hati

Pakar motivasi taraf global

Oleh Yusliza Yakimir Abd Talib

Namanya mungkin asing di negara sendiri, tapi nun jauh beribu batu, Dr Raja Yasmin Raja Abdul menempa namanya dan membanggakan tanah air tercinta.

Baru-baru ini wanita itu membuktikan bakat anak tempatan juga mampu bersaing di persada antarabangsa apabila menempatkan diri sebaris nama besar dalam bidang motivasi, kejurulatihan dan mentor di Melbourne, Australia.

Dr Raja Yasmin turut diiktiraf sebagai pemenang The Australian Coach of the Year Award 2019 menewaskan 7,000 jurulatih yang dikeluarkan The Coaching Institute, Australia.

Ibu yang mempunyai empat cahaya mata itu berkata, perjalanan hidup mereka sekeluarga di negara itu bermula 11 tahun lalu apabila dia menyambung pengajian di peringkat doktor falsafah di Universiti Monash, Melbourne.

Berbekalkan modal sendiri hasil simpanan, jualan rumah, kereta dan semua harta di Malaysia, mereka sekeluarga nekad memulakan hidup baharu sejauh lebih 4,000 batu dari tanah air bagi mencapai cita-cita.

Menurutnya, pada mulanya mereka tidak bercadang menetap di negara itu namun lama-kelamaan peluang semakin terbuka luas di depan mata, apatah lagi keempat-empat anaknya sudah menyesuaikan diri dengan kehidupan di sana.

Selama 11 tahun berada di sana bukan tempoh singkat bagi pasangan suami isteri ini yang menempuh onak dan ranjau di perantauan dan pastinya kejayaan itu tidak datang bergolek.

Ini kerana katanya, pelbagai cabaran dan turun naik dalam perniagaan yang terpaksa ditempuh, termasuk berdepan kos yang tinggi serta persaingan dalam perniagaan yang diceburi.

“Pembabitan saya dalam industri kejurulatihan dan mentor adalah secara tidak langsung. Sebelum ini pelbagai perniagaan di Malaysia dan Australia dijalankan, tapi amat menyedihkan apabila kebanyakannya berakhir dengan kegagalan.

“Perniagaan terakhir saya dan suami gagal dan rugi teruk menyebabkan kami terpaksa melalui pengalaman sangat perit dan pahit di negara orang.

“Berjauhan dari keluarga membuatkan keadaan menjadi lebih mencabar. Kami terpaksa hidup dengan bantuan Zakat Foundation Australia dan bantuan makanan kerana kami hilang segalanya dalam sekelip mata.

“Kami dihalau keluar dari rumah sewa kerana tidak mampu membayar sewa rumah. Kami sekeluarga menjadi begitu trauma, tetapi amat bersyukur masih mempunyai rakan yang membantu agar kami dapat memulakan hidup kembali,” katanya.

Walaupun diuji dengan kejatuhan, beliau masih percaya ada harapan untuk memperbaiki diri dan mahu belajar teknik betul menjadi usahawan yang berjaya. Cita-cita dia dan suami untuk berjaya dalam hidup serta memberikan pendidikan terbaik buat anak tidak pernah luntur.

Katanya, sikap degil untuk memperbaiki diri dan mahu belajar membuatkan dia tercari-cari mentor yang sesuai untuk membantu dirinya bangkit daripada kegagalan.

“Seorang sahabat memperkenalkan saya dengan Sharon Person, seorang usahawan jutawan berjaya di Australia yang juga pengasas The Coaching Institute. Saya hadir dalam salah satu bengkelnya bertajuk ‘Courage to be you’ dan daripada situ perjalanan saya sebagai jurulatih dan mentor bermula.

“Mei tahun lalu, saya mendaftar dalam program Jurulatih Profesional di institusi itu kerana minat dan cita-cita mahu menjadi pakar motivasi bertaraf antarabangsa dan membantu ramai orang,” katanya.

Kini, Dr Raja Yasmin mampu tersenyum puas apabila diiktiraf sebagai jurulatih profesional Meta Dynamic bagi membantu mereka yang ingin mengubah hidup dan mahu berjaya dari segi kotak fikiran, pembangunan kendiri, kerjaya dan perniagaan.

Beliau sudah melatih ramai orang dengan jumlah terkumpul melebihi 200 jam bagi membantu wanita khasnya daripada pelbagai bangsa, latar belakang, agama dan budaya serta mengendali lebih 25 bengkel di beberapa organisasi di Melbourne dalam bidang kecerdasan emosi, pemikiran perniagaan, kemahiran perniagaan dan pemasaran.

Lebih membanggakan apabila wanita kelahiran Ipoh, Perak ini mengendalikan program Usahawan Dinamik Australia iaitu program mentoring berkumpulan dalam versi Melayu bagi membantu anak Malaysia yang berada di Australia dengan mendedahkan mereka mempelajari perniagaan dan pemasaran di persada antarabangsa.

Baginya, sebagai wanita Muslim dan Melayu, menceburi industri kejurulatihan di Australia pada awalnya terlalu sukar dan banyak halangan. Khidmatnya pernah ditolak berkali-kali kerana rakyat di negara itu tidak mengenalinya dan tidak yakin dengan nilai yang boleh dikongsi untuk membantu mereka.

Beliau cuba memasarkan diri sendiri dengan pelbagai strategi dan cara, tapi tiada sambutan pada awalnya. Lantas, dia bekerja keras dengan bantuan mentor untuk menjalankan lebih banyak bengkel, tetapi kehadiran tidak begitu memberangsangkan.

“Untuk memperkenalkan diri, saya terpaksa tawarkan perkhidmatan secara percuma. Bayangkan dalam keadaan kewangan yang tidak stabil, saya terus menghulurkan ilmu yang saya ada tanpa bayaran sesen pun.

“Ada kala saya rasa amat teruji, tetapi sebab minat dan percaya dengan konsep lebih banyak memberi, lebih banyak yang akan diterima, saya sabar dan nekad untuk terus memberi dan berkongsi ilmu kepada yang memerlukan. Akhirnya, selepas enam bulan konsisten tanpa jemu dalam membantu menyebarkan ilmu di samping menawarkan khidmat sesi pro-bono latihan perseorangan, akhirnya saya mula mendapat jemputan dari beberapa organisasi untuk menjalankan bengkel,” katanya.

Impiannya begitu besar untuk menjadi pakar motivasi terkenal di peringkat antarabangsa untuk membantu ramai orang tidak mengira bangsa, agama dan budaya.

Dr Raja Yasmin juga berhasrat membina platform masyarakat positif kerana baginya hidup di dunia kini terlalu mencabar kerana semua negara mempunyai masalah sama dalam menangani isu kemurungan dan kesihatan mental. Kalau boleh, dia mahu menyebarkan ilmu yang ada supaya lebih ramai orang mendapat manfaatnya kerana itu juga yang akan menjadi sebahagian daripada bekalannya apabila menemui Allah kelak.

Disiarkan pada: June 18, 2019 @ 5:00am
d