hati

Sahabat pesakit kulit

Oleh Intan Mas Ayu Shahimi

BUKAN sekali melihat kelibat wanita ini dalam program amal atau kempen membabitkan penghidap masalah kulit, bahkan terlalu kerap. Sikap dedikasi, prihatin dan optimis yang ada pada dirinya boleh dilihat jelas.

Banyak kali juga penulis bertemu dan berhubung dengan wanita ini bagi mendapatkan pandangan untuk menulis artikel berkaitan kesihatan kulit. Dr Kartini Farah Abd Rahim tidak pernah lokek, apatah lagi menolak untuk berkongsi idea. Ada waktunya penulis terharu apabila wanita ini membantu menjelaskan setiap perkara yang ditanya dengan terperinci.

Bagaimanapun, tidak kira sama ada di lapangan, televisyen, akhbar mahupun majalah, Dr Kartini memang banyak bercerita mengenai pesakit, ubat-ubatan, rawatan, pemulihan, persepsi masyarakat dan sebagainya. Jarang wanita ini berkongsi kehidupan peribadinya.

Tertarik dengan personaliti lembut dan sikap prihatin yang ditonjolkan, Hati cuba mendekati wanita ini secara dekat. Kata anak sulung daripada empat beradik ini, dia dilahirkan di Petaling Jaya dan sudah berkahwin.

Walaupun tidak mempunyai anak sendiri, wanita ini mempunyai 25 anak angkat yang ditanggung dari segi makanan, pakaian, pelajaran dan sara hidup.

“Selepas habis ijazah kedoktoran dari Universiti College Dublin, saya bekerja sambil belajar di United Kingdom. Saya menerima Diploma Dermatologi dari Royal College of Physicians and Surgeons of Glasgow pada 2005, diikuti Membership of the Royal Colleges of Physicians of the United Kingdom pada 2007.

“Dari situ, saya melanjutkan pelajaran dalam bidang dermatologi di Universiti Kebangsaan Malaysia, satu-satunya universiti di Malaysia yang boleh menganugerahkan saya Sarjana Lanjutan Dermatologi pada 2012,” katanya.

Menariknya, Dr Kartini juga berkhidmat sebagai seorang pensyarah perubatan dan dermatologi di Universiti Putra Malaysia (UPM) sejak kembalinya dari United Kingdom pada 2007, selama lebih 10 tahun.

“Saya mula aktif di dalam aktiviti persatuan dan kelab sokongan pesakit kulit, kempen kesedaran, penulisan di akhbar dan majalah mengenai masalah kulit sejak 2015.

“Sebenarnya, pada tahun itulah julung kali diadakan Hari Kulit Kebangsaan dan saya pula ditugaskan sebagai pengerusi sehingga 2017. Selain mengikut jam kerja, saya juga banyak meluangkan masa melakukan kerja amal selaku penasihat utama Pertubuhan Kebajikan Pesakit Ichthyosis Malaysia, Hidradenitis Suppurativa Support Group Malaysia dan Malaysia Eczema Support Community,” katanya yang kini berkhidmat di hospital pakar di Shah Alam.

WANITA KOMITED

Selesa merendah diri, Dr Kartini mengakui dia sebenarnya seorang yang mudah tersentuh setiap kali melihat situasi menyedihkan, terutama membabitkan kanak-kanak teraniaya dan menghidapi masalah kulit.

“Bagi saya, daripada terus murung, berputus asa atau menutup mata, saya lebih suka berdepan dengan masalah dan cuba mengambil tindakan sewajarnya. Saya suka berikhtiar dan mencari jalan untuk memudahkan hidup mereka yang susah. Paling penting, saya mahu menjadi seorang yang berguna kepada masyarakat dan menjadi contoh terbaik buat semua anak saya,” katanya.

Mengimbas kembali sebab dan alasan mengapa wanita ini begitu nekad memilih menjadi pakar dermatologi, kata Dr Kartini, dia melihat bidang itu cukup mencabar.

“Bayangkan, seorang doktor mesti mendapatkan kepakaran dalam bidang perubatan sebelum bergelar pakar kulit. Jadi, tidak ramai doktor yang sanggup belajar begitu lama. Tambahan dermatologi adalah cabang ilmu yang berat dan sukar.

“Penyakit kulit pula ada beribu-ribu jenis dan rupanya agak sama. Hanya pakar yang mempunyai pengalaman tinggi saja berupaya membezakan antara satu masalah kulit dengan yang lain.

“Sebab paling utama saya memilih bidang ini adalah impak besar masalah kulit itu sendiri terhadap individu yang menghidapinya. Impak ini datang bukan saja dari segi fizikal, tetapi emosi, sosial dan ekonomi. Di situ saya andaikan dermatologi adalah bidang yang sangat penting. Tambahan kesihatan yang baik amat tinggi nilainya kepada sesiapa saja,” katanya

ANAK SUMBER INSPIRASI

Agak unik apabila memiliki ramai anak angkat dalam satu masa. Tidak pernah berasa terbeban, malahan berbangga dengan pencapaian mereka, Dr Kartini mengakui banyak menimba ilmu dan pengalaman berbeza.

“Saya sangat berminat membaca dan menulis, terutama berkaitan masalah kulit. Saya juga seronok setiap kali dapat meluangkan masa dengan keluarga dan anak. Seorang daripada anak angkat saya sudah bergelar doktor, seorang lagi sedang belajar di universiti perubatan.

“Ketabahan anak selalunya menjadi inspirasi buat diri saya kerana sebahagian daripada mereka turut mengalami masalah kulit. melihat kesengsaraan mereka, saya jadi lebih peka. Ada masanya, ia juga memberi lebih idea untuk menulis.

“Selain muncul menerusi saluran media, saya juga dalam persiapan untuk menerbitkan buku cerita fiksyen kanak-kanak mengenai ekzema. Saya harap berkhidmat masyarakat sebegini, boleh membantu meringankan sedikit sebanyak beban dilalui ibu bapa yang mempunyai anak yang menghidap masalah kulit,” katanya.

Lumrah bergelar doktor, wanita ini tidak dapat lari daripada berasa kecewa setiap kali berdepan pelbagai cerita mitos dan kepercayaan karut yang dikaitkan dengan penyakit kulit.

Sekalipun sukar menepis pandangan yang sudah menjadi kepercayaan sesetengah pihak, itu bukan alasan untuk wanita ini mengalah daripada terus mendidik masyarakat.

“Saya selalu meletakkan diri sebagai cikgu. Kadang-kadang memang ada maklumat yang perlu diulang setiap kali menyebut isu berkaitan. Tapi semuanya perlu dibuat dengan sabar supaya lama-kelamaan fakta itu melekat di kepala.

“Sebagai doktor, saya bukan saja merawat pesakit, tetapi ada waktunya perlu menjadi kaunselor. Terdapat beberapa kes yang beban kulitnya teramat tinggi, menyebabkan mereka tidak kelihatan seperti manusia normal dan sukar tidur kerana terlalu gatal dan perit.

“Kesan daripada penderitaan dihadapi, ada yang terpaksa berhenti sekolah, terputus hubungan suami isteri, malu, hilang keyakinan, rendah diri, hilang mata pencarian dan paling teruk, ingin menamatkan riwayat hidup kerana terlalu tertekan. Dalam keadaan ini, doktor yang baik mesti mendengar, memahami, memberi empati, sabar dan beri mereka masa untuk meluahkan perasaan serta kebimbangan dirasai,” katanya.

Mendengar nama persatuan sokongan pesakit ini, penulis cuba mencari maklumat. Selain ekzema yang diketahui umum, tidak ramai yang pernah mendengar mengenai itchyosis (iktiosis) dan hidradenitis suppurativa (hidradenitis supurativa). Iktiosis adalah penyakit kulit yang dicirikan dengan permukaan kasar, tebal, kering dan bersisik. Hidradenitis supurativa pula adalah masalah kulit yang lebih serius, dicirikan dengan benjolan di bawah kulit yang menyakitkan. Tidak hairanlah jika penghidap penyakit kulit ini berasa rendah diri, sering bersedih dan murung.

“Setakat ini, semua program dan majlis yang saya hadiri meninggalkan kesan mendalam pada diri, terutama sekali Hari Keluarga Pertubuhan Kebajikan Pesakit Itchyosis. Saban tahun, mereka yang mengenali ahli persatuan ini akan jadi makin sayang kerana mereka adalah insan istimewa yang mudah menghargai apa saja di sekeliling mereka,” sambungnya lagi.

Nekad untuk terus melakukan yang terbaik, Dr Kartini tetap berharap lebih ramai pakar perubatan tampil untuk membimbing kumpulan sokongan secara sukarelawan kerana bilangan yang ada ketika ini sangat kecil.

“Pada zaman informasi ini, ramai ibu bapa mahukan maklumat yang betul, tepat dan bimbingan pakar. Jadi, jika ada pakar perubatan yang berminat menjadi penasihat kumpulan sokongan, mereka perlulah ikhlas. Semua bakti dan amal yang dicurah mestilah kerana kita sayang kepada kelompok berkenaan.

“Berilah yang terbaik untuk mereka, bukan untuk kepentingan sendiri, duit, populariti, pangkat atau pengiktirafan. Bagi saya, keseronokan dan kepuasan saat menggalas tanggungjawab sebagai pakar sukarelawan sukar digambarkan. Kebahagiaan dan ketenangan itu pasti datang apabila saya berkhidmat dengan ikhlas.

“Jadi, selagi hayat dikandung badan, selagi saya boleh menulis dan membaca, selagi itu saya akan terus belajar dan berkongsi maklumat. Saya merasa puas dan bangga apabila melihat anak yang saya rawat cemerlang dalam penjagaan kulitnya, persekolahannya atau pekerjaannya dan keupayaannya mereka untuk berdikari,” katanya.

Disiarkan pada: May 16, 2019 @ 5:30am
d