hati

Baju Melayu ala jaket

Oleh Siti Zarinah Sahib

SINONIM dengan perayaan tradisional, sudah semestinya pakaian tradisi Melayu mewarnai kemeriahan sambutan lebaran. Sama ada lelaki mahupun wanita pasti inginkan busana yang benar-benar mampu membangkitkan keserian, sekali gus rasa bangga kerana menggayakan padanan lengkap baju Melayu bersama samping.

Mengangkat tema tradisi baju Melayu, menurut Pengasas Riffai Couture, Mohd Riffairudin Husin pada tahun ini dia menerapkan elemen moden menerusi potongan ala jaket meng­gunakan material tenun Pahang.

“Sebelum ini saya menerima luahan daripada pelang­gan yang sukar memakai baju Melayu disebabkan ada antara­nya berpotongan mengikut bentuk badan (slim fit). Jadi saya terfikir mengapa tidak menukar penggayaan namun masih menampakkan ciri tradisi pada bahagian kolar cekak musang dan perincian butang lima bagi mengekalkan unsur Melayu lama,” katanya yang turut menyediakan perkhidmatan tempahan bagi mereka yang berminat mendapat­kan baju Melayu secara lebih eksklusif.

Terkenal dengan penggunaan material halus dan berkualiti, Mohd Riffairudin turut menggunakan fabrik sama untuk samping bagi mengekalkan kualiti dan tampak mewah apabila digayakan. Hadir dalam pelbagai rona terang seperti merah jambu dan ungu selain rona pastel, kehadiran warna cerah ini adalah untuk mempelbagaikan pilihan terutama kepada anak muda yang bijak dalam penggayaan mereka.

Selain baju Melayu, turut ditampilkan adalah kurta dan jubah yang turut diberikan potongan sama seperti baju Melayu. Jelas pereka ini, setiap kurta dikemaskan dengan butang bungkus bagi memberikan impak seperti busana tradisional.

“Kurta dan jubah yang dihasilkan kali ini mengetengahkan potongan me­ngikut bentuk badan atau slim fit bagi memberikan gaya segar dan moden kepada si pemakai.

“Menyedari lelaki hari ini sangat mementingkan penampilan, jadi kehadiran kurta dengan pelbagai warna terang memberikan mereka pilihan memadankan sama ada dengan jeans atau slack.

“Ia sesuai dipakai untuk ke tempat kerja, bersolat atau menziarahi saudara-mara. Menerusi butang bungkus ia memberikan nilai elegan, tetapi masih santai untuk mereka yang ingin tampil secara sederhana,” katanya.

Sama seperti kurta, jubah turut didatangkan dengan potongan mengikut bentuk badan namun disertakan zip pada dada, sekali gus menampakkan perincian yang kemas.

Tampil dalam ukuran S hingga XL kurta dan jubah ini turut didatangkan dalam sembilan warna menawan dan pastinya bakal menarik minat jejaka untuk tampil berbeza.

Selain menerapkan unsur moden dalam potongan setiap helaian menggunakan fabrik berkualiti seperti velentino dan abaya yang sesuai dalam keadaan cuaca panas dan lembap di Malaysia.

Materialnya seakan sama kain kapas namun menampakkan kesan lebih menyerlah kerana ia terletak cantik pada badan si pemakai.

Ditawarkan pada harga serendah RM129 untuk jubah dan kurta serta RM500 untuk baju Melayu. Semua koleksi ini boleh diperoleh di butik Riffai Couture atau pembelian secara dalam talian.

Disiarkan pada: May 9, 2019 @ 5:00am
d