hati

Hamper buah tangan beraya

Oleh Siti Zarinah Sahib

BERKUNJUNG ke rumah saudara-mara atau rakan pada Syawal ini tidak manis rasanya datang dengan tangan kosong. Selain biskut raya, kebiasaannya hidangan berat seperti laksa, mi atau kek dijadikan hadiah untuk insan tersayang sebagai tanda ingatan.

Walaupun kesemua barangan ini mudah diperoleh, alangkah indahnya seandainya dapat dijadikan hamper agar ia nampak berbeza berbanding pemberian biasa.

Menurut pemilik @melia.for.you Marini Mat Zain bagi menjimatkan kos, hamper boleh dibuat sendiri mengikut kreativiti si perekanya. Apa yang penting adalah bahan digunakan misalnya bakul, reben, kain batik dan bunga bagi mencantikkannya.

“Tidak perlu berbelanja mewah cukup menggunakan bahan yang ada di rumah. Misalnya boleh menggunakan bakul anyaman yang diperoleh ketika membeli barang, kain batik sebagai penambah seri, sebotol biskut, kacang atau kurma,” katanya.

Tambah Marini lagi, dalam penghasilan hamper tiada betul atau salahnya kerana ia terpulang kepada konsep yang diinginkan. Jika inginkan konsep tradisional anda boleh menggunakan bekas seperti bakul rotan atau mengkuang, jika moden boleh memilih bakul plastik atau kayu.

“Saya lebih suka menggunakan tema klasik kontemporari kerana boleh ‘bermain’ dengan peralatan serta menggabungkan kedua-dua konsep ini. Ia juga tidak terlalu terikat dengan gaya tertentu,” katanya.

Selain itu bahan di dalam hamper seperti aneka biskut raya, buah-buahan atau kekacang boleh diletakkan bersama. Anda juga boleh tampil dengan hamper sihat dengan memasukkan buah-buahan sepenuhnya di dalamnya.

“Dalam tradisi Melayu walaupun pemberian hamper ini kurang mendapat perhatian, makanan seperti biskut raya yang dibungkus di dalam bekas bertutup boleh disamakan seperti hamper cuma ia tidak berhias,” katanya.

Diibaratkan sebagai hadiah pengikat kasih sayang, jika kanak-kanak disuakan dengan duit raya bagi memberikan kegembiraan kepada mereka, apa kata mulai hari ini hamper dijadikan hadiah buat insan tersayang terutama orang tua yang sentiasa menantikan kedatangan anak dan cucu serta kaum keluarga lain.

Disiarkan pada: May 25, 2019 @ 4:30am
d