hati

Buang sikap ego

Oleh Intan Mas Ayu Shahimi

TERLALU banyak topik mengenai ragam anak yang menjadi fokus perbincangan ibu bapa dalam kalangan saudara dan kenalan yang bertandang sepanjang Aidilfitri kali ini.

Ada yang punya anak taat, tetapi bimbang terlalu lurus apabila berdepan orang tidak dikenali. Ada juga yang kuat meragam hingga mak ayah pening kepala. Semuanya ada cerita yang tersendiri.

Begitupun, topik paling menarik perhatian adalah mengenai sikap anak yang suka mencetuskan kemarahan ibu bapa. Mereka ini dilihat seakan-akan sengaja menyakitkan hati orang tua.

Tidak kira sama ada membabitkan anak kecil, remaja atau yang semakin meningkat dewasa, majoriti ibu bapa tentu pernah melalui situasi tidak menyenangkan ini.

Kata Perunding Motivasi Keluarga, Zaid Mohamad, keadaan ini lazimnya berlaku berikutan adanya sikap ego ibu bapa dalam mendidik anak-anak. Dalam sesetengah kes, anak juga mungkin sengaja mencetuskan kemarahan ibu bapa untuk mencuri perhatian mereka.

“Saya setuju apabila ramai berpendapat keadaan itu berlaku disebabkan sikap ego ibu bapa dan keinginan anak meraih perhatian. Ini kerana ibu bapa selalunya mempunyai ukuran tersendiri yang mungkin terlalu tinggi untuk anak-anak mencapainya.

“Ukuran ini dibuat tanpa mengambil kira kekuatan dan kelemahan anak-anak. la didorong perasaan ingin berbangga dengan keupayaan anak-anak berbanding orang lain,” katanya.

Menurut Zaid, biasanya anak praremaja tidak berniat untuk membuatkan ibu bapa marah. Mereka hanya ingin bermain dan memuaskan perasaan ingin tahu.

“Ada waktunya, kelompok ini mungkin bertindak melangkaui batasan yang sudah ditetapkan ibu bapa, lantas menimbulkan kemarahan orang tua. Berbeza dengan anak remaja, mereka mungkin dengan sengaja mencetuskan kemarahan ibu bapa sebagai tanda protes atas sesuatu perkara.

“Selain itu, faktor persekitaran dan pengaruh rakan juga boleh membawa impak yang sangat besar dalam membentuk karakter serta peribadi anak remaja. Lebih-lebih lagi jika mereka sentiasa terdedah dengan suasana konflik dan ketegangan. Anak mungkin berubah menjadi seorang yang negatif.

“Sebab itulah pentingnya suasana harmoni di rumah. Sebagai ibu bapa, tunjukkan contoh terbaik buat anak-anak. Jaga emosi apabila berhadapan dengan ahli keluarga.

“Paling penting, pelajari bagaimana untuk memisahkan tekanan kerja daripada dibawa ke dalam rumah tangga dan hormati pendirian mahupun perasaan anak-anak. Cuba fahami apa yang mereka sedang lalui dan lihat dunia dalam persepsi mereka,” katanya.

Jelas Zaid, tidak kira sama ada ibu bapa atau anak, masing-masing punya peranan tersendiri dalam memastikan keluarga dalam keadaan harmoni dan bahagia.

“Anak remaja umpamanya, mereka harus faham bahawa ketegasan ibu bapa hanya kerana mereka inginkan yang terbaik buat zuriat yang disayangi. Ada masanya cara mereka mungkin tidak selari dengan kehendak atau jiwa remaja.

“Mereka hanya risau mengenai ancaman dan cabaran yang melanda remaja pada masa kini. Ibu bapa ingin pastikan anak mereka tidak mensia-siakan zaman remaja dengan terjebak dalam aktiviti tidak sihat.

“Semua ini hanya akan merosakkan masa depan dan membunuh segala potensi diri yang boleh digilap apabila dewasa kelak. Justeru, jangan sesekali bersikap biadab walaupun tidak bersetuju dengan pendapat dan cara ibu bapa.

“Cari jalan untuk berbincang dengan mereka secara terbuka. Dengar dulu pandangan ibu bapa sebelum membuat sebarang keputusan dan beri perhatian sepenuhnya ketika berdialog dengan mereka,” nasihatnya.

Bagi ibu bapa, Zaid mengingatkan supaya berusaha mewujudkan suasana positif jika mahu terus dekat dengan anak-anak, khususnya mereka yang sedang meningkat remaja.

“Sentiasa berbincang dengan hati dan minda terbuka. Lebihkan mendengar luahan anak-anak. Daripada kita terus membuat kesimpulan, apa kata cuba fahami tekanan dan cabaran yang sedang dihadapi anak remaja.

“Berikan kepercayaan kepada mereka dengan membuka sedikit ruang untuk anak-anak membuat keputusan sendiri. Carilah jalan untuk berbincang secara positif dengan membuang ego dan prejudis.

“Hubungan dengan anak remaja ibarat bermain layang-layang. Kita tidak boleh terlalu mengongkong atau membebaskan mereka sepenuhnya. Lihat keadaan dan bertindak sewajarnya.

“Sebaiknya, berikan mereka ruang dan kebebasan dalam sempadan sewajarnya. Bincang dan persetujui sempadan berkenaan secara bersama. Paling utama, berlembutlah dengan mereka kerana emosi anak pada usia ini sedang bercambah. Jadilah contoh yang baik dengan meminta maaf sekiranya sebelum ini kita tidak memahami situasi mereka,” katanya.

Disiarkan pada: June 13, 2019 @ 10:18am
d