hati

Rangsang kesuburan

Siti Zarinah sahib

Bagi pasangan suami isteri yang bersedia bergelar ibu bapa, seharusnya melakukan perubahan dalam gaya hidup mereka. Satu daripadanya adalah dengan mengubah pola pemakanan menjadi lebih sihat.

Namun bukan semua makanan sihat sesuai untuk meningkatkan kesuburan. Secara khususnya terdapat beberapa jenis kumpulan makanan yang diakui baik untuk wanita antaranya:

1. Produk berasaskan tenusu

Bagi ibu hamil kalsium sangat penting untuk perkembangan tulang bayi, serta menjaga kesihatan diri sendiri. Bagi yang melalui fasa prakonsepsi produk tenusu seperti susu, dadih, krim dan keju, membantu meningkatkan kesuburan, sekali gus sistem reproduksi berfungsi lebih cekap.

Pakar pemakanan membuat banyak kajian mengenai kaitan antara kalsium dengan reproduksi. Wanita yang mencuba untuk hamil perlu memenuhi sekitar 1,000 miligram kalsium sehari. Produk susu yang diambil pula perlu tinggi lemak.

2. Karbohidrat kompleks

Ramai orang mengelak makanan mengandungi karbohidrat dengan alasan menyebabkan kegemukan. Tidak semua karbohidrat diciptakan sama. Karbohidrat kompleks yang terkandung dalam bijirin bukan hanya menyihatkan, tetapi membantu meningkatkan kesuburan.

Keadaan ini berbeza dengan karbohidrat yang ditemui di dalam roti dan nasi putih yang boleh meningkatkan paras gula dalam darah. Ini akan mengganggu hormon yang bertanggung jawab dalam sistem reproduksi, sekali gus menghalang kehamilan.

3. Buah dan sayuran berwarna cerah

Selain kaya vitamin, mineral dan nutrisi, buah-buahan segar dan sayur-sayuran kaya antioksidan dan fitokimia yang membantu menghilangkan radikal bebas. Ketika radikal bebas berada di dalam tubuh, ia menyebabkan masalah kesihatan seperti gangguan pada hormon reproduksi. Ketika memilih buah dan sayuran, pilih pelbagai warna. Semakin kuat warnanya semakin banyak nutrisi di dalamnya.

Contohnya buah beri sangat berkhasiat. Ia membantu melindungi sel-sel daripada kerosakan dan mencegah penuaan. Buah ini tidak hanya mempengaruhi tubuh, tetapi juga telur dalam saluran reproduksi. Elakkan buah dan sayur dengan nilai gizi yang sangat sedikit dan penuh dengan bahan pengawet dan pemanis buatan.

4. Ayam

Pengambilan ayam sangat penting kerana makanan ini tinggi protein dan zat besi, terutama bagi wanita yang berusaha untuk hamil. Zat besi dan protein sangat penting bagi perempuan sebelum dan ketika hamil. Kajian menunjukkan wanita yang kurang zat besi sukar mendapat cahaya mata berbanding mereka yang mempunyai zat besi mencukupi.

5. Telur

Telur kaya vitamin dan nutrisi penting seperti protein dan kolin yang dapat meningkatkan kemampuan tubuh untuk menyerap asid folik. Asid folik sangat penting pada awal kehamilan bagi mencegah bayi lahir cacat saraf seperti spina bifida. Mengambil hanya sebiji telur sehari dapat meningkatkan kadar kolin yang cukup untuk meningkatkan penyerapan asid folik.

6. Kacang dan bijirin

Kacang dan bijirin dicerna lebih lambat di dalam tubuh, sekali gus ia membantu mengatur tingkat insulin dan ovulasi. Selain itu, kekacang dan bijirin juga mengandung Omega-3 yang memberikan kesan langsung pada peningkatan hormon serta tinggi antioksidan.

8. Minyak zaitun

Omega-3 memiliki kesan yang sangat besar pada peningkatan kesuburan. Omega-3 biasanya ditemui dalam minyak zaitun yang dapat meningkatkan kualiti sperma atau sel telur terutama wanita yang ingin hamil.

Disiarkan pada: June 24, 2019 @ 6:00am
d