hati

Pakej rawatan wajah di rumah

Oleh Intan Mas Ayu Shahimi

TEKANAN di tempat kerja, kesibukan menguruskan keperluan suami dan anak di rumah membuatkan wanita mudah mengalami keletihan melampau. Akibatnya tubuh menjadi lesu, tidak bertenaga dan mudah mengantuk. Wajah pula kusam tidak bermaya.

Kesannya, tidak kira apapun juga alat solek yang disapu ke wajah, hasilnya tidak seperti diimpikan. Walaupun mungkin pernah menggunakan produk yang sama namun mekap dikenakan kurang serasi dan tidak menjadi.

Dalam keadaan ini, ramai yang memberi fokus kepada urutan badan untuk melancarkan kembali peredaran darah. Ada juga yang memberi perhatian kepada pengambilan diet seimbang dan vitamin. Semua ini untuk mengembalikan stamina serta kecergasan tubuh ke tahap optimum.

Selesai merawat tubuh, mereka kembali sibuk menjalani rutin harian, mengejar waktu dan menyudahkan tugas yang tertangguh. Kitaran sama lazimnya berulang tanpa sedar.

Akhirnya, wajah tidak terurus dan terabai tanpa rawatan sewajarnya. Alasan paling kerap didengar adalah kekangan masa ke pusat rawatan kecantikan, keengganan menempuh kesesakan lalu lintas, kesukaran mencari tempat parkir selain tiada keperluan untuk melalui perawatan wajah.

Menurut Pemilik Skin Valet Ampang, Narqes Mohd Raimi, masih ada cara untuk wanita mendapatkan rawatan wajah bersesuaian tanpa perlu bersusah payah keluar ke spa.

“Salah satunya adalah khidmat Narqes Mobile Medispa yang kami tawarkan, khusus buat mereka yang mahu mendapatkan khidmat perawatan wajah daripada juruterapi bertauliah di rumah.

“Menariknya, rawatan ini menggunakan teknologi estetika Korea terbaharu yang digabungkan dengan set perawatan berkualiti. Jadi, apabila pengguna mengatur temujanji dengan juruterapi, mereka umpama selangkah ke pusat rawatan spa kami,” katanya.

Jelas Narqes, rawatan spa di rumah itu lebih bersifat untuk membantu wanita mengekalkan kecantikan wajah dan memberi ruang paling selesa buat mereka memanjakan diri.

“Ramai wanita tertekan dengan rutin harian yang sibuk, sedangkan dalam masa sama, mereka juga mahu merasai pengalaman dibelai dengan pelbagai rawatan di spa.

“Jadi, pakej rawatan ini adalah pilihan sesuai. Mereka akan menikmati urutan wajah, sedutan kotoran tersumbat di dalam liang pori muka, pemakaian skrub, sapuan serum vitamin C, masker hidrogel dan rawatan asas wajah lain.

“Semua rawatan ini berupaya membantu merawat wajah kusam, berjerawat, menanggalkan sel kulit mati, mengecilkan liang pori wajah dan mengurangkan tanda-tanda penuaan. Jadi, wajah akan lebih bersih dan tampak segar,” katanya.

Tambah Narqes, rawatan dengan mesin berteknologi itu lebih dipercayai kerana setaraf dengan kelengkapan asas di spa. Paling penting, setiap pakej rawatan menggunakan set produk dengan sukatan khas untuk individu.

“Ini bermakna, ia lebih bersih dan dijamin menggunakan sukatan yang betul. Berbanding pakej yang ditawarkan secara meluas kini, mereka lazimnya menggunakan produk dari botol atau bekas yang sama untuk ramai pelanggan serta berisiko tercemar.

“Satu lagi yang menarik, kami juga sedia merujukkan pelanggan ke spa jika terdapat sebarang kesan sampingan daripada penggunaan produk. Di spa, mereka boleh mendapat pelbagai jenis rawatan intensif untuk kulit,” katanya.

Disiarkan pada: June 1, 2019 @ 4:30am
d