hati

Bergaya ke rumah terbuka

Oleh Intan Mas Ayu Shahimi

KEMERIAHAN menyambut Syawal masih belum surut. Lazimnya, pada hari raya ketiga, kaum wanita masih sibuk didapur, melayan tetamu, sanak-saudara dan teman yang bertandang.

Hidangan utama mungkin sudah bertukar. Kalau pagi raya mewah dengan rendang, ketupat dan lemang, raya ketiga me­nyajikan laksa, nasi Arab, roti jala dan sebagainya.

Kebetulan Aidilfitri jatuh pada Rabu, maka sibuklah trafik di jalan kampung, pekan, bandar dan lebuh raya utama sehingga Ahad ini. Puas beraya bersama keluarga, minggu depan sudah bersusun undangan ke majlis dan rumah terbuka.

Bagi yang berkemampuan, persalinan raya juga perlu dicari baru supaya sepadan dengan tema. Paling tidak, nampak lebih glamor dan anggun, sesuai dengan jemputan rasmi di hotel mahupun dewan.

Tidak terhad kepada pilihan busana untuk digayakan pada pagi raya, jenama fesyen Muslimah Sofia Ellen membawakan himpunan rekaan indah, terdiri daripada kurung moden ringkas dan kebaya pendek.

Mengekalkan elemen ringkas, bersahaja tetapi terserlah mewah dari sudut pilihan fabrik dan potongan tubuh, busana jenama ini tidak keterlaluan untuk digayakan di mana-mana majlis.

Bagi koleksi Kebaya Marissa umpamanya, busana potongan pendek ini tampak cukup manis dan klasik di mata yang memandang. Bersaiz seakan kurung Kedah, baju kebaya ini dihasilkan menggunakan fabrik sutera kapas viscose.

Manakala padanan kainnya dipilih daripada sutera kapas dobby berkualiti. Kedua-dua jenis fabrik ini dikatakan cukup selesa, lembut dan sejuk, sesuai dengan keadaan cuaca tidak menentu sekarang.

Andai jemu mengenakan kain, pemakai boleh mengubah gaya dengan menyuai padan kebaya bersama palazo atau skirt kembang. Untuk penampilan lebih santai dan kasual, usah takut memilih celana denim sebagai padanan.

Menurut pemilik butik, Sofia Ellen Abdullah, rekaan kebaya itu sengaja diubah suai supaya menjadi sedikit longgar dan boleh dipakai semua wanita tidak kira berbadan kecil mahupun besar.

“Kami juga menggunakan butang balut supaya busana ini tidak lapuk ditelan perubahan zaman dan trend fesyen di masa akan datang. Selain itu, kami mahu ia sentiasa nampak mewah,” kata­nya.

Bagi wanita yang setia dengan rekaan kurung klasik dan potongan moden, jenama ini turut menghimpunkan jenis kurung menarik termasuk kurung Kedah.

“Antara kurung moden dan kurung Kedah, kedua-duanya memiliki perincian yang sama. Bezanya, baju kurung Kedah boleh disuaipadan untuk gaya kasual.

“Kita gunakan fabrik kapas bercorak dan ia sesuai dipakai sepanjang Syawal, mengunjungi saudara dan kenalan mahupun memenuhi undangan rumah terbuka.

“Selepas tamat musim raya, busana ini masih sesuai dikenakan ke pejabat, kenduri atau majlis minum petang kerana rekaannya yang ringkas dan tidak sarat dengan perincian,” katanya.

Disiarkan pada: June 7, 2019 @ 4:30am
d