hati

Detik terbaik tingkat kemahiran

Oleh Siti Nadirah Hafidzin

MEMASUKI hari terakhir seluruh umat Islam berpuasa tentu saja rata-ratanya sudah tiba di kampung halaman atau dalam perjalanan menuju pulang ke desa tercinta.

Selain dewasa, kanak-kanak adalah golongan paling teruja menanti ketibaan Syawal, menyarung busana raya baru sedondon bersama keluarga, mengutip duit raya, bermain bunga api, menikmati pelbagai juadah lazat selain bertemu sanak saudara antara detik manis paling dinanti.

Namun dalam keterujaan itu, ramai ibu bapa tidak sedar musim perayaan sebenarnya adalah detik terbaik meningkatkan kemahiran si kecil tersayang. Mana tidaknya pelbagai perkara baharu dapat dipelajari tanpa sedar sepanjang musim raya ini.

Kaunselor keluarga dan kanak-kanak, Asiah Ishak berkata, selain memupuk semangat si kecil untuk menyambut Aidilfitri, ibu bapa perlu bijak memainkan peranan masing-masing dalam memastikan anak tersayang dapat memanfaatkan detik berhari raya sebaik mungkin.

Menurutnya, peranan itu lebih kepada galakkan dan bantuan yang mana ibu bapa itu sendiri perlu bertindak sebijak mungkin bukan sekadar memerhati tanpa usaha.

“Suasana raya itu sendiri adalah saat yang sangat praktikal untuk melatih pelbagai kemahiran baharu atau sedia ada kanak-kanak. Mungkin ramai yang beranggapan raya adalah detik untuk bergembira bersama keluarga semata-mata namun dalam pada itu terdapat banyak manfaat yang boleh diterima di sebalik kegembiraan berhari raya.

“Saya sangat menggalakkan ibu bapa supaya lebih peka dengan setiap tingkah laku anak, bimbing mereka walaupun ketika berada di kampung serta jangan sesekali biarkan anak bergembira tanpa batasan serta kawalan,” katanya.

Katanya, bukan tidak boleh berseronok, tentu saja boleh namun perlu berpada dan tidak sesekali membiarkan masa terindah berhari raya itu kosong tanpa input berfaedah terutama kepada diri kanak-kanak itu sendiri.

“Banyak kemahiran baru yang boleh dipraktikkan bersama anak anda ketika berhari raya tidak kiralah sama ada di kampung atau di kota, ibu bapa perlu peka dalam merangsang kemahiran itu.

“Namun, jangan pula bersikap keterlaluan hinggakan membantutkan keseronokan anak berhari raya,” ujarnya.

Asiah berkongsi antara kemahiran yang boleh dipraktikkan bersama anak di musim perayaan:

1. KEMAHIRAN MEMINTA

Walaupun dilihat mudah, musim perayaan adalah saat terbaik untuk mendidik anak meminta dengan berhemah. Contoh paling jelas seperti meminta ambilkan kuih atau air, meminta sedikit bunga api daripada sepupu.

2. KEMAHIRAN MENUNGGU

Ia lebih kepada usaha untuk mendidik kesabaran anak-anak, ajar anak untuk berbaris dengan semua sepupu ketika menunggu giliran menerima duit raya atau mengambil makanan terhidang di atas meja.

3. KEMAHIRAN BERMAIN BERSAMA-SAMA

Untuk anak yang masih kecil dan belum boleh bermain bersama-sama, ibu bapa boleh letakkan anak anda berhampiran dengan kanak-kanak yang sedang bermain bagi memberi pendedahan keseronokan bermain namun elakkan memaksa sekiranya mereka masih belum bersedia atau terlalu kecil.

Kepada anak-anak yang sudah boleh bermain bersama, ajar dan bimbing mereka untuk berkongsi dan bermain tanpa bergaduh.

4. KEMAHIRAN SOSIAL

Hari raya adalah saat di mana kita bertemu sanak saudara, gunakan detik ini untuk mendidik anak menegur dan bercakap dengan ramai orang. Didik juga untuk ucap terima kasih apabila menerima duit raya atau sebarang pemberian.

5. KEMAHIRAN BAHASA

Didik anak untuk memperkenalkan namanya kepada orang lain, menjawab apabila ditanya. Boleh juga menyanyi bersama-sama anak lagu hari raya dalam perjalanan pulang ke kampung. Galakkan anak anda untuk banyak bercakap dengan saudara mara mengenai apa saja topik yang mereka mahukan.

6. KEMAHIRAN BERCERITA

Ibu bapa boleh mengambil seberapa banyak gambar suasana hari raya untuk dijadikan kenangan selepas itu. Gambar itu boleh digunakan untuk dijadikan topik perbualan apabila berakhirnya musim perayaan.

Disiarkan pada: June 4, 2019 @ 5:00am
d