hati

Solekan betul bangkit seri

Oleh Yusliza Yakimir Abd Talib

TANYA saja mana-mana mak andam atau jurusolek, pelbagai aspek diambil kira bagi memastikan pengantin kelihatan menyerlah berbanding hari biasa. Daripada bentuk wajah dan warna kulit pengantin hinggalah tema majlis menjadi keutamaan dalam menyerlahkan keanggunan raja sehari.

Namun, tanpa penggunaan teknik yang betul, hasil solekan pasti mengecewakan malah mungkin kelihatan kusam tidak bermaya.

Bagi jurusolek Erny Farhanaa, solekan dan andaman yang menarik sentiasa menjadi tunjang kepada sesebuah majlis perkahwinan.

Justeru katanya, tidak hairan apabila ia menjadi perkara pertama dalam merancang sesebuah majlis, selain menyediakan hidangan makanan yang enak dan mencukupi untuk tetamu.

“Andaman pengantin ialah perkara utama yang dititikberatkan pasangan bakal mempelai supaya kelihatan cantik dan menawan pada hari paling bersejarah dalam hidup mereka.

“Sebab itu, saya mahu memastikan pelanggan mendapat sentuhan terbaik dan sentiasa meminta maklum balas hinggalah mereka berpuas hati melihat penampilan diri pada hari bahagia dan menjadi kenangan terindah,” katanya.

Bagaimanapun, perkara asas yang perlu dilakukan untuk membolehkan mekap diadun sempurna pada wajah adalah memastikan proses membersih, menyegar dan melembap dilakukan sebaik mungkin sebelum memulakan solekan.

Katanya, menyolek wajah dengan teknik yang betul dan pemilihan warna sesuai boleh membantu membangkitkan seri wajah. Namun yang paling utama ia dapat menutup kekurangan wajah pada hari bersejarah buat pengantin.

Erny berkata, selepas membersihkan wajah, solekan dimulakan dengan menyapu bedak asas pada seluruh wajah.

Bedak asas berfungsi untuk menutup cela atau parut kecil pada wajah, tetapi jika terlalu tebal akan membuatkan solekan kelihatan seperti topeng.

Cara terbaik memakai bedak asas dan penyamar noda bersama dan disebatikan. Tip memakai bedak asas adalah dengan teknik pedap berbanding sapuan bagi memastikan bedak disebatikan pada kulit dengan baik.

Selepas itu, teknik pembayang boleh dimulakan pada bahagian yang mahu disembunyi atau ditonjolkan seperti dagu, tulang pipi, hidung dan bentuk muka.

Menurut Erny, bentuk hidung yang kurang mancung, dagu kurang runcing atau pipi yang kelihatan tembam sebenarnya boleh diubah dengan teknik itu.

“Anda juga boleh melakukan teknik ini untuk mendapatkan kesan wajah yang sempurna dari segi simetri. Cara ini juga boleh menutup kekurangan wajah sambil menonjolkan kelebihannya.

“Teknik ini adalah bayangan gelap yang diberikan pada bahagian tertentu di wajah untuk menutup kekurangan yang ada. Selain itu, ia berfungsi untuk memperoleh kesan wajah lebih kecil atau kesan tidak menonjol terutama pada bahagian kekurangan pada wajah. Warna yang biasa digunakan untuk langkah ini adalah warna gelap seperti coklat,” katanya.

Menerusi pembayang bersesuaian dengan bentuk wajah, kekurangan pada wajah dapat disamarkan dan solekan wajah akan tampak cantik, sempurna dan pasti menyerlah pada hari bahagia.

Gunakan pensil mata atau berus kening dan bentukkan kening mengikut kesesuaian bentuk wajah.

Untuk kelihatan muda dan lebih lembut, pastikan warna pensil mata tidak terlalu gelap. Warna coklat gelap atau kelabu gelap pilihan terbaik.

Sapukan pembayang mata pada bahagian kelopak mata. Pilihan warna untuk tampak muda dan segar ialah warna cerah. Elakkan warna gelap kerana ia akan menampakkan wajah lebih garang atau tua daripada usia.

Kemaskan bulu mata menggunakan maskara dan gunakan celak mata di bahagian dalam dan luar alis kelopak mata.

Pada bahagian bibir pula, digalakkan melakar bentuk bibir dengan pensil bibir sebelum mengoles gincu. Ini bagi mengelak kesilapan selain memastikan bibir tampak sempurna.

Erny menunjukkan langkah demi langkah solekan anggun majlis raja sehari bersama model, Eka Mohamad.

LANGKAH-LANGKAH

1. KEMASKAN kening dan sapukan pembayang noda untuk sembunyikan lebihan bulu mata. Kemudian

sapukan pembayang mata.

2. TEKNIK pembayang untuk menonjol bahagian tulang pipi, hidung, dagu dan rahang.

3. LAKUKAN teknik kontur untuk menyempurnakan simetri wajah.

4. OLES gincu bibir berwarna terang seperti merah untuk menyerlahkan seri wajah.

5. SOLEKAN tepat menyerlahkan seri pengantin.

6. WAJAH yang siap dirias.

Disiarkan pada: June 26, 2019 @ 8:10pm
d