hati

Nenek bawa kereta lumba

Oleh Siti Zarinah Sahib

SEPASANG but, jaket hitam dipadankan kemeja putih bersama tali leher rona merah jambu, gaya wanita ini sentiasa mencuri tumpuan. Lagaknya seperti wanita muda, apatah lagi dengan gelaran sebagai pemandu kereta lumba menyebabkan ramai meneka umurnya tidak lebih 40 tahun.

Tetapi selepas dibongkar rahsia umurnya, pasti ramai tidak menyangka bahawa dia sebenarnya sudah menjangkau usia 55 tahun dan mempunyai tiga menantu serta lima orang cucu.

Ditanya rahsianya tampil kekal muda, sambil tersenyum Zaidah Mohd Ishak yang juga anak bongsu daripada 10 beradik ini menjelaskan, amalan pemakanan sentiasa dijaga dan mengambil jamu sejak berusia belasan tahun. Dia juga rajin berjoging, menunggang basikal dan berenang bagi mengekalkan stamina serta tubuh kekal cergas.

“Selalunya setiap pagi sebelum sarapan, saya wajib minum air kosong terlebih dahulu. Kemudian akan makan sedikit bijirin dan sebiji epal hijau. Tengah hari pula, saya akan lebihkan makanan berprotein seperti telur, ikan, sayur-sayuran dan buah-buahan serta mengurangkan makanan tinggi karbohidrat,” katanya ketika ditemui di Studio Balai Berita NSTP, baru-baru ini.

Zaidah yang memiliki lima orang anak turut memberitahu, tabiat jarang makan waktu malam atau sekadar makan telur rebus untuk mengalas perut menjadikan tubuhnya kekal sihat. Malah pada usia sebegini, selain aktif menyertai pelbagai pertandingan di litar, dia juga sibuk menjalankan tugasan sebagai kontraktor bersama suami.

Menceritakan detik menyertai sukan permotoran ini, ujar Zaidah, dia mula berjinak-jinak dengan kereta lumba pada Disember 2016 kerana mengikut suami Yohan Biantoro, 42, dan anak lelaki ke litar lumba. Lama-kelamaan timbul keseronokan apabila melihat suami begitu ‘enjoy’ memandu kereta.

“Saya nyatakan hasrat ingin mencuba menguji kemampuan diri. Tambahan pula memang sifat saya gemarkan aktiviti lasak. Suami terus menyatakan persetujuan dan membenarkan saya mengikutnya berlumba. Malah sebagai tanda sokongan, dia membelikan saya kereta khas dinamakan The Red Campret,” jelasnya.

Menurut Zaidah, penyertaan dalam sukar permotoran bukanlah sesuatu yang mudah, apatah lagi dia perlu berada bersama pelumba yang sudah mahir dan aktif mengikuti pelbagai pertandingan. Untuk menjadi pelumba, Zaidah perlu mengikuti kursus pemanduan secara profesional.

“Latihan pertama adalah memandu go kart bagi mempelajari teknik memandu dengan betul. Selepas itu saya belajar menggunakan simulator sebelum berpindah kepada litar sebenar. Ia mengambil masa di antara tiga hingga enam bulan sebelum saya dibenarkan memandu kenderaan sendiri.

“Selain kemahiran mengawal stereng dan tumpuan, kereta harus berada dalam keadaan baik terutama bahagian enjin. Saya juga perlu mengenakan pakaian sesuai lengkap dengan sut memandu, topi, sarung tangan dan kasut,” katanya.

Selepas mendapat beberapa pendedahan dan bantuan suami, Zaidah memberanikan diri menyertai pertandingan pertama di Kejohanan Forca Generation X 2017 yang berlangsung di Elite Speedway, Subang Jaya, Selangor. Satu-satunya peserta tunggal wanita bersama 26 peserta yang lain, kehebatan Zaidah tidak dapat dipertikaikan lagi apabila dia mendapat tempat ketiga dengan catatan masa 52.11 minit.

Sejak itu wanita lasak ini tidak pernah ketinggalan menyertai pelbagai pertandingan bagi menguji diri. Antara rekod terbaik yang pernah dicapai dalam bidang perlumbaan apabila memenangi tempat pertama dalam kejohanan perlumbaan terbuka kategori ‘Auto Tranny 2.0’ Fullthrottle Epic Battle di Kampung Gajah Speedways, Litar Lumba Dato Sagor, Perak.

“Saya tidak sangka mampu menewaskan lelaki yang jauh lebih muda dalam beberapa siri pertandingan terbuka. Apa yang saya praktikkan adalah sentiasa positif dan memberikan tumpuan ketika memandu. Saya tidak fikir apa-apa hanya ingin menamatkan perlumbaan sahaja,” katanya.

DIGELAR NENEK PELUMBA

Digelar nenek ‘vouge’ atau nenek pelumba, dia hanya tersenyum. Bagi Zaidah usia hanyalah angka. Dia sendiri tidak pernah terasa dengan pelbagai gelaran diberikan kepadanya.

“Ada juga bertanya mengapa pada usia sebegini masih mahu bersaing dengan golongan muda, alangkah baiknya sekiranya mengikuti kelas agama atau mendekatkan diri kepada Allah.

“Siapa kata saya tidak mengikuti kelas agama? Memang ia aktiviti saya setiap hari. Berlumba sekadar hobi. Saya mahu membuktikan kepada wanita lain yang mereka juga boleh,” katanya.

Tambahnya lagi, dia sering menerima aduan terutama wanita yang sudah menjangkau usia 40 tahun yang mereka tertekan dan rasa kurang yakin disebabkan pertambahan usia, kulit semakin kusam dan penampilan kurang menyerlah.

“Saya mahu menyatakan kepada mereka, usia hanya angka. Sebaliknya jangan cepat menyerah kalah. Usia 40, 50 atau 60 tahun sekalipun seharusnya golongan ini bergembira dan yakin dengan diri sendiri. Memang benar lebih baik mendekatkan diri kepada Allah tetapi alangkah baiknya sekiranya ia dilakukan secara seimbang,” katanya yang menetap di Klang, Selangor.

Dia yang memiliki lima kereta lumba termasuk Mitsubishi Evo 6 dan 7, Satria GTI, Waja dan Satria Neo turut menggunakan kenderaan ini sebagai kegunaan hariannya.

Dalam nada gembira Zaidah mengakui dia bersyukur kerana dikurniakan suami yang sangat memahami dan memberikan sokongan dalam juga aktiviti disertainya. Walaupun penyertaannya masih terlalu baru, dia berharap mampu menjadi pemandu profesional suatu hari nanti, sekali gus mengangkat martabat wanita dalam bidang permotoran.

“Pada usia 50 saya perlu menjalani ujian kesihatan dan tekanan bagi membuktikan saya tiada sebarang masalah kesihatan. Sebab itu saya perlu kekal cergas dengan menjaga pemakanan serta bersenam,” jelasnya.

Pada masa sama Zaidah yang pernah menyertai pertandingan ratu cantik turut terpilih sebagai 100 bintang paling berpengaruh dalam anugerah 100 Star Influencer, baru-baru ini.

“Saya tidak sangka pada usia 55 tahun masih diberi peluang bersaing bersama bintang muda. Ini rezeki yang tidak disangka-sangka. Saya tidak pernah malu menyertai pelbagai pertandingan kerana selain memberi semangat kepada diri sendiri, ia turut membuktikan wanita mampu melakukan apa juga yang mereka inginkan asalkan mempunyai kesungguhan,” katanya.

KONTRAKTOR BERJAYA

Selain berlumba, Zaidah yang juga Pengarah Urusan ZMI Maintenance Service turut berpengalaman selama 20 tahun dalam bidang pembinaan. Namun begitu, sebelum berjaya menempatkan syarikatnya dalam senarai kontraktor berjaya banyak cabaran terpaksa ditempuhinya.

“Saya bermula sebagai kerani di sebuah bank, kemudian bertukar kerjaya dalam sektor perkilangan. Selepas mendirikan rumah tangga, saya dan suami mula menjalankan kerja mencuci papan tanda di sebuah bank terkenal di seluruh Malaysia. Bermula dari situ kami mengumpul modal sedikit demi sedikit sehingga mampu membuka syarikat pembinaan sendiri,” ujarnya yang pernah makan di kaki lima jalan selepas mencuci papan tanda.

Pengalaman jatuh bangun dalam perniagaan banyak mematangkan Zaidah untuk menjadi kontraktor berjaya. Malah dia percaya kejujuran dan keikhlasan berhubung dengan pelanggan menyebabkan syarikatnya sentiasa menjadi pilihan utama.

Disiarkan pada: May 27, 2019 @ 5:00am
d