hati

Wanita cantik, berani

Oleh Yusliza Yakimir Abd Talib

KECANTIKAN seseorang wanita bukan hanya diukur pada rupa paras dan faktor luaran tetapi merangkumi kebijaksanaan dan cara mereka membawa diri menjadi figura dikagumi.

Tidak ramai usahawan seperti wanita ini yang mahu membawa mesej kecantikan seiring tanggungjawab mendidik wanita tampil berani menjadi diri sendiri dan mencungkil bakat tersendiri.

Status diri sebagai ibu tunggal ketika baru menginjak usia awal 30-an hampir 10 tahun lalu menjadikan wanita ini kental mengharungi onak duri membesarkan anak gadisnya bersendirian.

Menurut Intan Ilyani Ghazali, 40, bukan mudah bergelar ibu tunggal pada usia muda kerana selain perlu menjalani kehidupan penuh ranjau seorang diri, insan sepertinya juga sering berdepan stigma masyarakat yang memandang serong terhadap golongan ini.

Tapi itu tidak bermakna dirinya dan wanita senasib perlu akur pada takdir yang tersurat, sebaliknya perlu bangkit membuktikan kebolehan diri dan terus kuat mengubah nasib tanpa insan bergelar suami.

Semangat dan tekad wanita ini sewajarnya menjadi inspirasi buat ibu tunggal yang masih meragui kebolehan dan potensi diri untuk bangkit menjadi wanita ‘besi’ yang mampu menyumbang kepada ekonomi.

Intan yang juga pengasas rangkaian penjagaan kulit Face & Co mempunyai misi tersendiri apabila membuat keputusan memperkenalkan jenama itu di pasaran.

Mengetengahkan kempen Be Bold (berani), Intan bukan sekadar menjual dan melariskan produknya semata-mata, sebaliknya dia mahu memupuk wanita terus yakin dengan kebolehan diri dan berani membuat perubahan untuk diri sendiri.

Katanya, kempen itu seiring tema dan inspirasi jenama yang diasaskannya kerana dia menyedari ramai wanita yang berdepan cabaran kehidupan hingga mengabaikan diri sendiri dari aspek kecantikan dan penampilan.

“Saya tidak mahu hanya memasarkan produk tanpa pengisian positif. Bagi saya ini adalah satu usaha untuk kami melangkah lebih jauh dalam mencipta nilai komersial yang terdapat pada sesuatu jenama kecantikan atau produk itu terhadap tanggungjawab sosial.

“Saya sendiri berpengalaman sebagai ibu tunggal dan dari situ tahu pentingnya kekuatan dari dalam untuk terus mengorak langkah berdepan masyarakat dan tampil berkeyakinan.

“Sebab itu saya menekankan fokus kempen yang berteraskan kepada beberapa visi penting untuk diterapkan di dalam diri setiap wanita.

“Antaranya dengan menggalakkan gaya hidup dan pemikiran positif, mengamalkan pendidikan sepanjang hayat mengenai penjenamaan peribadi yang mampu meningkatkan gaya hidup seseorang secara peribadi mahupun profesional serta membantu mereka yang lemah,” katanya.

Pertemuan empat mata dengan wanita ini, baru-baru ini seolah-olah dibuai aura positif. Setiap butir bicaranya penuh kata-kata semangat malah Intan tidak lokek berkongsi tip dan panduan untuk tampil berkeyakinan setiap hari.

Bersesuaian dengan portfolionya sebagai perunding imej bertauliah, Intan sentiasa fokus dan tahu matlamat yang ingin dicapai meskipun dia sedar ia bukan tugas mudah.

Jatuh bangun dalam perniagaan pasti menjadi asam garam buat seseorang usahawan. Bagaimanapun, buat wanita berjiwa kental ini, keringat dan air mata yang tertumpah demi mengejar cita-cita sebagai usahawan berjaya nyata berbaloi dengan apa yang dikecapinya kini.

Menurutnya, komitmen jenama itu ialah untuk mempromosikan gaya hidup sihat melalui dorongan yang dilakukan menerusi kempen berkenaan.

“Melalui kempen ini, saya mengajak wanita untuk mendapat inspirasi dan tetap setia terhadap nilai positif mereka tanpa mengira usia, saiz dan latar belakang sosial ekonomi. Saya mahu memperkasakan wanita supaya mereka mengenali potensi diri yang tidak terbatas dan dengan lebih berani memanfaatkan setiap peluang untuk mencapai potensi itu setiap hari.

“Paling penting saya mahu wanita rasa selesa dengan diri sendiri dan belajar menjadi berani, mempunyai keberanian serta keyakinan untuk mempertahankan hak mereka. Mereka perlu berani bercakap apa yang difikirkan supaya nilai diri mereka diiktiraf, didengari dan dihormati.

“Saya mahu menggalakkan gaya hidup pemikiran positif, menggalakkan pendidikan sepanjang hayat mengenai penjenamaan peribadi yang akan meningkatkan kehidupan seseorang secara peribadi dan profesional serta membantu orang yang lemah,” katanya.

Menerusi kempen terbaharu, Intan mahu membantu pelanggan untuk tampil berkeyakinan dengan menawarkan latihan peningkatan diri, pembentukan imej dan kelas asas solekan untuk meningkatkan keyakinan diri dengan setiap pembelian melebihi RM500 bagi rangkaian produknya terdiri daripada penanggal solekan, pencuci wajah, serum, krim BB dan krim mata.

Ditanya mengenai cabaran utama dalam memastikan kehidupan diri dan satu-satunya anak gadisnya menjadi lebih baik, Intan mengakui menjadi ibu adalah tugas paling penting dan mulia yang pernah dirasainya.

Malah katanya, dalam pada kita meraikan wanita bergelar ibu, wanita yang membesarkan anak sendirian mesti diberi pengiktirafan kerana tugas itu menuntut kekuatan dalaman, fizikal dan emosi yang bukan calang-calang.

“Anak saya, Indah Khadeeja, 16, menjadi kekuatan buat saya. Dia hanya berusia tujuh tahun ketika perceraian terjadi dan melihat bagaimana saya berjuang meneruskan hidup kami, ini tidak mudah baginya.

“Saya ingat lagi, bagaimana sukarnya menyeimbangkan masa membesarkan anak dengan masa yang terhad memandangkan kerjaya saya dalam bidang perbankan ketika itu. Memang sedih kerana perlu menyerahkan anak kepada pengasuh sementara bekerja dan dia membesar dengan orang yang berbeza sejak kecil.

“Pada masa sama, saya perlu bekerja keras untuk menyara hidup kami. Jadi, saya ambil keputusan terbabit dalam perniagaan kerana mahu meluangkan lebih banyak masa dengan anak.

“Itulah pengalaman yang menjadikan kami seperti sekarang. Kami sudah biasa berdikari. Cara saya mendidiknya adalah melayannya seperti kawan, dia bebas bercakap apa saja dan dia tahu batasnya,” katanya.

Nasihat Intan buat ibu tunggal agar sentiasa buat yang terbaik, bekerja keras dan teruskan kehidupan. Lupakan peristiwa pahit masa lalu dan kenali nilai diri, terima diri sendiri dan tanamkan kepercayaan serta keberanian untuk mengejar impian.

Disiarkan pada: June 11, 2019 @ 5:30am
d