hati

Usah tangguh rawatan

Siti Zarinah Sahib

BAGI wanita yang mengalami masalah kesuburan selain kewangan dan pemakanan kebiasaannya mereka berdepan cabaran masa. Ini kerana peluang untuk hamil semakin berkurang apabila usia meningkat 35 tahun ke atas.

Walaupun majoriti pasangan tetap teguh dalam usaha mereka untuk hamil secara semula jadi, apa yang berlaku adalah sebaliknya. Apabila usaha mereka tidak berhasil, teknologi reproduksi berbantuan (ART) terpaksa digunakan. Kaedah paling biasa dan berhasil untuk sesetengah wanita adalah persenyawaan in vitro atau IVF.

IVF adalah proses persenyawaan dengan mengeluarkan telur dari badan wanita, mengambil sampel sperma dan kemudian menggabungkan telur dengan sperma secara manual di makmal.

Kaedah ini pertama kali diperkenalkan pada akhir 1970-an, sekali gus membawa harapan kepada wanita yang tidak dapat mengandung secara semula jadi disebabkan oleh penyumbatan atau kekurangan kedua-dua tiub Fallopio.

Pada 90-an, suntikan sperma intrasitoplasmik (ICSI) dicipta untuk menyuntik sperma ke dalam telur. Teknologi ini merevolusikan rawatan untuk lelaki dengan masalah sperma yang kurang baik.

Menjelaskan lebih lanjut mengenai IVF menurut Pakar Perunding Obstetrik dan Penyakit Perempuan, Dr Cheong Yee Tsing berkata, ramai tidak tahu umur wanita adalah faktor terpenting yang mempengaruhi kesuburan sekali gus hasil rawatan IVF.

“Secara umumnya kesuburan mula merosot dari umur 35 tahun ke atas dan semakin berkurang apabila mereka berusia 40-an. Oleh itu, amat penting wanita tidak menangguhkan rawatan dan mendapatkan bantuan awal bagi mengelak pengurangan bilangan dan kualiti telur mereka,” katanya.

Katanya lagi, faktor gaya hidup seperti merokok, berlebihan berat badan atau kekurangan berat badan dan tekanan akan mempengaruhi rawatan. Sebagai contoh, merokok dan merokok pasif akan menjejaskan kualiti telur atau sperma yang akan memberi kesan negatif kepada hasil rawatan.

Ketika lawatan pertama doktor akan melakukan pemeriksaan fizikal dan latar belakang secara menyeluruh. Untuk wanita, mereka perlu menjalani ujian lumuran pap dan imbasan pelvik untuk mengenal pasti sekiranya terdapat pertumbuhan atau kelainan uterus pada kedua-dua ovarinya.

Selepas itu kedua-dua pasangan perlu menjalani beberapa ujian kesuburan asas termasuk ujian darah untuk memeriksa hormon ovari dan sperma bagi lelaki. Ini biasanya akan diikuti dengan tiub Fallopian. Apabila punca ketidaksuburan dapat ditentukan atau tiada punca dijumpai, doktor boleh menasihati rawatan yang sesuai untuk pasangan itu.

“Adalah sangat penting bagi pasangan mengetahui punca sebenar ketidaksuburan mereka. Sebagai contoh, pesakit yang mempunyai masalah ovulasi akan dapat diubati menerusi ubat ovulasi. Bagi yang mengalami masalah endometriosis yang teruk mungkin sukar melakukan IVF.

“Namun mereka digalakkan supaya tidak berputus asa selepas satu percubaan gagal. Lakukan rawatan seterusnya kerana tidak tidak semestinya ia akan gagal untuk kali kedua, yang penting jangan berputus asa,” nasihatnya.

RISIKO DAN KESAN SAMPINGAN

Bagi pasangan yang menjalani rawatan IVF, salah satu risiko utama yang mungkin dihadapi adalah kegagalan rawatan. Rawatan IVF yang lengkap juga boleh gagal kerana implantasi embrio ke dinding rahim tidak berjaya.

Ada rawatan IVF yang dibatalkan separuh jalan kerana pelbagai sebab. Antaranya:

* Tiada pertumbuhan folikel (struktur diisi bendalir yang membawa telur)

* Tidak dapat mengumpul sebarang telur semasa pengumpulan telur

* Tiada telur matang untuk disenyawakan

* Tidak ada persenyawaan antara telur dan sperma

* Tiada perkembangan embrio

“Semua masalah ini lebih kerap berlaku dalam kalangan wanita yang lebih berusia. Bagaimanapun, ia juga boleh berlaku kepada wanita muda,” katanya.

Jelas Dr Cheong, bagi wanita yang berjaya menghasilkan telur yang banyak, berkemungkinan akan berakhir dengan komplikasi sindrom hiperstimulasi ovari (OHSS). Namun menerusi ubat-ubatan baru masalah ini dapat dikurangkan.

Kesan sampingan yang lain termasuk prosedur pengumpulan telur yang dilakukan selepas pesakit diberi ubat penenang. Ubat-ubatan ini boleh menyebabkan pening, loya atau muntah.

“Namun, gejala ini agak ringan dan akan pulih sepenuhnya pada hari berikutnya. Sebelum menjalani prosedur pengumpulan telur, pesakit juga perlu diberi nasihat mengenai risiko berkaitan prosedur.

“Ini termasuk pendarahan berlebihan, risiko kecederaan jarum ke usus atau saluran darah. Jangan bimbang kerana ia sangat jarang berlaku. Keluhan biasa selepas operasi seperti kekejangan abdomen bawah dan tompokan darah dari vagina biasanya pulih dalam tempoh satu atau dua hari,” katanya.

MENCAPAI KEHAMILAN YANG BERJAYA

Bagi setiap rawatan IVF, apa yang penting adalah keyakinan rawatan dilakukan selamat. Begitu juga, penggunaan suntikan hormon semasa IVF yang tidak menyebabkan sebarang kesan kesihatan pada masa depan.

Pesakit perlu diberitahu sekiranya kehamilan berjaya, mereka masih mungkin berhadapan risiko seperti kehamilan biasa, contohnya risiko keguguran dan kehamilan ektopik, namun sangat jarang berlaku.

Selain itu wanita yang sudah mencapai usia 50 tahun ke atas tidak digalakkan melakukan IVF disebabkan faktor menopaus.

Apa pun, topik ini masih dibahaskan kerana terdapat wanita yang masih menjalani IVF dan berjaya hamil dalam usia 60-an. Kehamilan pada usia yang lebih tua menimbulkan risiko kesihatan tertentu kepada ibu.

“Oleh itu adalah penting wanita memahami risiko sepenuhnya mengenai kesihatan diri dan bayi mereka sebelum bercadang mendapatkan rawatan ini,” jelasnya.

Caption:

1. DR CHEONG

2. IVF untuk wanita yang menghadapi masalah kesuburan.

3. TELUR dan sperma disenyawakan secara manual di dalam makmal.

Disiarkan pada: June 24, 2019 @ 6:15am
d