hati

Air putih ejen detoks terbaik

Oleh Intan Mas Ayu Shahimi

TREND kecantikan sentiasa berubah mengikut peredaran masa, penampilan artis dan gaya selebriti, perubahan cuaca serta musim. Bermula sekadar pilihan jenis bedak asas daripada pelbagai jenama tempatan dan antarabangsa, dunia kecantikan pernah diperkenalkan dengan penggunaan bedak kusyen BB dan kini paling popular adalah rawatan sulam bedak Korea.

Andai diperhatikan, semua rutin kecantikan ini memiliki fungsi sama. Menghasilkan wajah mulus, tampak bebas daripada kesan cela, sekali gus menaikkan seri pemakainya. Apa yang berbeza adalah kaedah pemakaian, kandungan produk dan teknologi yang diperkenalkan.

Namun, sejak kebelakangan ini dunia kecantikan dilihat semakin berani mencabar wanita untuk mempertaruhkan wajah polos tanpa solekan atau dengan calitan mekap paling minimum.

Mungkinkah wajah yang ditampilkan di majalah dan kaca televisyen itu benar-benar polos, atau sudah menjalani rawatan sulam bedak sebagaimana popular kini?

Tidak kira apa pun pilihannya, ketahui bahawa setiap wanita yang bergelar Muslimah harus mengetahui sama ada kaedah rawatan wajah yang dijalani selamat, suci, halal dan benar-benar ‘mesra solat’.

Jika berasa was was, eloklah kembali kepada asas penjagaan wajah. Biarpun tidak popular, namun yang pastinya ia patuh syariah dan memberi kesan lebih baik kepada kulit wajah.

Berikut beberapa tip ringkas dikongsikan jurumekap artis, El Manda Zuhairy (@mandalicious_ official) untuk wanita mendapatkan kulit sihat dan cantik berseri.

1. Minum air putih sekurang-kurangnya dua liter sehari. Air adalah ejen detoks kulit terbaik. Ia juga membantu kulit sentiasa sihat.

2. Kurangkan pengambilan makanan manis. Ini kerana, kandungan gula yang terlalu tinggi dalam makanan boleh mengaktifkan hormon jerawat dan mempercepatkan penuaan. Ingat, anda mungkin tua sebelum usia, jika gagal menjaga pemakanan!

3. Kerap tukar sarung bantal. Bayangkan lama mana kulit muka kita melekap pada sarung bantal sepanjang waktu tidur. Di sinilah antara tempat bakteria membiak.

4. Telefon bimbit harus bersih. Rajin-rajinlah mengelap skrin depan dan belakang telefon bimbit dengan tisu basah antibakteria. Lebih-lebih lagi bagi mereka yang kerap membawa telefon ke dalam tandas dan meletakkannya di tepi sinki. Di situ terdapat banyak bakteria.

5. Amalkan minum air perahan lemon kerana ia boleh membantu membersihkan toksin dalam badan, melawan pertumbuhan jerawat dan mencuci dalaman wanita.

6. Rajin-rajinlah melakukan rutin penjagaan wajah 123. Pertama mencuci, kedua memakai penyegar wajah dan ketiga mengenakan pelembap mengandungi pelindung matahari.

7. Mandi sekurang-kurangnya dua kali sehari dan cuci wajah dengan kerap. Jika anda memiliki kulit kering, jangan mandi menggunakan air panas. Ia akan mengeringkan lagi kulit.

8. Amalkan pemakaian pupur yang dibancuh sendiri atau masker asas untuk detoks. Lakukan rutin ini sekurang-kurangnya seminggu sekali untuk menarik keluar kotoran pada wajah. Ini juga antara cara untuk membersihkan wajah anda. Barulah hasilnya nampak mulus!

9. Harus rajin mengewapkan muka. Jika tidak mampu ke spa, lakukan saja di rumah. Caranya, tuangkan air panas dalam mangkuk besar dan tambah setitis dua minyak aroma terapi. Kalau tiada, tidak mengapa. Kemudian, selubungkan kepala dengan tuala bersih dan muka dihadapkan ke arah mangkuk mengandungi air panas. Jangan terlalu dekat dan pastikan anda boleh bernafas. Wapkan selama 15 minit dan bersihkan wajah seperti biasa.

Disiarkan pada: June 25, 2019 @ 4:30am
d