hati

Budaya 'duit raya'

Oleh Yusliza Yakimir Abd Talib

MENJELANG Aidilfitri saban tahun, masyarakat Islam terutama ibu bapa akan membuat pelbagai persiapan menyambut perayaan ini bermula daripada juadah raya, baju baru untuk anak-anak, perhiasan rumah sehinggalah kepada duit raya.

Seakan menjadi kemestian ketika musim ini, ibu bapa atau mereka yang sudah bekerja akan memasukkan bajet untuk pemberian duit raya kepada sanak-saudara atau anak tetamu yang berkunjung ke rumah, antara salah satu perbelanjaan Aidilfitri.

Ramai menganggap pemberian duit raya sebagai satu ‘kewajipan’ selepas tradisi itu semakin subur dibudayakan dalam masyarakat setiap kali menjelang hari raya.

Tidak dinafikan, budaya yang sudah diterap sejak sekian lama menjadi satu perkara paling utama yang perlu difikirkan hingga bagi sesetengah orang, ia sudah menjadi bebanan untuk mereka.

Bagi yang berkemampuan, mungkin tiada masalah mengeluarkan bajet untuknya, tapi bagaimana pula dengan golongan kurang berada.

Mereka seolah-olah terpaksa memperuntukkan wang yang sepatutnya boleh digunakan bagi perkara lain yang lebih penting semata-mata mahu memberi duit raya kerana malu dikata orang.

Bagi guru, Norhasyikin Abdul Wahab, 40, dalam keadaan ekonomi yang kurang kukuh dan mencabar, beliau berpendapat budaya ini lebih elok dihentikan secara perlahan-lahan namun diganti dengan barangan makanan dan cenderahati seperti majlis perkahwinan.

Katanya, trend terbaru pemberian gula-gula dan beg cenderahati untuk kanak-kanak yang datang beraya sebagai salah satu pilihan yang baik menggantikan duit raya.

“Sebagai orang Malaysia, budaya duit raya ini sebenarnya diadaptasi daripada masyarakat Cina, tetapi ia bukanlah satu kewajipan sebaliknya lebih kepada kemampuan individu untuk memberikan duit raya.

“Selain itu, kanak-kanak akan rasa inilah masanya mereka mengumpul wang sebanyak mungkin. Ada masa mereka cuma mahukan duit saja semasa berkunjung ke rumah orang,” katanya.

Bagaimanapun, Norhasyikin tidak menolak pemberian duit raya juga ada kebaikan antaranya dalam memupuk budaya sedekah dan sebagai satu cara berkongsi rezeki dalam kalangan keluarga.

Katanya, ia juga salah satu cara mengeratkan hubungan dan juga memeriahkan sambutan hari raya malah boleh dikatakan menjadi adat untuk menaikkan semangat beraya.

Tambahnya, bagi yang berkemampuan, budaya yang kian berakar ini tidak salah kerana ia bukanlah suatu paksaan kerana ada yang memang berniat mahu bersedekah.

Bagaimanapun katanya, ibu bapa perlulah memainkan peranan supaya anak-anak tidak mengharapkan duit raya apabila berkunjung ke rumah saudara atau jiran.

Katanya, ibu bapa perlu terapkan rasa keinsafan dalam diri anak bahawa hari raya bukan hari mengumpul duit, tapi waktu untuk berkumpul dan bermaafan serta meraikan kemenangan atau kejayaan berpuasa.

Bagi Nor Faizura Izma Omar, 39, budaya memberi duit raya bukanlah satu keperluan, tapi digalakkan jika si pemberi berkemampuan memberi dalam jumlah yang sama sekali tidak membebankan mereka.

Katanya, meraikan dan menggembirakan anak-anak sangat digalakkan dalam agama Islam, mudah-mudahan apabila mereka bergembira dan mendoakan kita dimakbulkan atas asbab mereka masih suci.

“Jangan rasa terbeban dengan budaya memberi duit raya ini kerana ia bukan kewajipan. Ibu bapa pula perlu menghentikan niat yang hari raya ini adalah masa untuk mengumpul duit raya,” katanya.

Bagi perunding hartanah, Latifah Rafie, 49, tiada masalah untuk memberi duit raya dengan niat bersedekah, namun yang tidak bagus apabila ia dianggap sebagai perkara wajib dan paling utama setiap kali menjelang Aidilfitri.

Katanya, konsep duit raya sebenarnya adalah ihsan pemberi, sama ada hendak beri banyak atau sikit, terpulang kepada si pemberi.

“Hakikatnya, zaman ini banyak wang diperlukan untuk menampung kos sara hidup dan jika tidak dapat memberi, jangan pula rasa malu atau rendah diri.

“Ibu bapa pula perlulah mendidik anak dengan adab, antaranya tidak membuka sampul duit raya di hadapan pemberi atau merungut dengan pemberian itu. Inilah yang seharusnya ditekankan,” katanya.

Sharifah Ivy Nor Adila Syed Azmi, 41, pula berpendapat hari raya tidak meriah jika budaya memberi duit raya ini dihentikan kerana adat itu sudah diamalkannya sejak kecil.

Baginya, itu juga sebagai galakan untuk kanak-kanak mengikut ibu bapa beraya ke rumah sanak-saudara dan mengeratkan silaturahim antara mereka.

“Walaupun ada sesetengah pihak menganggap cara ini salah kerana menggalakkan kanak-kanak mengejar wang ringgit, namun saya melihat kepada aspek positif. Ia Setidak-tidaknya anak-anak kenal saudara-mara mereka.

“Selain itu, pemberian berbentuk wang semasa sambutan hari raya kepada kanak-kanak boleh menggalakkan mereka menabung. Anak-anak saya sendiri sibuk bertanyakan sama ada duit raya yang dikumpul sudah saya masukkan ke akaun bank mereka,” katanya.

Disiarkan pada: June 5, 2019 @ 4:30am
d