hati

Ringkas namun tetap memukau

Oleh Siti Nadirah Hafidzin

AIDILFITRI dan solekan antara dua perkara yang bersangkut paut, mana tidaknya setiap wanita tentu saja mahu tampil manis apabila bertemu saudara-mara dan rakan namun istilah cantik itu sangat meluas dan apa yang sebenarnya yang anda inginkan ketika bersolek? Adakah anda mahu tampak memukau dan mencuri tumpuan setiap mata yang memandang atau sekadar cukup dengan solekan sederhana, tetapi masih manis dipandang?

Rasanya ramai yang lebih selesa dengan solekan ringkas dan semula jadi, tetapi mampu menyerlahkan kecantikan, apatah lagi ketika menghadiri jemputan rumah terbuka dan bertemu ahli keluarga serta kenalan yang lama tidak bersua muka.

Namun istilah cantik bagi setiap individu itu berbeza. Ada yang yakin tampil dengan solekan tebal dan menyerlah namun ada juga yang memilih mengenakan solekan nipis, tetapi tetap kelihatan manis.

Apa juga jenis solekan dipilih, ia bergantung kepada si empunya diri kerana bagi sesetengah wanita, bersolek tebal itu sangat memberi keyakinan kepada dirinya kerana ia mampu menutup satu persatu cela di wajah, sekali gus meningkatkan keyakinan diri.

Menurut jurusolek Feiruz Shah, setiap wanita mempunyai cara atau jenis solekan yang digemari dan ia bergantung kepada personaliti individu itu sendiri.

“Lebih elok sekiranya solekan tebal hanya dikenakan jika mahu ke majlis formal dan solekan ringkas untuk berkunjung ke rumah ahli keluarga dan jiran tetangga namun tidak salah sekiranya anda tetap mahu mengenakan solekan tebal dan sarat dengan teknik jika tahu caranya.

“Namun pastinya terasa janggal apabila mengenakan solekan terlalu tebal untuk hadir ke rumah ibu saudara atau jiran sebelah rumah? Langkah terbaik adalah bersederhana dan tidak perlu menghabiskan masa bersolek lama hanya untuk tampil memukau kerana ringkas itu sebenarnya sudah memadai dan tampak lebih semula jadi,” katanya.

Tambahnya, sesuai dengan situasi semasa, solekan ringkas lebih sesuai dan rata-rata wanita juga sudah semakin mahir untuk bersolek sendiri.

“Ada banyak langkah solekan yang boleh dijadikan rujukan namun diingatkan jangan pula terlalu mengikut tutorial semata-mata tanpa melakukan latihan sendiri kerana bersolek juga perlukan kemahiran. Untuk solekan semula jadi ini paling utama adalah pilihan warna. Elakkan memilih rona terlalu terang terutama gincu dan pemerah pipi. Banyakkan bermain dengan rona-rona lembut dan semula jadi.

“Namun, walaupun mahu tampak ringkas, mata antara elemen yang perlu dititikberatkan kerana ia seolah-olah pelengkap kepada solekan yang sempurna. Gunakan rona tanah atau keemasan, sedikit garisan celak dan maskara, jika berani boleh juga gunakan bulu mata palsu kerana kesannya lebih dramatik,” katanya.

Feiruz berkongsi langkah demi langkah melakukan solekan semula jadi di Aidilfitri yang boleh dijadikan sebagai rujukan kepada setiap wanita.

LANGKAH DEMI LANGKAH

Disiarkan pada: June 20, 2019 @ 4:30am
d