hati

Minat jadi kerjaya

Oleh Siti Nadirah Hafidzin

KERAMAHANNYA membuatkan sesi pertemuan petang itu terasa berlalu begitu pantas. Tutur katanya yang tersusun menunjukkan kematangan dan pengalamannya. Malah ia juga menjadi modal untuknya menarik pelanggan.

Namun siapa sangka wanita bertubuh tinggi lampai dan berkulit putih gebu ini mempunyai semangat serta keazaman yang tinggi untuk menggapai impian berjaya dalam perniagaan butik dan perunding imej.

Marlin Afzan Saidin yang kini mampu tersenyum selepas usahanya membuahkan hasil meminati bidang jahitan dan kecantikan sejak di bangku sekolah lagi.

“Selepas tamat persekolahan, saya terus mengambil kelas jahitan kerana sememangnya sudah menanam azam memiliki jenama sendiri.

“Saya berusaha memenuhkan ilmu dan kemahiran di dada bagi memastikan impian dihajati selain diri tidak dipandang rendah,” katanya.

Menurutnya, dia bersyukur kerana diterima bekerja di sebuah bank tempatan iaitu di bahagian kaunter hadapan.

“Berada di situ membuka peluang kepada saya untuk sentiasa tampil cantik kerana selain suka menjahit, saya juga suka kelihatan cantik.

“Dua perkara inilah yang mendorong saya membina perniagaan. Saya kemudian mengikuti kelas solekan bagi menambah ilmu yang ada. Berbekalkan dua cabang ilmu dan kemahiran iaitu dalam menjahit dan menyolek, saya mula memikirkan cabang perniagaan sesuai,” katanya.

Bermula sekadar menyolek diri sendiri kemudian memberikan khidmat kepada rakan di bank dan kenalan terdekat, bakat semula jadinya itu semakin berkembang dan diketahui ramai.

“Bermodalkan semangat yang tinggi, saya nekad memberanikan diri mengusahakan butik pengantin walaupun hanya beroperasi dari rumah.

“Syukur, khidmat menyediakan busana pengantin, solekan, perancang imej dan perkahwinan yang saya lakukan diterima ramai serta menjadi detik permulaan kepada saya hingga hari ini,” katanya.

KEPUTUSAN TEPAT

Menurut Marlin Afzan, ketika mula menceburi perniagaan, dia masih berkhidmat di bank dan menjadikan perniagaan butik pengantin sebagai kerjaya sampingan.

“Namun selepas menerima permintaan menggalakkan daripada pelanggan, saya mula berfikir untuk terbabit secara sepenuh masa dan akhirnya nekad berhenti kerja pada 2012.

“Ia bukan keputusan mudah, apatah lagi memikirkan kos sara hidup, namun berkat semangat suami dan keluarga, saya tidak lagi mahu berpatah balik,” katanya.

Ternyata keputusan yang diambil wanita manis ini meninggalkan kerjayanya cukup tepat kerana dia kini mampu tersenyum dengan usahanya kini walaupun pada mulanya berdepan kesukaran.

“Bukan mudah pada mulanya untuk saya tinggalkan kerjaya yang sudah sebati dengan kehidupan kerana sudah berkhidmat selama 18 tahun di bank terbabit.

“Pernah juga rasa bimbang kehilangan pendapatan tetap setiap bulan tetapi untuk berjaya, perlu ada sedikit pengorbanan dan saya yakin dengan keputusan itu,” ujarnya.

Wanita cekal yang mempunyai dua cahaya mata ini berjaya membuktikan wanita juga boleh berdiri sama tinggi dan bersaing dengan lelaki, sekali gus berjaya dalam perniagaan.

“Saya banyak belajar erti kesabaran dalam mengendalikan butik ini terutama ketika berdepan pelanggan yang mempunyai pelbagai kerenah. Dimarah, dimaki, pelanggan membatalkan tempahan secara tiba-tiba antara dugaan paling biasa dilalui.

“Namun bagi saya apa yang perlu diterapkan adalah sikap keterbukaan dan positif bukan saja terhadap pelanggan, malah kepada pekerja bagi memastikan mereka berada dalam keadaan selesa serta gembira,” katanya.

MESRA PELANGGAN

Menariknya, wanita ini bukan saja mampu meraih pendapatan lumayan hasil usahanya dalam bidang berkenaan, malah dia juga mempunyai lebih masa untuk diluangkan bersama suami dan anak.

“Alhamdulillah, selepas hampir 12 tahun berkecimpung dalam bidang ini dan mengharungi pelbagai onak dan duri, saya kini semakin yakin bidang inilah jiwa saya. Saya mahu memberikan yang terbaik dalam setiap perkhidmatan kepada pelanggan.

“Ia tidak mudah kerana saya bukan dilahirkan dalam keluarga yang mempunyai pengalaman dalam bidang ini, tetapi alah bisa tegal biasa,” katanya.

Kata Marlin Afzan, dia mengamalkan konsep mesra pelanggan dan ia turut diterapkan kepada setiap kakitangannya supaya pelanggan berasa lebih selesa.

“Bidang ini bukan saja memerlukan kekuatan dan keazaman dari segi masa, tenaga dan idea malah kemesraan dengan pelanggan juga memainkan peranan besar dalam memajukan perniagaan.

“Setiap hari pasti ada saja pelanggan baharu yang mempunyai ragam yang berbeza namun kami akan cuba berikan layanan terbaik,” katanya.

Pada masa sama, Marlin Afzan amat bersyukur kerana dianugerahkan suami yang memahami dan kreatif terutama dalam membantunya menghasilkan rekaan serta konsep pelamin terkini.

“Suami banyak memberi idea dalam susun atur pelamin dan hampir semua pelamin yang dihasilkan butik pengantin ini hasil ilhamnya.

“Saya juga sentiasa berdoa supaya urusan yang dilakukan ini sentiasa dipermudahkan, perniagaan ini akan terus diberkati dan mendapat keredaan Allah. Selain itu, keredaan ibu bapa dan suami juga amat diperlukan dan ia ternyata memudahkan kehidupan,” ujarnya.

Disiarkan pada: May 7, 2019 @ 6:30am
d