hati

Projek suka-suka menjadi

Oleh Siti Zarinah Sahib

USIANYA masih belasan tahun, tetapi dia sudah mampu menjana pendapatan sendiri menerusi penjualan biskut dan hamper raya. Setiap hari Nur Azura Aisyah Abdul Mu’izz, 13, yang mesra disapa Azura perlu menyiapkan 10 hingga 20 balang biskut yang ditempah pelanggan. Setakat ini hampir 250 balang sudah terjual dan baki 230 balang perlu disiapkan segera.

Menurut ibunya Nina Rahman, perniagaan biskut raya milik anaknya sudah bermula pada tahun lalu namun hanya untuk tempahan dalam kalangan keluarga.

“Pada mulanya dia menjual sekadar suka-suka sahaja daripada dua hingga tiga jenis, lama-kelamaan bertambah kepada 10 jenis. Antara yang menjadi kesukaan pelanggan termasuk almond London, tart dan biskut emping jagung,” katanya.

Sebagai ibu mulanya Nina bimbang memikirkan mungkin dia penat kerana terpaksa membahagikan masa di antara pelajaran dan juga perniagaan. Tambahan pula pada Ramadan yang memerlukan Azura sentiasa berada di dapur.

Namun gadis kecil yang juga penuntut Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Tasik Ampang ini langsung tidak merungut sebaliknya sangat teruja apabila mampu ‘memegang’ duit sendiri.

“Memang saya kurang yakin pada mulanya, maklumlah dia masih muda, baru 13 tahun. Kali pertama menghasilkan adunan banyak yang tidak jadi. Saya langsung tidak membantu sebaliknya melihat dari jauh. Dia tidak menyerah kalah terus membuatnya sehingga mendapat bentuk dan rasa yang diingini,” katanya.

Memulakan operasi selepas waktu sahur, Azura hanya berhenti untuk bersiap ke sekolah. Ada kala kawan-kawannya datang membantu. Itu pun selepas selesai sesi perbincangan untuk mata pelajaran di sekolah. Sebagai balasan Azura memberikan mereka upah sebalang biskut.

“Walaupun perniagaan adalah hasil usaha Azura sepenuhnya, saya turut membantu menyediakan resipi serta bahan diperlukan. Selebihnya dilakukan Azura sendiri bermula dengan menyukat, menghasilkan adunan sehingga membakar. Dia juga tidak membenarkan saya membantunya begitu juga pembantu rumah,” katanya.

Selepas melihat kesungguhan anaknya, Nina terus membuat promosi kepada jiran dengan meletakkan sampel di beberapa kawasan termasuk Hospital Ampang.

Tidak sangka pada harga RM10 sebalang dengan isinya mengandungi 25 biji, ia disifatkan sebagai murah untuk biskut premium dihasilkan Azura. Ramai mula mendapatkannya kerana keenakan rasanya. Tambah Nina lagi, walaupun harga dijual tidak setanding dengan rasa serta kos bahan yang tinggi, dia mempunyai sebab menjual pada harga sedemikian.

“Saya membelikan bahan berkualiti seperti mentega dan coklat agar biskut dihasilkan anak saya enak setanding dengan biskut lain di pasaran. Tidak sangka sejak hari pertama ramai memberikan maklum balas positif dan mula membuat tempahan. Ada yang me­ngambil sehingga 90 balang sebagai permulaan berniaga.

“Secara tidak langsung Azura membantu golongan ini menjana pendapatan sampingan. Terpulang pada harga yang mereka pasarkan. Dari sisi lain, kami membantu golongan kurang berkemampuan menyediakan keperluan raya. Tidak semua keluarga berupaya membeli biskut raya disebabkan mahal. Jadi dengan harga RM10 ia memang mampu milik,” katanya.

Nina yang juga seorang peniaga menjelaskan, sememangnya dia ingin mendidik anaknya mengenai perkara membabitkan perniagaan. Namun tidaklah dalam usia sebegini muda. Tetapi melihat kesungguhan Azura yang komited membuat biskut dan menjualnya, Nina percaya ia sebenarnya bermula dari hati.

“Saya percaya bakat semula jadi yang Allah berikan kepada Azura. Jarang seorang yang masih berperangai seperti kanak-kanak mampu berfikiran jauh untuk mencari wang sendiri. Dia mengatur perjalanan bisnes seperti seorang profesional.

“Selain memastikan tugas di dapur berjalan lancar, dia juga menjaga bahagian kewangan dan akaun. Malah hasil jualan 100 peratus kepunyaannya sendiri.

“Setakat ini dia bijak membahagikan pendapatan kepada modal dan simpanan serta menggunakan hasil jualan biskut untuk membeli barangan keperluan sendiri,” nyatanya.

BELI BARANG KEPERLUAN SENDIRI

Ketika ditanya kepada Azura mengapa dia sanggup bersusah payah menghasil­kan biskut raya sedangkan ibunya mampu membelikan keperluannya, sambil tersenyum dia memberitahu semuanya kerana minat.

“Memang saya minat berniaga sejak kecil jadi saya jadikan Ramadan sebagai permulaannya. Memang bukan senang nak senang. Itu yang saya belajar. Terpaksa berjaga selepas Subuh, bersengkang mata hasilkan adunan dan berpanas di hadapan ketuhar menunggu biskut masak. Pernah sekali biskut hangus tetapi saya tidak berputus asa dan cuba cari solusinya. Rupanya api terlalu kuat, jadi saya perlahankan sedikit sehingga mendapat hasilnya,” katanya tersenyum manis.

Disebabkan sokongan ibu memberikan pelbagai resipi membuatkan dia bersemangat mengambil tempahan biskut raya dan dia cuma membuat adunan dan membakar­nya sahaja.

“Apabila ibu menyenaraikan biskut yang sedap dan memberikan resipinya, tanpa berlengah saya terus mencuba. Setiap bahan diperoleh terus daripada pemborong jadi harganya tidak terlalu mahal,” katanya.

Tambah Azura lagi, pada harga RM10 semua orang mampu memiliki­nya. Ada juga mengambil secara borong bagi menjana pendapatan sendiri.

“Memang inilah tujuan saya. Bermula kerana minat dan keuntungan tetapi saya turut membantu mereka menjana keuntungan bersama,” katanya yang kini berjinak-jinak dalam pembuatan hamper.

Menurut Azura, antara pelanggan tetap adalah guru di sekolahnya. Ia bermula selepas mereka yakin dengan kemampuan Azura jadi ramai bertanya sama ada dia boleh menyiapkan tempahan hamper seperti yang diinginkan.

“Tempahan pertama datangnya daripada cikgu sekolah. Takut juga ketika kali pertama menyiapkan hiasan hamper, risau jika ada yang tidak kena. Alhamdulillah ramai cikgu memuji sejak itu saya membuka tempahan kepada semua,” katanya.

Terharu dengan soko­ngan ibu yang tidak berbelah bahagi, Azura berkata, dia bersyukur kerana ibu banyak mendidik dirinya menjadi pelajar yang bijak membahagikan masa dan usahawan cilik berjaya.

“Ibu banyak mengajar saya cara mula berniaga dan menguruskan kewa­ngan. Malah dia memberi kepercayaan 100 peratus kepada saya menyimpan duit hasil jualan. Nenek, Norlina Alwi pula selalu berpesan supaya sentiasa bersyukur dengan nikmat yang diberi walaupun sebesar biji sawi. Bijak menjaga diri dan menyantuni sesiapa sahaja tanpa mengira usia. Semua ini cukup memberikan saya semangat untuk melakukan yang terbaik dalam kehidupan,” jelasnya yang memasang impian ingin menjadi usahawan berjaya suatu hari nanti.

Disiarkan pada: May 21, 2019 @ 4:30am
d