penulis mengunjungi kediaman pasangan suami isteri Abu Samah Borhan, 34, dan Norisah Bahrom, 44, yang juga atlet paralimpik negara, kelihatan anak pasangan ini Adam Danial Abu Samah, 8, sibuk membantu ibu bapanya mengangkat barang-barang yang dibeli di pasar raya.

Melihat gerak geri Adam menjinjing satu persatu beg plastik berisi barang lalu menyusun di tempatnya seakan dia sudah biasa. Malah sifat ringan tulangnya ketara apabila dia turut mengemas sofa dan meja kopi walaupun tidak disuruh ibunya.

Selepas selesai, dengan sopan dia bertanya kepada Norisah sekiranya ada tugasan lain yang perlu dilakukan sebelum meminta diri menyiapkan kerja sekolah di bilik.

Sambil menarik nafas lega melihat kelibat Adam, jelas Norisah, dia bersyukur kerana dikurniakan cahaya mata yang sangat memahami. Mungkin disebabkan asuhan sejak kecil menjadikan Adam seorang yang rajin dan bertanggungjawab. Pada usia begini dia sepatutnya riang bermain, bukan dibebankan dengan kerja rumah.

Akur dengan keterbatasan mereka sebagai pasangan orang kelainan upaya (OKU), sebagai anak tunggal hanya Adam yang boleh diharapkan bagi membantu melancarkan urusan di rumah.

“Sebagai ibu, saya akui cara didikan saya agak keras. Sejak kecil saya didik Adam agar dia tahu apa yang boleh dan tidak. Jika dia lasak saya akan menegur supaya tidak keterlaluan sehingga boleh mencederakan diri sendiri.

“Bayangkan kami berdua berkerusi roda, jika Adam terjatuh ia turut menyukarkan kami membawanya ke hospital. Lama-kelamaan dia semakin faham dan bijak mengawal diri apabila berada dalam kelompok kanak-kanak lain,” katanya.

Norisah yang turut menjaga Adam seorang diri berikutan suami tinggal di Majlis Sukan Negara (MSN) kerana perlu memberi tumpuan kepada sukan tenis mengakui dia perlu bersikap tegas dalam didikan. Sebagai ibu, wanita ini mahu menjadikan Adam kuat dan kental jiwanya serta dipenuhi kasih sayang menggunung tinggi.

Menceritakan lebih lanjut mengenai anaknya, jelas Norisah kelahiran Adam sebenarnya tidak dijangka. Ketika itu dia tidak dibenarkan hamil berikutan dalam persediaan ke Sukan Paralimpik London pada 2012.

“Kuasa Allah tiada siapa dapat menghalang apabila saya hamil juga selepas setahun mendirikan rumah tangga. Ia sudah tentu menggembirakan saya dan Abu Samah walaupun saya terpaksa melupakan seketika sukan tenis kerana perlu memberi tumpuan kepada kehamilan,” katanya.

Walaupun menempuh pelbagai masalah kesihatan ketika hamil, Norisah dapat melaluinya sehinggalah Adam dilahirkan pada usia kandungan 33 minggu. Lebih menggembirakan, dia melahirkan Adam secara normal meskipun terpaksa melalui proses berpantang sendirian di rumah disebabkan ibu yang sudah uzur.

“Ramai tidak percaya apabila saya dapat melalui proses kelahiran secara normal dan melalui tempoh berpantang sendirian. Bayangkan dalam keadaan berkerusi roda, saya bergerak ke sana sini demi untuk anak tercinta,” katanya yang hanya mengharapkan bantuan suami menjaga Adam sebelum mengambil pembantu rumah.

Jelas Norisah, dia bersyukur kerana Adam melalui pertumbuhan yang cepat berbeza dengan bayi pramatang lain. Dia juga mudah dijaga dan tidak banyak kerenah.

“Apabila keinginannya tidak dipenuhi, Adam seakan faham dan tidak membantah. Mungkin disebabkan sejak kecil saya sudah berbicara dengannya mengenai keadaan saya ketika itu.

“Saya ingin Adam menyelami apa yang saya rasakan dan faham apa yang saya peroleh hari ini bukanlah mudah. Banyak cabaran dan rintangan yang perlu ditempuhi sebelum mengecap kebahagiaan seperti sekarang.

“Saya juga mahu Adam berbangga memiliki ibu dan ayah OKU yang boleh mengharumkan nama negara dalam bidang sukan, memiliki pendidikan serta kerjaya profesional,” kata Norisah.

Norisah gembira kerana sedikit sebanyak apa yang diterapkan kepada Adam berjaya membentuk peribadinya menjadi kanak-kanak yang mendengar kata dan ringan tulang.

“Dia tahu apa yang perlu dilakukan. Saya tidak perlu bercakap berulang kali atau berleter panjang. Sekarang Adam sudah boleh menjadi pembantu saya. Dialah yang menolak troli sekiranya pergi ke pasar raya dan mengangkat barang ke rumah,” katanya.

PASANGAN OKU LEBIH MEMAHAMI

Melihat keceriaan pasangan ini sesiapa juga pasti mengakui langsung tiada kekurangan pada mereka. Walaupun hakikatnya Abu Samah dan Norisah hanya bergantung kepada kerusi roda untuk bergerak.

Melangsungkan perkahwinan pada Jun 2009 selepas bertemu dalam satu majlis berbuka puasa anjuran Persatuan Perwira K9, sifat Abu Samah yang matang, bertanggungjawab serta berada dalam aliran sukan yang sama menyebabkan Norisah menerima lamaran lelaki itu.

“Saya bersyukur kerana keluarga juga tidak membantah. Mereka menerima Abu Samah seadanya walaupun ketika itu dia tidak bekerja dan hanya menjadi atlet. Lebih penting kami sama-sama OKU dan pastinya tidak sukar untuk melayari alam rumah tangga kerana mempunyai banyak persamaan dan minat dalam sukan tenis,” ujar Norisah.

Walaupun menerima sindiran masyarakat yang mengatakan mengapa berkahwin dengan lelaki cacat dan bukannya normal, Norisah dan suami tidak pernah kisah dengan kata-kata orang sekeliling kerana mereka yang melaluinya.

“Dulu ketika tiada kenderaan saya berjuang meneruskan kehidupan dengan bergerak menggunakan papan luncur. Masyarakat melihat dengan pandangan pelik malah ada yang mengejek.

“Tetapi sekarang saya sudah membuktikan golongan OKU mampu mencipta kejayaan sehingga ke peringkat dunia dalam sukan tenis. Saya juga ada rumah dan kereta sendiri malah tidak pernah mengharapkan bantuan orang lain untuk bergerak. Jadi mengapa saya perlu mengalah dengan kata-kata masyarakat,” katanya tegas.

Bagi Norisah, kecacatan bukan halangan untuk mendapat apa yang diinginkan. Walaupun dia dan suami berkerusi roda, mereka tetap memandu kereta dan keluar membeli-belah sama seperti pasangan lain.

“Dulu ketika Adam masih kecil, setiap kali ke pusat beli-belah kami bertiga sering jadi tumpuan. Ini kerana saya dan suami berkerusi roda manakala Adam di dalam kereta sorong berbeza.

“Namun itu semua tidak menjadi masalah kerana saya dan suami sering menganggap kami adalah insan normal sama seperti orang lain. Sekurang-kurangnya apa yang dilihat masyarakat mampu menjadi motivasi kepada yang lain untuk berusaha membuktikan kemampuan diri,” katanya.

SAMBUNG PENGAJIAN PERINGKAT IJAZAH

Melihat kegigihannya memang mengagumkan. Pada usia 44 tahun, Norisah masih bersemangat menyambung pengajian dalam Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Perisian di Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Walaupun dihambat kesibukan bekerja sebagai Penolong Pegawai Teknologi Maklumat di Kementerian Pelancongan & Kebudayaan Malaysia dan perlu menguruskan keluarga, Norisah tidak pernah merungut sebaliknya bersemangat memberikan yang terbaik dalam apa juga lapangan diceburinya.

“Saya menyambung pengajian kerana ingin mendapatkan kembali apa yang pernah saya tertinggal suatu ketika dulu. Dulu ketika zaman remaja saya malu melihat keadaan saya dan tiada keyakinan diri.

“Namun saya terfikir sampai bila harus begini. Sebab itu saya keluar daripada perasaan ini dan berusaha mendapat pendidikan kerana dengan ilmu sahaja akan membuatkan kita lebih dihormati,” katanya.

Berasal dari Muar, Johor, dia yang dilahirkan sebagai kanak-kanak normal secara tiba-tiba mengalami kesukaran berjalan, kerap jatuh dan hilang kestabilan badan ketika berusia 15 tahun.

Selepas pemeriksaan doktor memberitahu ia disebabkan masalah pembentukan tulang belakang yang tidak sempurna sehingga mengakibatkan gangguan pada fungsi urat saraf. Lama-kelamaan kaki Norisah menjadi lemah dan akhirnya tidak mampu digerakkan.

“Saya begitu tertekan dan sering menyalahkan Tuhan kerana memilih saya untuk melaluinya. Namun tangisan dan kesedihan langsung tidak memberi apa-apa kesan. Akhirnya saya terfikir sampai bila harus begini. Saya harus mencari kekuatan dan semangat untuk melawan rasa rendah diri,” katanya.

Akhirnya dia mengambil keputusan mendekatkan diri kepada Allah dan kembali beribadat. Sesudah solat, dia membaca surah Yasin dan menunaikan solat Tahajud pada setiap malam kerana itu saja cara berinteraksi dengan Allah.

Selepas setahun menganggur, tanpa pengetahuan keluarga, Norisah memohon mengikuti kursus di Pusat Pemulihan Orang Cacat Cheras (PPC) dengan memilih kursus membaiki komputer dan mekanik radio, televisyen dan video.

Selepas menamatkan pelajaran, keluarga memujuk supaya Norisah membuka kedai elektronik di kampung. Tetapi wanita ini berkeras memilih tinggal di Kuala Lumpur dan bekerja di Rumah Insaniah Dr Siti Hasmah, Petaling Jaya dengan gaji RM150 sebulan.

Lapan tahun bekerja di rumah kebajikan, Norisah memohon jawatan di sebuah syarikat telekomunikasi. Ditawarkan gaji memuaskan, dia mengumpul duit bagi memenuhi cita-cita melanjutkan pelajaran ke peringkat diploma serta memiliki rumah sendiri di Petaling Jaya.

“Dengan pendapatan yang memuaskan, saya mengumpul duit untuk memenuhi cita-cita melanjutkan pelajaran peringkat diploma. Saya diterima sebagai pelajar program multimedia di kolej swasta selama dua setengah tahun,” katanya yang berjaya menggenggam diploma dalam bidang berkaitan.

Walaupun sudah memperoleh diploma, hasrat Norisah untuk belajar ke peringkat ijazah sarjana muda dan sarjana tidak pernah padam sehinggalah dia berjaya melanjutkan pelajaran dalam jurusan teknologi maklumat peringkat ijazah sarjana di UTM.

Dalam bidang sukan pula Norisah yang menceburi sukan tenis kerana ingin mengisi masa terluang akhirnya menjadi serius apabila mewakili Malaysia ke peringkat antarabangsa. Kejayaan paling membanggakan apabila terpilih ke Kejohanan Fespic di Bangkok dan berjaya mendapat pingat gangsa.

Selepas itu semakin banyak kejohanan disertainya termasuk Terbuka Belgium, Kejohanan Dunia Tenis Berkerusi Roda Berkumpulan di Paris, Terbuka Switzerland, Terbuka Jessolo Itali dan Sukan Fesfic di Korea.

“Paling membanggakan apabila mendapat dua gangsa ketika Paragames Asia 2007 dan dua gangsa dalam Sukan Paragames di Kuala Lumpur, 2009,” katanya.

Kata Norisah, semua ini dilakukan bagi membuktikan OKU juga boleh berjaya seperti orang lain. Pada masa sama dia ingin menyuntik semangat kepada OKU lain supaya yakin pada diri sendiri dan cuba melakukan yang terbaik dalam hidup.

“Saya sedar tidak semua OKU berupaya membebaskan diri mereka dalam belenggu rasa lemah dan kurang yakin. Masih ada yang mengurungkan diri di rumah kerana tidak berani hidup berdikari. Sebenarnya OKU juga boleh berjaya asalkan tidak putus semangat, pasti Allah akan berikan jalan. Apa yang penting adalah keinginan untuk berubah,” katanya.

Disiarkan pada: May 3, 2019 @ 5:00am
d