hati

Tingkat 5 kemahiran penting

Oleh Yusliza Yakimir Abd Talib

BERMAIN sambil membantu meningkatkan perkembangan awal kanak-kanak secara holistik di samping menerapkan elemen pembelajaran ceria dan bermakna. Itu yang mahu ditekankan menerusi program permainan berhalangan untuk kanak-kanak Young Ninja Warrior 2 yang dianjurkan di Sunway Velocity Mall, Cheras, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Projek anjuran pusat terapi bantuan kanak-kanak berkeperluan khas Animals for Young (AFY) dan jenama permainan Weplay itu bagi memberi pendedahan kepada sekumpulan kanak-kanak dengan aktiviti menarik dan mencabar kekuatan fizikal serta mental mereka.

Menariknya, program itu direka untuk membantu meningkatkan lima kemahiran penting kanak-kanak meliputi pembangunan motor, deria sentuhan, koordinasi keseimbangan, kemahiran motor halus dan permainan kreatif serta interaktif.

Pengasas AFY, Dr E Joon Khew berkata, pada peringkat awal, pendidikan terbaik ialah melalui bermain dan proses itu tidak terkecuali untuk anak istimewa.

Katanya, litar halangan turut disesuaikan untuk kanak-kanak dengan keperluan khas dan mereka yang hadir dalam program itu boleh menguji kemahiran motor dan koordinasi imbangan melalui permainan skuter dan trampolin, selain menyertai aktiviti mewarna untuk menunjukkan kreativiti mereka.

“Selepas penyelidikan berterusan, program seumpama ini dapat membantu membangunkan keyakinan diri, fokus dan kemahiran kognitif kanak-kanak di samping menstabilkan emosi mereka.

“Lebih penting apabila ibu bapa turut dapat mengambil bahagian dengan melakukan aktiviti lebih sihat bersama anak. Hubungan keluarga juga akan menjadi lebih rapat kerana mereka dapat meluangkan masa secara berkualiti.

“Semua permainan yang disediakan juga mempunyai fungsi tertentu. Trampolin misalnya, berfungsi meningkatkan perkembangan minda dan membantu keseimbangan badan kanak-kanak.

“Malah kajian menunjukkan permainan trampolin juga meningkatkan integrasi sensori yang membantu kanak-kanak dan remaja boleh menunjukkan prestasi lebih baik dalam pelajaran dan sukan,” katanya.

Menurutnya, program itu mengenakan bayaran sebanyak RM15 untuk setiap kanak-kanak. Semua sumbangan yang dikumpul akan disalurkan sepenuhnya kepada pertubuhan, A Plus for Autism dalam usaha meningkatkan kesedaran dan penerimaan umum kepada kanak-kanak autisme di Malaysia.

Seorang ibu, Liew Siew Ting, 39, berkata, aktiviti permainan membabitkan pergerakan fizikal dapat mengalih tumpuan anak daripada terlalu asyik dengan penggunaan gajet.

Katanya, tiga anaknya berusia dua hingga 11 tahun memang menggemari aktiviti seperti itu dan tidak melepaskan peluang membawa mereka menyertai program terbabit.

Malah, program seumpama itu sebagai pendedahan awal terhadap aktiviti fizikal yang menyeronokkan dan memberi manfaat terhadap tumbesaran mereka.

“Selain itu, apa yang menarik perhatian saya ialah adanya unsur kebajikan dalam program ini. Saya difahamkan bayaran masuk akan disalurkan kepada badan kebajikan, jadi sedikit sebanyak dapat juga saya dan anak menyumbang serta berbuat sesuatu yang bermanfaat untuk orang lain,” katanya.

Bagi Amelia Harun, 32, terapi permainan seperti itu sangat bagus kerana dapat mengalihkan perhatian kanak-kanak daripada gajet, membangunkan fizikal dan melatih koordinasi otak dengan tangan serta anggota badan lain. Di rumah, dia dan suami memang mengawal anak mereka daripada sebarang gajet dan bersama-sama mewujudkan pelbagai aktiviti yang menyihatkan fizikal dan minda.

“Apabila sudah dibiasakan kehidupan tanpa gajet, tidak sukar mengalih perhatian mereka untuk melakukan aktiviti di luar rumah atau aktiviti interaktif dan menyeronokkan di rumah.

“Saya gembira apabila mengetahui adanya program seumpama ini. Saya harap ia dapat diteruskan dan diperbanyakkan pada masa akan datang. Saya lihat anak saya begitu bersemangat dan tidak sangka pula ada aktiviti berhalangan yang saya rasakan kanak-kanak sekecil ini tidak dapat lakukan,” katanya.

Mohd Fuad Rahman, 28, turut sependapat dan melihat program seumpama itu dapat mengawal ketagihan gajet dalam kalangan kanak-kanak dengan mengalih perhatian mereka terhadap aktiviti yang menyeronokkan.

“Generasi hari ini memang tidak dapat lari daripada gajet. Boleh dikatakan kebanyakan kanak-kanak pasti terikat dengannya cuma sebagai ibu bapa kitalah yang perlu bijak mengawal anak daripada terus ketagih dengan mempelbagaikan aktiviti yang memerlukan pergerakan keseluruhan anggota di dalam dan luar rumah,” katanya.

Disiarkan pada: June 27, 2019 @ 5:30am
d