hati

Santuni ibu, bapa

Oleh Yusliza Yakimir Abd Talib

SALAH satu perkara paling kompleks dan sukar secara emosi yang boleh dialami seorang anak adalah menjaga ibu bapa yang tua. Sungguhpun begitu, tanggungjawab menjaga ibu bapa wajib dilaksanakan anak khususnya anak lelaki, lebih-lebih lagi jika insan yang banyak berjasa itu semakin uzur dan tidak berupaya melakukan segala rutin hariannya sendiri.

Tanya kepada mana-mana orang yang menjaga ibu bapa atau salah seorang (ibu atau bapa), antara jawapan yang anda terima ialah ‘banyakkan bersabar’. Ya, tidak mudah untuk melayani ibu bapa yang sudah tua. Setiap orang mempunyai kerenah dan masalah kesihatan tersendiri yang menuntut anda menjadi insan prihatin dan melatih diri supaya bersikap lebih berlemah lembut serta penyayang.

Ini kerana secara lumrahnya, semakin meningkat usia, seseorang itu akan menjadi lebih sensitif. Kudrat dan kesihatannya ditarik sedikit demi sedikit. Pendengaran semakin kurang, penglihatan juga begitu. Tutur katanya dan pergerakannya menjadi lebih perlahan.

Sesetengah ibu bapa mungkin mahukan lebih perhatian diberikan kepadanya sedangkan anak-anak pula sibuk diulit kerja dan keluarga. Tidak mudah untuk melaksanakan tugas ini. Dalam keadaan penat, anda mungkin terkasar bahasa dengan ibu bapa yang menyebabkan mereka memendam rasa.

Semua perkara, tidak kira besar atau kecil lama-kelamaan akan memberi kesan kepada hati ibu bapa dan anak-anak yang menjaganya. Jadi, ini sebabnya pengurusan emosi itu amat penting bagi anak apabila dia mengambil tanggungjawab menjaga ibu bapa yang semakin dimamah usia.

Perlu diingatkan, semakin berusia ibu bapa anda, semakin banyak sikap dan kebiasaan yang berubah dan ia lumrah seiring tempoh penuaan. Dikongsikan beberapa panduan untuk kita sama-sama menyantuni ibu bapa kerana ia akan menjadi teladan kepada anak-anak kita satu hari nanti seandainya mereka diizinkan Allah menjaga kita pula.

1. MENERIMA HAKIKAT BAHAWA SEGALANYA SUDAH BERUBAH

Apabila ibu bapa mula bergantung kepada anak-anak mereka, dunia berubah 180 darjah. Oleh itu, anak perlu bersedia dengan perubahan dan peranan mereka kini juga mungkin perlu berubah.

Perubahan ini bukan hanya pada fizikal, malah emosi juga. Jadi, sebagai persediaan, luangkan masa mencari maklumat cara terbaik untuk memahami perubahan yang mereka lalui. Melalui cara ini anda akan jadi lebih bersedia dan dapat memikirkan cara terbaik sekiranya timbul masalah kelak.

2. PERUBAHAN SECARA BERANSUR-ANSUR

Menjaga ibu bapa tua boleh dikatakan seperti maraton iaitu berlari perlahan-lahan mengikut keperluan dan kemampuan, bukan ‘berlari pecut’. Ada kalanya anda mungkin mahu berjalan sambil memerhatikan persekitaran.

Sama juga halnya dalam menjaga ibu bapa. Anda tidak perlu tergesa-gesa dalam menghadapi perubahan itu kerana kedua-dua pihak memerlukan masa untuk menyesuaikan diri dan biarkan proses itu berlaku secara semula jadi.

Ini akan memudahkan anda dan ibu bapa untuk sama-sama lebih memahami keperluan satu sama lain. Bagaimanapun, ia bukan proses yang mudah namun anda perlu banyakkan bersabar untuk melalui semua ini.

3. JANGAN HARAPKAN APA-APA EMOSI

Pada fasa akhir kehidupan mereka, ibu bapa mungkin bersikap terbuka dengan anda secara emosi dan rohani, mereka mungkin mengungkapkan kata-kata sayang yang tidak pernah diluahkan sebelum ini. Ada juga yang mungkin tidak melakukannya, menjadi lebih tegas dan berubah perangai.

Sekiranya anda ambil berat terhadap ibu bapa yang sudah tua, layani mereka dengan cara baru dan mengikut keadaan mereka terkini. Lebih baik sekiranya anda tidak mengharapkan semuanya akan sempurna dan bersedia dengan sebarang kemungkinan.

Sebagai anak, anda sedia maklum dengan tabiat, tingkah laku dan kehendak ibu bapa. Jadi jangan cepat berasa marah sekiranya ada perlakuan yang ‘berlebihan’ ditunjukkan ibu bapa kerana ia mungkin cara mereka untuk mendapatkan perhatian anda.

4. JANGKAKAN KEMARAHAN MEREKA

Apabila anda mula menjaga ibu bapa anda, mereka kehilangan satu perkara yang selalu ada dalam hubungan dengan anda iaitu kuasa. Itu tidak mudah bagi mereka, jadi jangkakan perkara ini berlaku disebabkan ‘kehilangan’ itu. Walaupun sudah tua, mereka masih ibu dan bapa anda. Mereka tetap ada ‘kuasa’ yang perlu dihormati dan dituruti.

Antara langkah yang boleh diambil untuk membuatkan ibu bapa berasa dihormati (dan kata-kata mereka terus dihargai) ialah dengan meminta pendapat insan berjasa ini dalam membuat keputusan harian walaupun ia membabitkan perkara kecil.

Apabila mereka memberi pendapat, terima pandangan itu sebaiknya walaupun ada antaranya yang tidak sehaluan dengan fikiran anda. Jika ini berlaku, ambil jalan tengah dan jangan tolak terus pandangan mereka.

5. BERI MEREKA AUTONOMI

Semampu yang boleh, tawarkan pilihan kepada ibu bapa bukan arahan. Amat penting bagi ibu bapa untuk terus menjalani kehidupan seperti biasa dan bukan perlu mengikut telunjuk anak dalam menentukan kehidupan dan pilihan mereka. Biarkan ibu bapa memutuskan semua yang mereka mampu khususnya membabitkan penjagaan dan keadaan mereka sendiri.

Bagaimanapun, sebagai anak dan penjaga, anda boleh memberi pandangan serta nasihat yang bersesuaian dengan keadaan semasa. Banyak teknologi terkini yang boleh digunakan untuk memudahkan kehidupan mereka terutama ketika anda keluar bekerja.

6. MINTA NASIHAT MEREKA

Cara terbaik untuk menunjukkan kasih sayang dan rasa hormat ibu bapa terutamanya untuk menegaskan bahawa mereka masih sangat berharga kepada anda adalah dengan ikhlas meminta nasihat kedua-duanya mengenai sesuatu yang berlaku dalam hidup anda.

7. PISAHKAN DISFUNGSI EMOSI DARIPADA DISFUNGSI KOGNITIF

Setakat termampu, melalui perbualan dan interaksi dengan ibu bapa anda, belajar membezakan antara disfungsi emosi dan kognitif mereka. Mungkin anda sudah biasa dengan corak disfungsi emosi ibu bapa dan tahu bagaimana berurusan dengannya. Tetapi, masalah disfungsi kognitif mereka mungkin baru kepada anak, jadi kenal pasti, berikan reaksi dengan teliti dan berbincang dengan penyedia penjagaan kesihatan mereka.

8. DAPATKAN BANTUAN PASANGAN

Anda mungkin mendapati ibu bapa lebih selesa berhubung dengan pasangan anda berbanding anak sendiri. Walaupun itu pasti menyakiti perasaan anda, jangan ambil hati. Pasangan anda dan ibu bapa anda mungkin boleh menjadi rakan baik. Mungkin hubungan ini sukar dibentuk antara anda dengan ibu bapa sendiri. Biarkan perkara itu dan bergantung harap kepada pasangan untuk menjadi perantara dalam menjaga ibu bapa seperti apa yang mereka mahukan.

Disiarkan pada: June 21, 2019 @ 5:00am
d