hati

Kekal tenaga anak ketika puasa

Oleh Yusliza Yakimir Abd Talib

MENDIDIK anak berpuasa mungkin menjadi satu cabaran buat sesetengah ibu bapa apatah lagi jika ibadat itu dilakukan ketika cuaca panas dan terik.

Keadaan itu mungkin menyebabkan mereka lebih cepat berasa letih, dahaga dan mengalami dehidrasi hingga menjejaskan aktiviti seharian.

Oleh itu, amat penting untuk ibu bapa memberi perhatian terhadap pengambilan makanan dan minuman ketika bersahur dan berbuka puasa agar mereka kekal cergas serta sihat bagi menjalani ibadat puasa.

Ketika Ramadan anak masih perlu mengambil dua hidangan utama sehari iaitu ketika bersahur dan berbuka selain satu hidangan snek ringan atau makan malam sebelum tidur (selepas solat Isyak dan Tarawih).

Oleh itu tawarkan mereka makanan yang mengandungi karbohidrat lebih kompleks seperti beras perang, pasta, produk bijirin penuh atau pita, sayuran berkanji dan sayuran berdaun selain sumber protein yang baik seperti ikan, telur, ayam dan daging.

Malah elemen penting tidak boleh diabaikan ialah melengkapkan hidangan mereka dengan sesuatu yang manis daripada buah.

Tip untuk mengekalkan tenaga untuk kanak-kanak berpuasa:

Makanan yang lebih tinggi serat boleh membuatkan kanak-kanak lambat berasa lapar. Untuk anak dalam usia muda (kurang tujuh tahun), ibu bapa boleh mencuba bubur dengan campuran sayuran bersama sumber protein yang baik seperti ikan atau telur.

Pada akhir hidangan sebelum mula berpuasa, kanak-kanak boleh diberi minuman yang membekalkan tenaga. Susu menjadi salah satu pilihan ketika bersahur untuk anak kekal terhidrat.

Susu adalah sumber cecair baik yang mengandungi semua nutrisi selain memiliki indeks glisemik lebih rendah berbanding jus buah atau minuman manis lain. Bahkan ia juga boleh membuatkan anak anda berasa kenyang dengan lebih lama. Ia membolehkan mereka bertahan lebih baik.

Disebabkan tempoh berpuasa yang lama sehingga belasan jam, makanan yang lebih mudah dicerna akan menjadi pilihan lebih baik untuk kanak-kanak manakala ada beberapa jenis makanan perlu dihindari untuk mengelakkan masalah penghadaman.

Makanan mengandungi banyak lemak dan terlalu berempah atau pedas boleh memicu beberapa masalah penghadaman misalnya kembung, refluks dan beberapa masalah lain.

Jika anak benar-benar menggemari makanan pedas, adalah disarankan agar pengambilannya dalam jumlah kecil manakala makanan lain yang terbaik dihindari adalah minuman ringan bergas atau berkarbon

Ini kerana, pengambilan terlalu banyak minuman bergas membuatkan mereka mungkin tidak boleh makan lebih banyak makanan yang sesuai dengan keperluan dan akhirnya tidak mengambil hidangan seimbang serta menyihatkan.

Perkara yang perlu dielakkan oleh kanak-kanak berpuasa:

Ada sesetengah ibu bapa menganggap dengan memberi anak makan berlebihan ketika sahur atau berbuka, mereka kekal bertenaga namun tanggapan itu tidak tepat kerana ruang dalam perut sama saja tidak kira kita berpuasa untuk tempoh lama atau sudah kenyang dengan makanan.

Oleh itu, dengan keterbatasan ruang dalam perut, bagaimana anak dapat memenuhi dua hidangan besar sekali gus ditambah pengambilan air yang banyak (ketika sahur dan buka puasa).

Makan berlebihan tidak akan memberi manfaat untuk mereka dalam jangka panjang, malah mungkin berakhir dengan beberapa masalah penghadaman pada masa depan.

Cuba tawarkan anak makanan lebih tinggi serat, karbohidrat kompleks dan protein, yang dapat membantu membuatkan mereka tetap bertenaga sepanjang hari daripada memberi makan terlalu banyak kalori kosong yang mungkin berakhir dengan keletihan.

Bagi anak yang masih melakukan aktiviti atau latihan aktif, boleh makan lebih banyak ketika sahur namun bagi mereka yang kurang aktiviti berat, hidrasi lebih penting daripada makanan.

Kanak-kanak boleh meneruskan rutin latihan atau kegiatan aktif ketika berpuasa namun disarankan untuk mengurangkan durasi atau menghindari cahaya matahari langsung dalam tempoh lama ketika bersukan.

Mereka juga boleh melakukan latihan atau aktiviti selepas buka puasa atau pada sebelah malam.

Disiarkan pada: May 14, 2019 @ 6:00am
d